Jalan Jem Tapi Saman Ekor Berjuta-juta Ringgit
Mengintai Ketelusan & Keprihatinan BN
Semenjak pilihanraya kecil Tenang, Segamat sampai ke pilihanraya Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang hingga ke hari ini 8 Mac 2011, rakyat yang terpaksa membayar saman ekor tiada yang kelihatan ceria kerana terpaksa mencari atau mengeluarkan duit yang tidak pernah masuk dalam bajet bulanan. Di Kuala Lumpur pula sedang berlaku musim hujan dan jalanraya jem saban hari. Kesesakan lalu lintas adalah disebabkan banjir kilat atau lampu isyarat tidak berfungsi. Jika perjalanan biasa ke tempat kerja atau pulang ke rumah dari pejabat memakan masa 30 minit, beberapa hari ini ramai yang mengeluh kerana terperangkap di dalam kesesakan lalulintas di antara 1 hingga 2 jam. Apa yang menambahkan perit dihati ketika menunggu kesibukan lalulintas pulih ialah ketiadaan polis trafik atau petugas di tempat-tempat atau di persimpangan-persimpangan yang biasa ada polis trafik.
Ada spekulasi mengatakan anggota polis trafik tidak mencukupi kerana dihantar bertugas di kawasan piliharaya kecil tersebut. Sebenarnya penghantaran itu tidak perlu kerana suasana di tempat pilihanraya adalah terkawal. SPR, parti pembangkang dan BN ada petugas sendiri yang bertanggongjawab memastikan perjalanan mahupun suasana tempat dan kawasan mengundi adalah aman. Petugas polis tidak perlu terlalu ramai. Pembangkang malah mempertikaikan apa perlunya kerajaan menghantar anggota polis begitu ramai dengan alasan untuk menjaga keselamatan kawasan dan menjaga keamanan di hari tempoh berkempen dan di hari mengundi padahal keadaan adalah terkawal dan aman.
Kehadiran terlalu ramai anggota polis sehingga menimbulkan buruk sangka para pembangkang kerana boleh menakut-nakutkan rakyat yang hendak keluar mengundi. Ahli dan penyokong calun pembangkang seolah-olah begitu ganas dan seperti mahu sabotaj atau menghalang rakyat dari keluar mengundi. Pembangkang mendapat imej seolah-olah begitu jahat dan buruk. Pembangkang juga mengesyaki jentera BN menggunakan anggota polis terutamanya yang tidak berunifom menjadi pengundi hantu.
Meskipun pembangkang hanya mengesyaki kerana tiada kuasa untuk menangkap mereka kerana mereka mempunyai kad pengenalan khas anggota polis dan memakai unifom ketika bertugas tetapi tidak mustahil mereka boleh menyelinap masuk dan mengundi ketika tidak berunifom atau tidak dalam tugas dengan memakai baju freeman. Jangkaan penyelewengan ini telah disyaki oleh pembangkang kerana terlalu ramai anggota polis di datangkan sehingga melebihi dari para penyokong sendiri. Kawasan polis berkemah dan berkampung pula adalah kawasan larangan dan tiada siapa yang dibenarkan masuk kecuali mereka yang berkaitan.
Berbalik kepada keadaan Kuala Lumpur yang beberapa hari ini kedaan lalulintas jem teruk, ada juga spekulasi yang mengatakan anggota polis yang dihantar ke tempat pilihanraya itu diberi bercuti istimewa dan dengan sebab itu mereka masih kekurangan anggota untuk mengawal lalulintas yang sepatutnya diberi keutamaan. Ada juga mengatakan pihak polis ingin menunjukkan betapa besarnya peranan mereka dan membuktikan bahawa anggota mereka masih tidak cukup. Walaupun gaji telah dinaikkan tetapi tidak ramai yang berminat menganggotai pasukan polis.
Terdapat bisik-bisik mengatakan pasukan polis telah terlebih belanja membeli kenderaan dan peralatan dan senjata hingga terpaksa mengumpul duit saman ekor. Di waktu yang sama pula anggotanya masih belum mencukupi walaupun telah diluluskan oleh kerajaan. Ini adalah kerana kurangnya minat pemuda sekarang terutamanya dari orang Cina dan India untuk menyertai pasukan polis . Manakala lambakan kenderaan seperti kereta dan van polis yang telah dibekalkan terpaksa disimpan atau disembunyikan di setor-setor atau balai polis yang terpencil. Ada juga pendapat mengatakan bahawa pemuda Melayu juga tidak lagi begitu gairah menyertai pasukan polis kerana sangat teruja dan penuh cabaran disamping dikuasai suasana sekeliling yang tidak sihat seperti amalan rasuah dan buli dari pegawai seniour atau pihak atasan.
Ramai anggota yang jujur tertekan dan menjadi mangsa buli dan diskriminasi dan dipaksa mengikuti atau menyesuaikan diri mengikut rentak dan arahan pegawai atasan. Polis baik kerap menjadi mangsa dan hidup tertekan. Ada juga anggota polis yang memberi pandangan bahawa mereka tidak suka berkeras kepada rakyat pada waktu yang tidak perlu dan tidak sesuai tetapi oleh kerana arahan, mereka terpaksa menjalankan perintah. Contohnya menguatkuasakan kutipan saman ekor dan juga meneruskan kerja-kerja mengeluarkan saman ekor kerana pernah dianggap rakyat sebagai pemeras berlesen.
Kutipan hasil adalah untuk kontra atau pertukaran sumber hasil bagi membiayai kenaikan gaji dan elaun anggota. Kerajaan memang tidak pernah menolak permintaan atau cadangan kenaikan gaji dan elaun polis kerana mereka memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan juga untuk kepentingkan politik. Pihak polis juga sebenarnya memperoleh hasil yang besar dari saman-saman yang dikeluarkan samada saman kesalahan jalan raya, saman sivil mahupun saman ekor. Maka itu adalah salah satu sebab kerajaan tidak bercadang untuk menghentikan system saman ekor yang dianggap zalim dan menganiaya rakyat.
Bagi kerajaan, siapa yang sanggup mencabar saman di mahkamah adalah dipersilakan kerana kerajaan tahu tidak semua rakyat berupaya melakukannya. Dengan mengumpan sedikit diskaun, kerajaan yakin berjaya mengumpul hasil berjuta-juta ringgit kerana rakyat tidak suka ke mahkamah. Rakyat akan mengambil jalan mudah dengan membayar saman-saman yang sebenarnya hanya merupakan notis dan pengakuan pernah melakukan kesalahan.
Berbalik kepada kutipan saman ekor dan saman-saman polis yang lain yang berjumlah berjuta-juta ringgit itu, rakyat juga ingin tahu ke mana wang itu dibelanjakan oleh kerajaan. Ada yang menduga kerajaan menggunakannya untuk pilihanraya, projek mewah atau menampung kekurangan perbendaharaan akibat keborosan. Mengikut statistik antarabangsa mengenai kemudahan jalanraya dan lalu lintas di Kuala Lumpur, jika dibandingkan dengan kutipan saman masih tidak seimbang kerana kesesakan di Kuala Lumpur masih belum diatasi. Saman kesalahan lalulintas yang begitu banyak diperolehi seharusnya dimanfaatkan untuk memperbaiki system lalulintas. Pengangkutan awam pula masih tidak mencukupi dan tidak selesa jika kerajaan bercadang menghalang rakyat menggunakan kenderaan sendiri masuk ke Kuala Lumpur meskipun untuk ke tempat kerja.
Satu daripada memorandum pembangkang jika berjaya atau dipilih rakyat menjadi kerajaan, mereka akan menamatkan saman ekor dan saman-saman dan peraturan yang menyusahkan rakyat atau peraturan yang berat sebelah. Bolehkah mereka betul-betul melaksanakannya jika memerintah nanti? Adakah itu hanya propaganda politik atau benar-benar mereka berazam melakukannya sebagaimana kerajaan negeri Kelantan buat dan berusaha menunaikan janji memorandumnya sehingga tidak kisah Kerajaan sabotaj pembangunan negeri Kelantan seperti pernah berlaku dahulu. Jika kita yakin dan terasa mereka akan melakukannya, mengapa tidak kita cuba lihat dan memberi mereka peluang memerintah? Mungkin mereka lebih baik dari kerajaan sekarang. Kita kadang kala perlu berfikir di luar kotak di zaman demokrasi moden yang serba canggih ini. Tetapi jika kerajaan sedia ada boleh memenuhi dan menyenangkan rakyat seperti yang hendak dibuat oleh pembangkang, mengapa perlu kita menukar kerajaan.
Sehubungan dengan itu pada hakikatnya terserah kepada kerajaan yang berkuasa sekarang dan juga terserah kepada kita yang ada kuasa memilih. Jika kerajaan prihatin, maka tentunya selogan 1 Malaysia, Pencapaian dan Rakyat Diutamakan bukan merupakan retorik politik sahaja.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara