Komunis Melayu dan Sejarah Kerakusan Kuasa Melayu UMNO

0 comments
Komunis Melayu dan Sejarah Kerakusan Kuasa Melayu UMNO

Setelah menjangkakan isu liwat tidak akan mendapat tempat pada hari raya tahun ini kelihatan ada usaha kerajaan menguar-uarkan tindakan barisan pembangkang atau isu yang dianggap memartabatkan komunis dan menafikan jasa UMNO dalam usaha menuntut kemerdekaan negara. Tindakan kerajaan BN menuduh para pembangkang buta atau bodoh sejarah telah menjelaskan kerakusan BN sendiri kerana BN lah yang telah membuat pengumuman besar-besaran terhadap pengampunan kepada ahli komunis di Malaysia, memberi tanah untuk kebun dan kediaman malah membuat hubungan diplomatik dengan negara Cina dan Rusia. Hal ini sangat mengusarkan bukan sahaja kepada rakyat tetapi sangat tidak menyenangkan kepada keluarga terutama orang Melayu yang telah kematian ahli keluarga kerana komunis. Lebih jauh dari itu BN juga berusaha membuka hubungan diplomatik dengan Israel yang dianggap oleh negara-negara dunia sebagai sebuah negara bangsa yang kejam dan zalim. Israel lebih teruk daripada fahaman komunis itu sendiri dan hal ini sangat melukakan hati rakyat yang bukan sahaja beragama Islam tetapi kepada semua yang benci kezaliman.

Kini tiada lagi sempadan minda mahupun perhubungan raya berkaitan dengan maklumat yang dapat menghalang sesiapa yang ingin memiliki atau membaca sebarang berita seperti sejarah dan sebagainya. Peralatan komunikasi di alaf ini telah menjadikan dunia seolah-olah tiada sempadan. Hanya mereka yang zalim dan kuno sahaja yang tidak dapat menerima kemajuan teknologi maklumat ini. Manusia kini bebas memilih berita mengikut selera mereka dan tahap minda dan pemikiran sangat mempengaruhi pemahaman dan keterimaan mahupun penolakan mereka.

Berita komunis sebagai sebuah wadah pejuang kemerdekaan kini sudah mula diterima jika rakyat membebaskan diri dari berminda ortodok. Kita tahu perjuangan komunis adalah gagal kerana aliran perdana ketika itu adalah kapitalis yang berselindung disebalik kebebasan beragama. Begitu juga jika pada ketika ini PAS berjaya memerintah dan tentu sekali BN atau UMNO adalah musuh dan pembangkang yang dianggap jahat jika mereka berterusan berusaha menjatuhkan kerajaan PAS.

PAS mengikut sejarahnya adalah serpihan UMNO yang memperjuangkan Islam kerana mendapati UMNO mula menipu orang Melayu melalui agama dan mengangkat fahaman sekular sebagai aliran yang wajib diikuti. Fahaman sekular ini pula mempunyai formula yang begitu negatif pada pandangan Islam kerana bersifat munafik dan tidak layak disokong maka para ulama segera keluar dan menubuhkan PAS.

Kemajuan PAS memang tidak seimbang dengan UMNO dan Perikatan kerana mereka terus ditindas, dinafikan hak dan tidak diberi peluang untuk mejelaskan intipati perjuangan mereka yang berteraskan agama suci melalui saluran propaganda yang tetlah dikuasai UMNO. Pandangan PAS bahawa komunis Melayu itu sebenarnya adalah wadah nasionalis yang terpaksa mengambil wadah kiri kerana tidak berpeluang langsung bergerak melalui pertubuhan yang didaftarkan kerana telah dianggap bahaya dan musuh oleh Inggeris. Semangat dan idea kemerdekaan Melayu tulin telah dinafikan malah dibunuh oleh Inggeris melalui UMNO yang menjadi monyet pemetik kelapa mereka.

Monyet-monyet ini pula amat selesa dengan cara hidup tuannya dan telah sanggup menggadai nyawa tidak takut jatuh ketika bertugas memetik kelapa untuk tuannya tanpa menyadari bahawa faedah buah dan hasil dari pokok kelapa itu dinikmati oleh tuannya manakala kebebasan kaum monyet itu sendiri seperti sebelum datang tuan Inggeris itu sudah dilupai kerana monyet-monyet itu diberi pisang yang cukup ketika lapar. Monyet lupa dan mula merasa selesa walau lehernya dirantai kerana merasai nikmat pisang yang tidak pernah putus bekalan ketika lapar.

Perumpamaan ini cukup akan memberi sindiran dan pelajaran yang berkesan kepada bangsa Melayu yang prihatin dan mengenal diri. Dan mengenal diri hanya suci dan tulin melalui pelajaran agama yang telah sempurna dan terjamin di sisi penciptanya iaitu Allah dan agama Islam. Inggeris telah lama mengetahui ini sebelum sampai ke Tanah Melayu. Dengan usaha yang sedikit tetapi telah memerah akal melalui kajian mendalam, mereka dengan mudah menguasai pemikiran orang Merlayu. Tindakan pertama mereka ialah membela janin Melayu yang berada di dalam rahim keluarga di raja.

Janin ini dipelihara begitu rupa dan diberi pendidikan secukupnya sehingga janin ini menjadi raja bagi orang Melayu pada zahirnya tetapi berjiwa dan berminda Inggeris. Inilah yang terjadi sehingga orang Melayu keliru dan tidak yakin dengan bangsa dan agama sendiri. Jadi amatlah tepat apabila kemerdekaan Tanah Melayu atau Malaysia boleh dipertikaikan. Dan perjuangan komunis Melayu sendiri memang boleh dianggap atau diperkirakan sebagai salah satu kelompok pejuang yang tulin kerana semua komunis Melayu tidak meninggalkan Islam. Mereka mengaku bahawa mereka tetap beragama Islam meskipun ada diantara mereka minum minuman keras dan tidak sembahyang. Tangkap sahaja 100 ahli UMNO secara rambang dan selidiklah mereka. Adakah merekah sembahyang 5 waktu sehari dan tidak pernah minum minuman keras. Jangan terkejut jika keputusannya amat memeranjatkan.

Tidak kiralah siapa dan bagaimana Melayu itu, UMNO atau PAS jika mereka tidak faham dan tidak mengamalkan syariat Islam maka mereka adalah musuh agama. Dan cara-cara untuk memujuk atau berdepan dengan mereka telah Allah sediakan dengan pelbagai hikmah. Maka ambillah hikmah yang terdapat di dalam Al Quran selaku kitab petunjukNya untuk digunakan bagi membedakan di antara yang hak dengan yang batil. Maka jangan tanpa usul periksa kita menidakkan sesuatu perjuangan jika memang mereka berhak mengakuinya sebagai milik mereka.

Sehubungan itu kita perlu menjelaskan komunis yang bagaimana yang jalang dan komunis yang mana yang pejuang. Yang terlebih penting ketika ini demi Melayu ialah mengenalpasti yang mana bersifat munafik dan yang mana yang benar-benar bersih dan tulus. Jika lambat pihak Melayu yang berkuasa seperti UMNO menanganinya maka kuasa Melayu yang diamanahkan kepada UMNO akan terkubur dengan hinanya. Jika kita pemimpin Melayu yang besar mana sekalipun dan kita pernah pecah amanah maka segeralah turun kerana kita tidak layak menjunjung amanah. Penjunjung amanah adalah khusus hanya kepada orang yang jujur dan ikhlas.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Mengintai Jejak Mencongak Jalur Lebuhraya Minda

0 comments
Mengintai Jejak Mencongak Jalur Lebuhraya Minda

Sudah agak lama juga Tun Sheikh tidak menulis di blog sendiri. Biasalah...apabila kita memberi tumpuan kepada sesuatu hal milik orang atau milik teman maka pada lumrahnya kekurangan akan berlaku pada milik kita sendiri. Tun Sheikh juga ada menerima nasihat dan pandangan agar jangan terlalu mengikut atau terpengaruh dengan emosi ketika berkarya atau menulis terutamanya untuk blog sendiri. Atau jangan terlalu berkira dan memilih topik panas aatau yang terlalu mengharapkan perhatian pembaca. Pernah suatu ketika dulu mentor Tun Sheikh iaitu Cikgu Hj Shaharom Hussein berpesan agar tulis saja apa yang terlintas tanpa mengambil kira masa dan di mana. Kadang-kadang apa yang terlintas atau yang dikatakan ilham itu bukan milik kita tetapi manfaatnya adalah untuk para pembaca tertentu. Kadang-kadang apa yang kita fikir besar sebenarnya tidaklah besar atau apa yang kita fikirkan tidak penting rupa-rupanya sangat gempak di waktu atau diketika yang lain.

Sepanjang period pasif penulisan Tun Sheikh iaitu sejak Mei sebenarnya berpuluh topik telah terkumpul dan insyaallah Tun Sheikh akan mengolahnya di dalam blog ini. Ini tidak termasuk permintaan dari sahabat handai yang menyuntik pelbagai isu agar Tun Sheikh tulis di blog ini. Baru-baru ini seorang pejuang reformasi dari Sabah menghubungi Tun Sheikh melepaskan perasaan geramnya terhadap tindakbalas kerajaan kepada perjuangan pergerakan reformasi melalui aktiviti Bersih. Perkara yang sangat tidak disenangi beliau ialah apabila Ketua Pengarah jabatan beliau, seorang anak dara tua yang akan bersara pada tahun ini memesan atau mengeluarkan arahan supaya semua pegawai dan kakitangan tidak turut dalam perhimpunan Bersih. Apa yang sangat dimarahi beliau ialah pandangan Ketua Jabatannya terhadap erti perkataan kerajaan. Kefahaman ketua jabatannya kelihatan terlalu bias dan mengongkong pengertian demokrasi sebagaimana kefahaman yang dianuti oleh Melayu UMNO.

Jabatan beliau pula adalah sebuah jabatan yang berfungsi sebagai penyimpan rekod bernilai negara dari segi sejarah, budaya, pentadbiran, kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya yang tentunya mesti berpandangan luas dan jauh dan netral tidak terikat dengan polisi kepartian atau perkumpulan yang terhad. Kemarahan beliau, sehingga menerbitkan ungkapan anak dara tua yang tidak nampak kekerdilan diri yang memang kerdil. Dan beliau kecewa jika kerajaan menyambung kontrak perkhidmatannya kerana akan lebih mengongkong tindakan dan keputusan yang sudah tentu akan lebih memihak kepada kerajaan yang berpandangan sempit kerana dipengaruhi oleh BN atau UMNO.

Berbalik kepada emosi dalam penulisan, Tun Sheikh rasa ini adalah penting kerana emosi itu sering dapat menyerap suatu perasaan halus yang dirasai. Tetapi memanglah amat wajar dikawal supaya tidak merencak ilham atau sebarang tindakan positif. Ini memang pernah Tun Sheikh alami dan baru-baru ini hal emosi sangat menyerap dalam jiwa Tun Sheikh kerana terkejut terhadap peristiwa bencana tananh runtuh di Hulu Langat yang telah meragut 19 nyawa. Padahal gerakhati Tun Sheikh baru sahaja mengintai bencana yang akan turun kerana ciri-ciri kesombongan kerajaan sudah cukup nyata lebih-lebih lagi apabila isu fitnah digembur-gemburkan. Bukan sahaja fitnah mengenai ketokohan seseorang pemimpin tetapi juga fitnah terhadap isu agama telah dimainkan oleh kepimpinan UMNO seolah-olah mengugut rakyat terhadap akibat bencana buruk yang akan dihadapi jika menafikan jasa dan kebaikan kerajaan yang memerintah sekarang.

Pemimpin Melayu yang sedang memerintah atau berkuasa sekarang sebenarnya telah rabun teruk yang hampir-hampir menjadi buta kerana tidak menyedari bahawa rakyat jelata gembira dan berterima kasih kepada jasa yang mereka taburkan. Kerajaan memang cekap melaksanakan kemajuan dan pembangunan tetapi mereka seperti buat-buat tidak faham bahawa rakyat benci kepada rasuah dan berbagai penyelewengan yang telah membudaya dalam amalan dan falsafah politik BN terutama UMNO.

Isu-isu lain yang akan Tun Sheikh olah nanti termasuk pemikiran dan falsafah tokoh-tokoh bergelar Dato', Tan Sri malah Tun dan juga para ahli pemikir terutamanya yang bergelar profesor yang sempat dan pernah Tun Sheikh temui dan bertukar-tukar pandangan. Ini termasuk pemikiran terhadap isu Kebangsaan Malaysia dan juga perpaduan rakyat majmuk negara ini. Tidak ketinggalan juga terhadap isu agama. Memang akhir-akhir ini telah membuatkan Tun Sheikh seolah-olah terkedu kerana terlalu bersedih dan terkejut apabila bencana tanah runtuh berlaku di Hulu Langat yang tidak jauh dari Kuala Lumpur. Bagi Tun Sheikh ini tentunya ada kaitan dengan kezaliman dan kesombongan kepimpinan kita kerana mabuk dengan kekayaan hasil bumi negara ini.

Isu yang tersirat yang akan Tun Sheikh tulis ialah bagaimana hebatnya ilmu yang diperolehi oleh orang Melayu melalui pengalaman dan tunjuk ajar penjajah minda bangsa iaitu Inggeris dan akhirnya menjadi amalan dan ikutan pemimpin Melayu menganiayaai bangsa sendiri. Pemimpin Melayu terlupa bahawa Tuhan akan mendatangkan sekelompok manusia lain yang akan mengganti mereka kerana mereka telah pecah amanah dan menyeleweng, zalim dan bersikap munafik.

Satu, dua, tiga, empat dan apakah nombor seterusnya mengikut hakikat dan kebenaran? Tentulah lima, enam dan seterusnya tetapi hal ini dinafikan oleh kerajaan UMNO kerana hakikat kebenaran telah tidak menjadi pilihan dan amalan pemerintahan mereka. Gara-gara kuasa dan harta dunia, mereka telah menidakkan yang hak dan kebenaran. Siapa yang tidak mahu mengikut dan bersetuju kepada mereka dianggap pengkhianat dan anasir perosak bangsa dan mesti ditanggap tanpa perlu bicara pengadilan. Kita sayangkan kerajaan dan Melayu tetapi Kerajaan Melayu sekarang seolah-olah sedang dalam kesesatan dalam jalur lebuhraya minda kerana terlalu memntingkan kepentingan diri daripada nilai ketulusan manusia sejagat. Marilah sama-sama kita berdoa dan kembali kepada jalan yang lurus, yang hak dan yang benar dengan menghapuskan rasuah dan amalan penyelewengan dan pecah amanah dalam budaya hidup kita.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere