Antara Yang Masih Setia Dengan BN Atau UMNO Johor

0 comments

Antara Yang Masih Setia Dengan BN Atau UMNO Johor

Pergerakan Pemuda UMNO Johor kelihatan kritikal apabila berlaku tarik-menarik kuasa. Siapa yang menghulur besar, dialah memang telah menjadi budaya sehingga tidak salah jika dikatakankan pemimpin terutamanya pemuda kelihatan begitu kaya dan bergaya dan menjadi orang senang yang begitu cepat tanpa jelas perusahaan atau perniagaan yang dilakukannya kecuali sebagai AJK UMNO. Kebencian terhadap perilaku ini tidak tersebar luas dalam negeri Johor sehingga melemahkan aktiviti UMNO tetapi amat mempengaruhi orang Melayu di luar Johor kerana selama ini Johor sering dianggap sebagai mentor UMNO sebab di sinilah UMNO dilahirkan dan di Johor juga banyak melahirkan pemimpin UMNO yang telah berjaya membangun negara.

Desas-desus persaingan pengaruh ini kerana ada 4 blok pengikut dan pengaruh iaitu MB, blok TPM, blok KJ dan blok PM-Hishamuddin. Blok pengaruh KJ adalah kumpulan yang dituduh dapat memegang dan menganggotai AJK kerana faktor ketika KJ amat berpengaruh disuatu ketika dahulu semasa bapa mertuanya sebagai presiden UMNO dan PM Malaysia. Kebanyakan pimpinan pemuda dari blok KJ berpendidikan, glamour dan saku juga dikatakan gemuk dan tidak terkecuali dengan budaya kroni dan amalan rasuah.

 Blok MB atau Dato’ Ghani pula adalah kumpulan pemuda yang sedang bertungkus lumus mempertahankan pengaruh MB bagi memastikan pengaruh politiknya tidak merosot dan mentadbir serta membangun Johor. Kumpulan ini dan MB sendiri boleh dikatakan amat jarang membuat kenyataan kerana mengambil sikap berhati-hati,  takut tersilap dan sensisitif kepada orang Melayu Johor sendiri. Ini adalah kerana MB suka dilihat seperti sebagai tokoh yang taat menurut perintah tanpa menunjukan  pendirian sendiri yang boleh dijadikan isu oleh musuh-musuh politik. Beliau juga sentiasa berhati-hati dan mengambil jalan selamat dalam pelbagai isu  seolah-olah mengikut telunjuk dan arahan dari pimpinan pusat. Dan UMNO pusat yang dimaksudkan ialah dari pihak tertinggi UMNO yang tidak menunjuk kepada Tan Sri Mahyuddin Yasin.

Blok yang dipengaruhi oleh KJ, Ketua Pemuda UMNO pula sudah mula menerima pelbagai tekanan dari blok MB dan Blok TPM sejak mertua beliau melepaskan jawatan PM dan presiden UMNO. Mereka kerap dianggap hampir tidak relevan lagi tetapi mereka terus dapat bertahan kerana mereka mempunyai identiti tersendiri yang dianggap sebagai berpendidikan dan professional. Manakala penyokong TPM pula adalah terdiri dari pemuda kampong dan anak muda berpendidikan agama. Blok PM-Hishamuddin pula adalah umpama anak harimau yang sedang membesar. Semua orang tahu Najib adalah abang sepupu kepada Hishamudin.  Kumpulan ini telah mula menunjukkan sedikit demi sedikit taring dan kuku mereka apabila Najib menjadi PM dan Hishamuddin diangkat menjadi Menteri Dalam Negeri yang menjadi tuan kepada angkatan polis dan bersenjata. Mereka semua dijaga dengan baik oleh kepimpinan masing-masing.  Baru-baru ini sebagai pemanis untuk meringankan tulang dalam pilihanraya, masing-masing kelompok ini ditaja ada ke Thailand, ke Bandung dan ada ke Surabaya dan Bali.
Majoriti dari pemuda Johor yang tinggal di luar Johor tidak berminat dengan UMNO atau BN kerana mereka lebih terbuka dan bebas mendapat maklumat tanpa dibayangi oleh sesiapa. Kebanyakan mereka juga berpendidikan tinggi dan kecenderongan mereka adalah berpihak kepada yang difikirkan terbaik. Dalam hal ini nilai sejagat sering dijadikan kayu pengukur. Mereka tidak kira pandangan atau sesuatu idea itu datang dari siapa tetapi jika bernas dan ada kebenaran maka mereka menyokongnya. Sehubungan itu banyak diantara mereka adalah penyokong NGO dan PR kerana mereka anti rasuah dan anti perilaku pecah amanah sebagaimana apa yang telah membudaya dalam BN.

Pemuda-pemuda yang sangat setia kepada BN atau UMNO Johor adalah dari kelompok pemuda yang mendapat pendidikan atau pekerjaan teknikal. Mereka tidak menggemari sejarah dan kesusasteraan. Mereka suka yang terus terang atau secara langsung tetapi kelemahan mereka yang tidak suka berimejinatif menjadikan diri mereka mudah dipengaruhi oleh penguasa yang mengusai mass media. Kumpulan pemuda sebegini boleh dikatakan sebagai kelompok penyokong tegar UMNO tetapi jika mereka tidak terus disuapkan, pada suatu hari nanti mereka akan menjauhkan diri daripada BN dan malu untuk menganggotai parti atau persatuan lain kerana fikiran mereka tidak terbuka dan tidak dapat berfikir politik di luar kotak.
Satu kelompok lagi yang dianggap sebagai penyokong tegar UMNO atau BN di Johor ialah kumpulan tua berusia 60 tahun ke atas. Mereka telah menganggotai UMNO sejak muda dan didepan mata mereka sendiri mereka telah melihat dan berpengalaman bagaimana orang yang didiskriminasi secara terang atau secara halus jika tidak menyokong UMNO atau BN. Mereka berasa diri mereka telah bernasib baik kerana mendapat kesenangan atau habuan dari orang yang mereka sokong tanpa mengetahui sebenarnya habuan yang mereka terima setaraf sebagai gula-gula sahaja. Gula-gula yang disuapkan kepada mereka sehingga berjaya melupakan diri mereka bahawa kejayaan yang mereka dapat adalah hasil dari titik peluh mereka sendiri. Di sinilah letaknya kehebatan pemimpin UMNO Johor yang berjaya menanam pysikologi pemikiran kepada orang Melayu Johor.
Sejarah juga memainkan peranan penting kerana kemajuan Johor disebabkan pelbagai factor tetapi fakta yang belum dikaji secara sains ialah fakta keadaan para pendatang. Ini adalah kerana jika dikaji secara terperinci majority rakyat Johor tidak kira Melayu atau Cina adalah pendatang luar yang ingin membina hidup baru dan mencari keharmonian hidup di sini. Mereka datang dari pelbagai negeri atau tempat seperti dari Cina, Jawa, Sumatera, Kalimantan, Sulawasi, Kelantan, Kedah dan negeri-negeri Melayu lain. Sehingga sebuah kajian sejarah berani mengatakan bahawa penduduk asal Johor ialah orang asli laut atau darat sahaja. Selain itu adalah dari pengaruh kerajaan Melayu Melaka, Pahang,  Siam, Majapahit dan lain-lain.

Apabila semakin ramai anak muda Johor yang berada di luar Johor dan membawa pemikiran positif bernilai sejagat maka akan rapuhlah fahaman kuno yang bersifat feudal. Ketika ini penentu kejayaan BN untuk mengekalkan kuasa di Johor terletak di tangan pengundi Cina. Jika bekas presiden MCA dari Muar dan PR terus memperhebatkan usahanya memberi penerangan ikhlas kepada orang Cina dan Melayu bahawa selama ini UMNO telah menipu bangsa Melayu dan BN dalam soal politik dan ekonomi maka tidak mustahil Johor akan bertukar tangan. Hal ini seharusnya direbut oleh rakyat Johor sebagaimana catatan sejarah Johor sebagai tempat lahirnya UMNO, para nasional Melayu dan penuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Pada kali ini pula Johor mungkin sebagai negeri berkebajikan termaju dan pengamal hudud Islam dan ini tidaklah mustahil kerana hudud yang  ditakut-takutkan UMNO pada hakikatnya adalah sangat adil kepada penganut lain dan tidak dipaksa atau relevan kepada bukan Islam.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
K.L. 3 Julai 2012

Pembersihan Imej Dalaman PKR & Gangguan Kumpulan Minoriti

0 comments

Pembersihan Imej Dalaman PKR & Gangguan Kumpulan Minoriti

Minggu lepas, Tun Sheikh bertemu bos lama bernama Tuan Haji Zainal secara kebetulan. Dulu beliau seorang yang aktif menaikkan taraf jabatannya. Ramai juga pegawai dan kakitangan yang bosan dengan beliau kerana beliau mendakwa rapat dan seperjuangan dengan DSAI. Masa dalam perkhidmatan dulu lebih-lebih lagi ketika DSAI jadi TPM, banyak juga peranan yang dimainkannya secara rasmi mahupun peribadi termasuk menjadikan dirinya sebagai pegawai kelompok berkepentingan kemudian menjadi pegawai kanan berpengaruh sehingga bos besar pun naik cuak dengan beliau yang rapat dengan TPM DSAI.

 Ada juga desas-desus atau gossip yang mengatakan beliau saja yang terdorong-dorong syok sendiri kerana memang orang tahu DSAI dahulu seangkatan dengan beliau di UM. Mereka rapat tetapi terbatas kerana perwatakan mereka berbeda. Beliau memimpin persatuan agama tetapi menjalankan aktiviti social yang tidak menggambarkan ruh persatuan yang bertunjangkan agama. Manakala DSAI mengetuai persatuan tidak bertunjangkan agama tetapi menarik komuniti pelajar dengan dasar keagamaan.

Zaman kegemilangan Tuan Haji Zainal dalam jabatan kerajaan sudah berlalu kerana sudah pencen atau bersara hampir 8 tahun yang lalu. Tun Sheikh bertanya apa aktiviti beliau sekarang dan bagaimana perhubungannya dengan DSAI. Beliau bercerita, beliau sibuk menguruskan perniagaan syarikat milik sendiri dan juga aktif dalam NGO yang berkaitan dengan perniagaan yang dijalankan oleh syarikatnya. Manakala perhubungannya dengan DSAI masih seperti dahulu. 

Tun Sheikh tanya mengapa tidak aktif dalam politik dan menyertai parti DSAI dan memegang jawatan penting?  Tidakkah beliau berasa yakin DSAI ada peluang akan berjaya dalam PR jika ditinjau perkembangan politik semasa? Manalah tahu jika beliau berpeluang menyertai DSAI dalam kabinet Malaysia di masa akan datang. Beliau secara bergurau dan berseloroh berkata bahawa semasa dalam perkhidmatan dahulu beliau sering berulang ke Medan dan ke Hadyai kerana mempunyai ramai saudara sebelah isteri di Medan dan di Thailand sebelah beliau sendiri. Tapi mungkin kerana kehidupan sosial beliau agak royal atau liberal, beliau sering diberi imej sebagai bos yang hura-hura lebih-lebih lagi kawan-kawan rapat dengan beliau dahulu adalah berperwatakan serupa seperti beliau yang suka jalan-jalan dan hiburan, bersukan bermain golf yang banyak membawa imej klas atasan manakala teman-teman perniagaan dan bos-bos syarikat yang mendampingi beliau dulu dilihat seperti ada kepentingan peribadi dan berbagai-bagai interpretasi serta persepsi.

 Tun Sheikh tanya kenapa pula begitu walaupun Tun Sheikh sendiri berpandangan serupa juga seperti kelompok ramai yang melihat imej beliau seperti itu. Beliau meneruskan cerita bahawa ada juga teman-teman beliau yang telah bersara dari jawatan penting kerajaan mengajak beliau mendampingi DSAI dan bergiat aktif dalam politik, tetapi ada sekumpulan sahabat beliau yang sedang berdamping rapat dengan DSAI dan memegang jawatan penting parti menasihatkan beliau agar tidak usah melibatkan diri dengan politik bersama DSAI kerana DSAI telah terlalu banyak berhadapan dengan fitnah. Jika bukan DSAI katanya sudah lama orang yang kena fitnah seperti DSAI itu menjadi gila. Bekas Bos Tun tanya apa relevannya dan mereka menjawab; aktiviti hang yang sering ke pusat-pusat hiburan di Medan dan Hadyai itu akan mendatangkan pelbagai kesulitan kepada parti dan pucuk pimpinan. Lagi pun ketika ini PKR sedang sibuk mengenal pasti dan mengkaji latar belakang kepimpinan cabang-cabang parti untuk mengelak memilih mereka yang mempunyai sejarah latar belakang sosial yang mencurigakan atau yang tidak menyenangkan. Adakah hal itu untuk menyesuaikan diri dengan kehendak atau dasar-dasar PAS. 

Hj Zainal kata bukan saja kerana PAS tetapi yang lebih penting rakyat ramai sangat berharap tokoh-tokoh pemimpin mestilah yang amanah dan baik bukan seperti UMNO yang telah pecah amanah dan salah menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, sehingga tidak  tahu untuk berlaku adil dalam membedakan kedudukan diri sebagai pemimpin negara dengan peranan selaku pemimpin parti.

 Tn Hj Zainal juga cerita,  PKR sedang bosan mengurus kehendak atau tuntutan Hindraf dan kelompok-kelompok kecil kesatuan India yang berlagak seperti sangat kuat dan berpengaruh padahal ahli kumpulan mereka hanya cukup sebagai syarat menubuh dan mendaftarkan persatuan saja iaitu 30-100 orang. Mereka tidak menyertai MIC dan mereka juga tidak bersatupadu. Mereka datang atas nama pelbagai persatuan dan menuntut hak kerusi calon dalam pilihanraya jika mahu mereka menyertai PR. Mereka berlagak seperti samseng yang keras kepala dan sering mengugut akan memihak UMNO atau BN jika tuntutan mereka diabaikan. Jika diteliti dan disiasat 100, 1000 atau 5000 orang demonstran India, akhirnya akan didapati sebenarnya mereka adalah muka yang sama. Kesepaduan mereka di situ. Itulah politik mereka untuk menunjuk-nunjuk seolah-olah  sangat banyak persatuan India dan terlalu ramai ahlinya. Matlamat utama mereka masih untuk kepentingan kumpulan atau rasis dan juga menonjolkan diri supaya tidak diketepikan dan ketinggalan.

 PKR juga sedang sibuk menapis tokoh-tokoh kepimpinannya yang berotak UMNO iaitu berjuang untuk menagih pelbagai projek, kepentingan diri dan kurang amanah untuk dibeku atau dipinggirkan bagi mengelak fitnah masalah yang dibawa mereka supaya objektif reformasi untuk menghapus rasuah, anti kroni, nepotisma dan menyemarakkan kebajikan untuk semua lapisan rakyat cepat tercapai. Mereka masih ramai dan aktif dalam PKR tetapi diyakini mereka tidak akan terus selesa kerana mereka diperhatikan oleh banyak mata dan perjuangan utama PKR dan PR bukanlah lagi untuk mengambil kesempatan mencari keuntungan pribadi seperti BN kecuali semata-mata untuk rakyat dan kebaikan semua secara jujur dan amanah.
Oleh kerana Tun Sheikh hendak bergegas untuk solat Jumaat maka Tun Sheikh minta diri dulu. Di masjid bertemu pula sahabat lama dengan kumpulan yang baru diikutinya iaitu  Hisbul  Tahrir Malaysia kalau tidak silap, dengan dasar tidak menyetujui perjuangan PAS yang terpaksa dan terikat dengan undang-undang kepartian sehingga kebebesan dan pengertian Islam terkongkong dan terbatas gara-gara pelbagai peraturan dalam sistem skular. Tun Sheikh menjadi pendengar sahaja hujah-hujah mereka dan bila- difikir-fikirkan ada juga relevan atau betul juga tetapi jika ketika ini kita mengenepikan undang-undang negara maka tentunya bertambah malap perjuangan mengangkat roh Islam ke persada kehidupan harian. Apa yang sangat penting bagi Tun Sheikh adalah memikirkan bagaimana kita mengimplimentasikan petunjuk Quran dan Hadis dalam amalan dan kehidupan atau budaya hidup kita seharian. Insyaallah suatu hari nanti pasti Allah makbulkan Islam menjadi hukum dan petunjuk serta didaulahkan di tempat tertinggi yang wajar. Mudah-mudahan Malaysia menjadi printis medahului negara lain sebelum Brunai yang telah berazam dan berminat untuk melakukannya. Amin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Damansara KL 12.6.2012

Reformasi Mahasiswa Indonesia Yang Berani

0 comments

Reformasi Mahasiswa Indonesia Yang Berani

Satu daripada keistimewaan para pejuang reformasi yang terdiri daripada golongan mahasiswa Indonesia ialah keberanian mereka. Ini adalah kerana mereka mempunyai sejarah perjuangan yang murni dan terpuji sejak perjuangan menuntut kemerdekaan, perjuangan bersenjata dan juga perjuangan menolak fahaman yang menyesatkan pemikiran rakyat. Mereka sentiasa berada sebagai kelompok front line dan tidak takut berhadapan dengan cabaran mental dan fizikal. Jika ada yang terkorban, semangat mereka bertambah memuncak bukan mengundur.

 Apabila matlamat mereka tercapai mereka akan kembali ke kampus seperti biasa. Yang tersingkir pun tidak takut menghadapi cabaran hidup mereka tanpa ijazah. Ini adalah kerana   falsafah bahawa ijazah universiti adalah sebagai kosmetik sahaja kerana mereka masih boleh hidup dengan baik tanpa ijazah. Bagi mereka,  yang penting ialah akal yang sihat dan bijak menyesuaikan diri dan mempunyai daya ikhtiar hidup yang tinggi. 

Setiap kali menyertai pelbagai perhimpunan yang menuntut hak asasi manusia, keadilan dan sebagainya, mereka akan berikrar dengan Sumpah Pemuda yang terkenal itu bagi membarakan semangat mereka.

Ketika era reformasi 1997-1999, para mahasiswa secara terang-terangan berdemontrasi di jalanan dengan membawa sepanduk universitas dan kolej-kolej mereka. Mereka berdemontrasi secara aman dan berpuluh ribu turun padang termasuk golongan dan kumpulan masyarakat dengan syarat mereka juga ditetapkan membawa sepanduk kampong atau desa mereka. Mereka tidak bercampur baur dengan kumpulan lain. Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan dari pelbagai pertubuhan sosial dan sebagainya.  Mereka saling mengenal sesama sendiri dan pergerakan mereka tersusun seperti rakyat kita berbaris menyertai Hari Kemerdekaaan. 

Tidak terhad dengan laungan reformasi, terdapat juga kumpulan kompang dan gendang atau trompet kertas yang turut memeriahkan perarakan. Tidak boleh potong memotong ketika bergerak berarak di jalanraya. Jika berlaku pertembungan dengan kumpulan lain di persimpangan jalan, pergabungan hanya dibenarkan jika mereka telah merancangnya dan mengenal pasti siapa mereka. Jika tidak mereka terpaksa menunggu setelah semua kelompok atau ekor barisan habis barulah mereka menyambung untuk ke arah tuju yang sama. 

Ada maklumat yang mengatakan bahawa mereka dikehendaki mendaftar nama untuk berdemontrasi dan kehadiran mereka dicatat oleh ketua kumpulan. Kepada sesiapa yang tidak mendaftar atau tidak sempat mendaftar, dilarang hadir dan diminta melakukannya untuk minggu berikutnya. Jika tetap mahu hadir, mereka tidak dibenarkan memasuki kumpulan kecuali sebagai pemerhati bebas dan jika apa-apa berlaku kepada mereka, ketua kumpulan tidak bertanggongjawab. 

Mereka juga menetapkan hari, waktu atau masa-masa berdemontrasi di tempat-tempat tertentu dan berubah-ubah di setiap hujung minggu. Kuliah berjalan seperti biasa dan apabila sampai ke waktu senja atau waktu yang ditetapkan, mereka bersurai secara aman dan kepada mereka yang tidak bersurai, mereka diberi amaran tidak akan bertanggongjawab dan terpaksa menangong nasib sendiri jika diserang atau ditembak kerana memang terdapat sekelompok kumpulan penembak misterius yang tidak diketahui menyebelahi siapa. Kerana ketelitian mereka ini maka kumpulan mereka terkawal dari provokasi polis atau penyamar.

Perhimpunan dan perarakan sering berlaku di pelbagai tempat atau  pada hari dan waktu yang sama mengikut perancangan universitas atau kolej yang berlainan. Sekiranya berkebetulan pada tempat yang sama, mereka akan bergabung. Jika ada kumpulan yang pro pemerintah turut sama, mereka akan berlawan sorakan dan menjarakkan diri. Biasanya kumpulan pro pemerintah hanya berani berhimpun dekat dengan pasukan polis atau tentera. Terdapat juga kes-kes terpinggir di mana mereka yang melampaui batas dibiarkan saja tetapi dicam. Pergaduhan hanya berlaku di luar kampus dan tidak dihari perhimpunan reformasi di hujung minggu. Biasanya kumpulan pro pemerintah tidak turut berarak tetapi hanya menjadi pemerhati dan kadang-kadang melakukan provokasi dengan mengejek mematahkan  sorakan reformasi.

Para pendemonstran mahasiswa tidak mementingkan berapa jumlah kehadiran atau menetapkan target beribu-ribu. Kadang-kadang tidak sampai 50 orang mereka tetap melakukannya. Kepada mereka,  apa yang penting ialah mesej yang hendak disampaikan iaitu mereka tuntut reformasi daripada rasuah, kroni dan nepotisma. Mereka tuntut pemerintah prihatin dengan penderitaan rakyat dan melakukan sesuatu supaya semua rakyat terpelihara dan dapat mengelak daripada keganasan akibat daripada tekanan hidup.

 Mereka juga menuntut pemerintah mengawal perekonomian negara daripada kebangkerapan akibat permainan saudagar dunia dan tempatan yang buas. Biasanya jumlah yang hadir tidak dapat diduga. Kadang-kadang berpuluh ribu, kadang-kadang ratusan ribu dan kadang-kadang tidak sampai seribu. Mereka berazam akan terus berdemontrasi setiap minggu selagi pemerintah tidak melakukan perubahan.

Perhimpunan aman reformasi di hujung minggu menjadi menarik dan tarikan ramai. Para mahasiswa kelihatan seperti berpiknik dan bersantai. Warna jaket , baju atau t-shirt universitas  adalah sebagai pengenalan mereka. Biasanya perhimpunan mereka mendapat perhatian pelbagai pihak yang turut serta mahu pun hanya sebagai pemerhati sehingga terhimpun seperti sejumlah lautan gelombang manusia.

 Pihak polis dan angkatan tentera sering terpaksa mengumumkan peluru yang akan digunakan untuk menghadapi segala kemungkinan iaitu peluru getah dan peluru hidup jika terpaksa. Tetapi sering tidak dihiraukan oleh mahasiswa. Mereka tidak peduli dan tidak kisah sama ada getah atau peluru hidup asalkan ketika berdemontrasi ada tentera laut atau udara, mereka akan mula berarak. Para mahasiswa tahu, tentera laut atau udara tidak pernah mengumum jenis senjata sama ada hanya belantan atau peluru getah tetapi mereka yakin pasukan itu bersedia dengan peluru hidup tetapi para mahasiswa tidak takut kerana telah terbukti kewibawaan tentera laut dan udara yang prihatin dan adil sehingga menjadi favorit mereka.

Di negara kita pula bagaimana? Kalau dibuat perbandingan maka jangan sampai ada hujah dan kejayaan BN mengatakan Bersih adalah untuk kepentingan pribadi. Pihak polis ada password dan tanda tertentu mereka dalam penyamaran. Di hari Bersih 28 April, polis atau SB dikatakan berpakaian preman (free man/ awam) dan ada yang memakai t shirt Bersih dengan tanda tertentu. Polis trafik yang kena baling itu juga memakai topi biru yang tidak pernah dipakai oleh kebiasaan polis trafik. Banyak juga yang tidak mempunyai nombor anggota yang diwajibkan pakai ketika bertugas. Jika dikaji, semua itu seperti drama terancang. Yang membaling dan kena baling berkemungkinan dari pasukan yang sama bertujuan provokasi bagi memudahkan pasukan polis mengambil tindakan lebih tegas atau ganas kepada para pendemonstran Bersih. 

 Lebih aneh kepada orang yang masih bengap ialah kenyataan polis yang melanggar para pendemonstran dikata baru datang dari Trengganu dan tidak tahu apa-apa. Tetapi penumpangnya pula telah siap dengan topi keledar seolah-olah sudah tahu apa yang hendak dilakukannya dan telah menduga apa yang akan terjadi.

Para pendemonstran tidak mengenali mereka dan bercampur baur dengan kepercayaan sama-sama berjuang dan inilah kelemahannya sehingga polis sewenang-wenang bertindak melakukan perancangan mereka. Apa ertinya jika Unit Amal yang dilihat berjaya mengawal itu juga ditangkap dan dipukul kalau tidak sebagai provokasi supaya mereka membalasnya. Polis tahu anggota Unit Amal itu dilatih oleh bekas-bekas pesara tentera dan polis malah mempunyai kelebihan sebagai anggota yang faham agama dan berakhlak mulia.

Pada keseluruhannya PDRM memang telah  berjaya melaksanakan tanggongjawab walaupun kelihatan mereka turut perintah seperti  membabi buta. Tetapi sebenarnya mereka gagal jika provokasi merancang lebih jauh, kerana Bersih sudah bersedia dan tidak perlu mengganas dan itu bukan tujuannya. Untuk menjatuhkan kerajaan secara pemberontakan sebagaimana yang diigaukan PM adalah jauh sekali.

Berbalik kepada pelbagai cobaan provokasi itu, sebenarnya jika ini hanya dapat dikesan setelah berlaku dan terjadi huru hara di hari demonstrasi aman sehingga menjadi ganas, maka adalah sudah terlambat. Mujur di Malaysia tiada penembak misterius atau penembak curi. Harap-harap PDRM yang cekap itu tidak sampai hati untuk menggunakan taktik itu di masa-masa hadapan. Kita tahu siapa mereka dan mereka juga terpaksa kerana kepala ikan yang busuk itu telah menyangkit ke seluruh badannya. Tulisan ini diakhiri dengan  pertanyaan untuk difikirkan bersama iaitu "Apa perlunya Ketua Polis Negara memukul DSAI, tahanan yang lemah diikat dan ditutup mata sampai matanya hampir buta dan tulang badannya rosak sehingga hari ini?" dan "Apa hal pula baru-baru ini dia mengatakan Tuan Guru Nik Aziz sebagai bapa syaitan, kafir dan sesat?"

Akhirnya meskipun BN menganggap Bersih itu suatu yang buruk dan berniat jahat tetapi mesej bahawa BN lah yang buruk dan jahat telah sampai kepada rakyat dan dunia luar. Ini adalah kerana kesilapan BN sendiri yang sombong dan angkuh menolak cadangan yang baik yang bukan milik Bersih atau Pakatan Rakyat tetapi adalah milik dan bernilai kemanusiaan sejagat. BN tersilap besar menolaknya. Meskipun mereka berjaya melarang ahli Bersih 3 duduk atau memasuki Dataran Merdeka tetapi mereka gagal menyekat kemurnian mesej yang di bawa oleh Bersih. BN masih berkesempatan jika ingin berubah dan mengutamakan rakyat tetapi jika BN berterusan buta agama, kebajikan dan kebaikan sejagat, maka akan sampai masanya pada suatu hari nanti sama ada BN akan menjadi pembangkang atau terus terkubur .

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Dataran Merdeka KL 8.5.2012

Pengalaman Mata Menjadi Saksi Reformasi Indonesia

0 comments

Pengalaman Mata Menjadi Saksi Reformasi Indonesia

Ketika rombongan Tun Sheikh bersama teman-teman lain tinggal selama 3 bulan di Jakarta, kami juga dimaklumi bahawa para pendemonstran dapat perlindungan adil dari Angkatan Tentera Laut dan Angkatan Tentera Udara yang telah turun mengawal jalan-jalan yang digunakan oleh para mahasiswa yang berdemonstrasi. Kami melihat empat ketumbukan pasukan berkuasa yang mengawal keamanan daripada berlaku kezaliman dan jenayah termasuk mengawal harta awam daripada dicerobohi oleh mereka yang mengambil kesempatan. 

Empat ketumbukan itu ialah pasukan polis, tentera darat, tentera udara dan tentera laut. Banyak juga kawasan yang hanya dikawal oleh sama ada tentera laut dan polis, tentera udara dan tentera darat atau sebaliknya seolah-olah ada MOU diantara pasukan tentera udara dengan tentera laut. Apabila ditanya kepada teman-teman Tun Sheikh yang terdiri dari pegawai tempatan mengenai perihal sedemikian, mereka mengatakan bahawa para mahasiswa yang berdemonstrasi itu di kawal oleh tentera laut atau tentera udara yang telah mengumumkan berkecuali daripada menyebelahi mana-mana pihak yang bererti mereka tidak merestui provokasi dan tindakan pasukan polis atau tentera darat yang sering mencederakan para mahasiswa daripada objektif menjaga keamanan dan keselamatan itu sendiri. Dalam ertikata lain pasukan tentera udara dan tentera laut turun mengawal keamanan dengan ketegasan bahawa mereka akan menembak sesiapa sahaja yang mengganas dan mencederakan orang lain.

Sinonim dengan persefahaman kepada semua para demonstran,  khususnya golongan mahasiswa ialah keyakinan keselamatan diri, kerana mereka berdemonstrasi secara aman dan dilindungi oleh pihak berwajib dari angkatan tentera udara atau laut. Dua pasukan tentera ini  prihatin terhadap perjuangan mahasiswa dan rakyat kerana sering menjadi mangsa provokasi sama ada dari pihak yang mengambil kesempatan atau dari keterpaksaan pihak polis atau tentera darat yang dituduh bias kepada pemerintah.  Apa yang lebih menarik ialah, para mahasiswa yang berkumpul di sesuatu tempat sebelum bergerak di jalan raya ke tempat tujuan, tidak akan bergerak jika tiada pasukan tentera laut atau tentera udara mengawal keamanan. Mereka akan duduk atau berkumpul saja secara aman dan apabila mendapat informasi pasukan tentera laut atau udara ada di persimpangan jalan atau baru sampai untuk mengawal mereka pun memulakan perarakan.

Selain itu,  para pendemonstran mahasiswa juga di sokong oleh persatuan peguam yang bersedia memberi perkhidmatan percuma atau murah jika mereka di heret ke mahkamah. Begitu juga persatuan para medik dan perubatan yang memberi perkhidmatan atas peri kemanusiaan kepada sesiapa yang cedera tetapi keutamaan di berikan kepada mahasiswa kerana pihak polis dan tentera mempunyai petugas perubatan mereka sendiri. 

Ada juga kes-kes terpencil di mana mahasiswa dari universiti pemerintah atau swasta pro pemerintah yang disingkirkan, kerana dianggap bersalah menyertai demonstrasi reformasi,  diambil oleh universitas swasta lain sebagai pelajarnya dan dibantu kos pembiayaan pelajaran mereka. Biasanya,  universiti yang menawarkannya ialah universiti swasta yang popular , terkenal dan glamour bukan sahaja dari segi mahal pembiayaan yurannya tetapi juga berkualiti dan mempunyai hubungan atau rangkaian antara bangsa.

 Meskipun ada terma-terma tertentu yang dilonggarkan tetapi yang utama mahasiswa berkenaan mestilah pelajar dari kelompok yang cemerlang dan hampir menghabisi pengajiaannya. Selalunya, mahasiswa yang terkena nasib malang dan dibela atau dijadikan pelajar angkat itu semuanya memenuhi syarat dari segi kecerdikan kerana orang awam tahu bahawa mereka yang berpeluang ke universitas memang keseluruhannya pintar-pintar setelah tersaring. Yang bodoh atau kurang pintar di universitas biasanya adalah anak-anak orang berada dan mereka juga tidak semuanya berminat untuk bergabung menjadi pejuang nasib masyarakat.

Tun Sheikh menulis mengenai perjalanan Reformasi Indonesia ini bertujuan memberi idea dan perbandingan dengan reformasi di sini. Diharap kepada sesiapa yang ada pengalaman menyertai atau menyaksikan reformasi, tranformasi atau revolusi rakyat, kebangkitan rakyat atau apa sahaja istilahnya di Mesir, Libya, Seria, Korea Selatan, Jepun, Thailand mahupun di Medan Tiennamen Cina agar tampil menulis penyaksiaan anda supaya dapat diambil iktibar dan memperbaiki perjuangan reformasi di sini.

 Matlamat atau objektif adalah sama, kerana ini adalah soal kemanusiaan sejagat yang secara fitrahnya menolak kezaliman, penindasan, penipuan, rasuah dan kemungkaran pihak berkuasa atau badan yang menindas itu. Anda mestilah yakin bahawa  BN sedang berada dilandasan yang salah kerana mengamal rasuah dan penipuan pelbagai bidang. Rakyat tidak menafikan jasa mereka membangun dan memajukan negara tetapi kita amat yakin jika mereka yang berkuasa tidak kira siapa, membangun negara dengan penipuan dan tidak amanah maka pada suatu hari nanti kerajaan ini akan musnah, roboh, sia-sia dan rakyat akan menderita.

 Jika pemerintah adalah daripada golongan yang amanah maka soal kebajikan dan kewajiban kerajaan pasti akan dapat dinikmati oleh sekalian rakyat. Sebelum negara ini musnah angkara keserakahan mereka, marilah kita sebagai rakyat mengembalikan keluruhan negara yang berpelembagaan ini secara aman. Bersambung….. Mahasiswa Indonesia Yang Berani.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Dataran Merdeka KL 7.5.2012

Beberapa Perbandingan Reformasi Indonesia dengan Malaysia

0 comments

Beberapa Perbandingan Reformasi Indonesia dengan Malaysia

Reformasi Indonesia telah dianggap berjaya mempengaruhi atau mengubah trek minda rakyat terutamanya terhadap keselesaan kehidupan seharian dalam semua lapisan masyarakat. Rakyat telah bangkit menyokong perjuangan reformasi yang dicetuskan oleh mahasiswa kerana terasa begitu terhimpit dengan kenaikan harga barang yang tidak bersepadan dengan nilai wang yang dimiliki mereka. Nilai rupiah jatuh merudum dan rakyat berpendapatan rendah amat terkejut dan tertekan dengan kuasa beli mereka yang berubah secara mendadak. 

Di waktu yang sama kerajaan RI kelihatan begitu angkuh mempertahankan kejayaan pembangunan dan kemajuan yang telah dilaksanakan yang dikatakan matlamatnya adalah untuk rakyat jelata. Banyak projek mega dapat diteruskan tetapi kuasa beli rakyat jelata hampir kepada sifar sehingga pemerintah terpaksa mengumumkan beberapa kali deflasi dan devaluasi kerana inflasi dan defisit kewangan yang negatif. 

Ini berlaku di dekad 1990-an akibat kemelesetan ekonomi global dan jika anda ke Indonesia di mana-mana sahaja anda akan mendapati di sana sini warung-warung dan gerai pasang siap yang pelbagai rupa terbuat dari kotak mahupun bahan kitar semula tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Segala apa yang boleh dijual untuk sesuap nasi oleh masyarakat bawahan dijaja dan kepimpinan dan wakil pemerintah yang mempunyai budi bicara dan nilai kemanusiaan yang tinggi berjuang dan berdebat meminta keizinan kepada pihak berkuasa tempatan agar membenarkan mereka berjaja mengikut kehendak dan keyakinan mereka sendiri  tanpa diganggu dan mengecualikan cukai dan lessen kerana itu adalah lebih baik daripada mereka bertindak menjadi perompak dan perampas hak orang lain.

Anda juga akan melihat ramai anak-anak jalanan terutama remaja yang agak cumpang camping walaupun mereka berusaha berpakaian kemas menunggu di tepi jalan-jalan utama untuk menjadi rider atau penumpang pemilik kereta kerana penduduk atau pemilik kereta tidak dibenarkan memandu kosong ke pusat bandar seperti mana peraturan yang dikuatkuasakan oleh Singapura. Perkhidmatan rider menjadi keperluan dan boleh ditumpangkan dengan upah yang berpatutan. Rider-rider itu terpaksa melakukannya sebagai pekerjaan untuk sesuap nasi. Jika jauh dikaji , sudah tentu jika  tidak bernasib baik, rider anda adalah penjenayah yang dengan mudah dapat mengambil kesempatan.

Jika anda ke kawasan atau ke pusat membeli belah mewah atau bertaraf 4 bintang ke atas,  maka anda akan melihat tugas utama sekuriti seolah-olah bukanlah keselamatan tetapi untuk mengusir golongan marhein dari mendekati atau memasuki tempat itu. Ini memang sangat sensitif dan menjadi perjuangan mahasiswa kepada sikap prejudis pengusaha dan orang berada kerana alasan kemajuan dan penbangunan mega oleh pemerintah adalah untuk semua rakyat.

Keadaan ekonomi yang gawat itu kelihatan di mata rakyat tidak memberi  kesan yang besar kepada golongan usahawan mega dan para kroni serta kaum keluarga pemerintah dan para menteri. Para mahasiswa pula terus aktif menguar-uarkan kekayaan yang dimiliki oleh tokoh kroni, keluarga presiden dan para menteri. Informasi itu telah mempengaruhi rakyat dari kelompok sederhana dan bawahan sehingga berasa tidak senang kepada golongan itu. 

Ketidakpuasan ini pernah diterjemahan dengan melakukan sekatan  terhadap kenderaan-kenderaan mewah dan juga kenderaan yang menghala ke lapangan terbang dan ke taman atau kawasan perumahan mewah yang melewati kawasan rakyat bawahan. Mereka merampas wang dan segala apa yang berharga kecuali kenderaan bukan atas sifat sebagai penjenayah tetapi kerana  golongan itu  dianggap tidak prihatin kepada penderitaan mereka. Mereka mendakwa tindakan  rampasan itu adalah untuk survival sesuap nasi untuk mengisi perut keluarga di bawah tanggungan mereka.

Tun Sheikh sendiri berpengalaman ditahan oleh orang kampong ketika teksi ke lapangan terbang yang dinaiki,  dihadang dan terpaksa berhenti. Mujurlah mereka diketuai oleh pemuda bekas mahasiswa dan apabila mendapati Tun Sheikh dan rombongan adalah rakyat Malaysia dan bekas mahasiswa Universitas Indonesia, mereka tidak merampas apa-apa kecuali meminta derma atau sumbangan kos makan dan minum perjuangan mereka dan segera Tun Sheikh kumpulkan dari kawan-kawan sebanyak RM500  dan mereka mengarah teksi menggunakan jalan alternatif yang lebih selamat. Ini bererti tindakan mereka adalah terpimpin dan bukan sebagaimana dilaporkan oleh media arus perdana sebagai kumpulan penganas dan ada pula yang menuduh pengaruh fahaman komunis.

Itulah keburukannya jika media tidak bebas dan dimonopoli pula oleh kerajaan. Rakyat mesti dimaklumkan dan diperjelaskan bahawa dalam teori ilmu penyiaran kepada sebarang informasi, jika diulang dan diperbesar-besarkan secara kerap dan sekata atau sama oleh semua media setiap hari maka berita bohong akan diterima seolah-olah berita itu benar. Jika berita berbentuk ugutan yang berselindung sebagai amaran atau memberi peringatan maka ia akan berupaya mengubah perasaan rakyat dari tenang menjadi cemas. Apabila rakyat cemas sebenarnya ketika itu pemikiran mereka menjadi lemah dan mudah ditawan atau terus ditipu dan dipengaruhi. 

Inilah yang sedang berlaku di negara tercinta ini. Rakyat ditipu dengan pelbagai berita bohong dan fitnah sehingga seolah-olah berita itu benar dan mempengaruhi rakyat membenci watak yang dihitamkan dalam pemberitaan itu. Amat malang kepada mereka yang tidak ada pilihan lain. Sedang dalam ketakutan itu nanti diberi gula-gula pula dan tentunya disambut sebagai penyelamat padahal merekalah jembalang rakyat. Bersambung….. ke Pengalaman Mata Menjadi Saksi Reformasi Indonesia.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere