Mencari Bukti dan Barkah Dari Alim Ulamak
Tanda-Tanda Rahmat Allah Pada Ulamak
Lawatan Rasmi Sheikh Dr Abd Rahman Al Aziz As Sudais Imam Besar Masjidilharam
Jumaat kelmarin 22 April 2011, Tun Sheikh memandu ke Masjid Wilayah Persekutuan untuk solat Jumaat. Sampai di sana sekitar 12.45 tengahari tetapi kereta Tun Sheikh tersekat dalam jem untuk masuk ke kawasan masjid. Tun Sheikh tertanya-tanya apa gerangan jadi begitu sebab jarang-jarang jem mahupun tersekat jika belum jam 1.00 tengahari. Tun Sheikh membuka radio untuk menghilangkan rasa bosan terperangkap dalam kereta. Rupa-rupanya melalui maklumat siaran radio yang Tun Sheikh dengar, Iman Besar Masjildilharam, Sheikh Dr Abd Rahman Al Aziz As Sudais akan mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan selaku tetamu kehormat yang diundang oleh Kerajaan Malaysia.
Tanpa membuang masa Tun Sheikh pun keluar meninggalkan kereta yang tersekat dan tersangkut itu mengikut jejak jemaah yang lain sebab masing-masing menghadapi masalah yang sama. Memang teruk jem dan tidak disangka. Pihak mesjid atau kerajaan juga mungkin tidak menduganya sebab faham-faham sajalah kerajaan kita bukan pentingkan sangat hal seperti itu. Apa yang penting hanyalah retorik-retorik agama sahaja untuk memancing undi dan mencari pengaruh jangka masa pendek terutamanya apabila musim pilihanraya sudah dekat.
Tun Sheikh tertanya-tanya juga mengapa hal sebegini tidak terjadi pada ulamak UMNO atau menteri BN yang bertanggungjawab dengan hal agama. Jika mereka ada majlis atau tampil di sesuatu tempat, tempat itu lengang tidak jem seperti apa yang sedang Tun Sheikh hadapi ini. Tetapi Tun Sheikh tidaklah begitu hairan dan takjub kerana mengetahui bahawa itu adalah tanda-tanda tokoh agama yang barakah ilmunya. Memang begitulah pada lazimnya meskipun hanya bergelar guru atau ustaz pondok. Tidak payah dipanggil dan dijemput, biasanya apabila terdengar sahaja nama mereka, orang ramai akan datang berduyun-duyun dan berbondong-bondong. Mereka sendiri tidak tahu mengapa mereka berusaha untuk bertemu dengan tokoh agama tersebut. Ini pernah Tun Sheikh tanya pada suatu ketika dulu pada hadirin yang mana sempat Tun Sheikh temubual. Ada yang menjawab hanya ikut-ikut dan berasa gembira dengan tiba-tiba di hati mereka untuk melihat wajah tokoh ulamak itu. Tetapi bila diajukan nama-nama barisan ulamak BN, mereka mencemik dan diam. Ada yang terus pergi tanpa kata-kata.
Sebenarnya masing-masing tokoh agama atau pemimpin agama ada aura dan kewibawaan tersendiri. Contohnya terhadap Sheikh Dr Abd Rahman Al Aziz As Sudais. Siapa yang telah menunaikan fardhu haji dan umrah memang semacam ada tarikan kerinduan kepadanya. Orang yang pernah mendengar alunan suaranya membaca al Quran samada ketika solat mahupun di luar solat akan terasa seolah-olah hati nurani mereka dijentik-jentik. Inilah salah satu tanda kebarkatan seseorang sheikh atau seseorang ustaz. Mereka yang dianugerah aura keberkatan sebegini adalah mereka yang berdakwah dengan ilmu yang diperolehi dengan keikhlasan hati. Manakala Sheikh Dr Abd Rahman ini memang mempunyai keistimewaan tersendiri selaku Imam Besar Mesjidillharam yang sudah tentunya dan telah maklum, beliau adalah imam besar yang telah mengimamkan solat dan mengumpul nilai kebarkatan atau pahala yang berganda-ganda. Almaklumlah bahawa satu kebajikan di masjidilharam adalah bersamaan 100,000 berbanding daripada satu kebajikan di tempat lain. Jika di Madinah pula ialah 1,000 berbanding satu di tempat lain. Bayangkanlah.
Bagi Tun Sheikh pula, memang yakin kebarkatan ilmu seseorang ustaz mahupun ulmak kecuali ulamak jahat, boleh kita kenali. Selain auranya kita pula dapat memahami beberapa maksud hadis dimana ada menceritakan nasib penghuni negara yang pernah Islam. Hamba berkenaan pada sesuatu waktu mengikut jadual yang ditetapkan akan datang malaikat menanya mula-mula adakah beliau pernah mempelajari ilmu yang bermanafaat dari seseorang ulamak dan mengamalkannya? Bila jawabnya tiada, maka beliau dibenamkan terus sehingga ke suatu masa yang ditentukan Allah. Kemudian ditanya lagi adakah pernah beliau yakin dengan ilmu ulamak itu walaupun tidak mengamalkannya? Jika yakin tapi tidak mengamalkannya maka dibenamkannya lagi.
Kemudian akan datang lagi malaikat pada suatu waktu yang telah ditetapkan untuk menarik keluar ahli-ahli neraka dengan rahmat Allah dengan pertanyaan pernahkah hamba itu makan sehidang dengan ulamak? Bila tiada maka ditinggalkannya hamba itu terus menderita tersiksa dengan azab neraka. Kemudian datang lagi dengan pertanyaan pernahkah melihat wajah ulamak. Bila jawapannya tidak maka hamba itu terus ditinggalkan dan terus menerima azab sehingga datang lagi di lain waktu malaikat mencari-cari ahli neraka yang boleh diselamat dan dikeluarkan mengikut perintah Allah jua.
Maka hamba yang menderita sengsara itu ditanya lagi samada pernah mendengar nama seseorang ulamak. Apabila hamba yang malang itu kata ada, maka dengan segera beliau dikeluarkan dari api neraka dan dimasukkan ke surga. Bayangkan bagaimana nasibnya jika beliau dapat dan pernah melakukan amalan dari soalan pertama. Sudah tentu beliau akan keluar segera dari neraka itu. Dan sebenarnya begitulah nasib kita nanti. Dengan itu bersegeralah mencari bukti dan saksi semasa hidup dan berkesempatan ini dan yakinlah bahawa syafaat Allah memang maha luas termasuk salah satu daripadanya adalah syafaat yang dibenar dan diizinkan dengan rahmatNya melalui syafaat para ambiaya, aulia dan para ulamak.
Sesampai ke masjid, tempat telah penuh dan melimpah hingga ke varanda manakala jemaah terus datang membanjiri. Teringin juga Tun Sheikh menunggu sesusai solat untuk bertemu melihat wajah dan bersalaman tetapi hati gelisah kerana kereta ditinggalkan ditengah jalan. Terfikir jika Tun Sheikh terus menunggu dan berbaris untuk bersalam maka ada orang yang laluannya terhalang dan mungkin jika terkena orang yang dalam darurat maka kitalah menanggung dosa.Lagipun Tun Sheikh pernah bertemu beliau ketika di Mekah dan hati ini beralah untuk memberi laluan dan kesempatan orang lain di sini.
Ketika balik ke kereta, ramai orang sedang menunggu pemilik-pemilik kereta lain kereta tiada jalan yang boleh dilepasi. Tun Sheikh sama-sama menunggu sambil bersembang-sebang dengan jemaah yang menunggu. Ada antaranya berkata berasa sedih kerana Sheikh Dr Abd Rahman As Sudais tentunya tidak tahu dan melihat bagaimana Islam diangkat di negara ini. Beliau amat khuatir, kedatangan Sheikh akan dipolitikkan oleh orang munafik yang berani menipu rakyat jelata dengan isu agama demi politik dan kepentingan diri. Tun Sheikh dengar sahaja hujah-hujahnya dan agak bernas juga dengan beberapa dalil dan nas. Jam 3.00 petang barulah kereta mula bergerak perlahan dan dapat keluar ke jalan raya yang lancar pada jam 3.45 petang.
Pada malamnya Tun Sheikh mengulangi mendengar dan melihat Sheikh Dr Abd Rahman membaca khutbah di siaran ulangan dalam TV. Melingas juga mata ini , kot-kot wajah Tun Sheikh ada terakam tapi tentulah tidak nampak kerana hanya dapat bersolat di varanda. Kemudian tidak di sangka berita lawatan beliau juga mendapat liputan utama di dalam berita TV. Tun Sheikh sungguh kesal apabila PM mengatakan bahawa Sheikh Dr Abd Rahman Al Aziz As Sudais sangat memuji Malaysia dan Malaysia adalah contoh negara Islam tulen. Benarkah begitu??? Serta merta Tun Sheikh teringat perbualan ketika menunggu jem di masjid siang tadi. Sesungguhnya Allah Maha berkuasa dan mempuanyai perancangan yang Maha bijaksana. Kita doakan sahaja semoga UMNO BN benar-benar melakukan apa yang diperkatakan sehingga Islam benar-benar diletakkan pada tempat dan darjat tertinggi seta ulung.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara