MALAYSIA AKAN DIJAJAH TIDAK LAMA LAGI

0 comments

MALAYSIA AKAN DIJAJAH TIDAK LAMA LAGI

Saban hari pemimpin AMNO menguar-uarkan bahawa negara tercinta ini akan terjual dan terjajah tidak lama lagi jika orang Melayu tidak mengundi AMNOBN. Pakatan Rakyat dituduh sebagai sebuah entiti politik baru yang akan menghapuskan  kedudukan dan keistimewaan Melayu dan raja-raja Melayu. Malaysia ke arah menjadi sebuah republik dan orang yang berkuasa penuh ialah Presiden yang dipilih daripada rakyat kebanyakan, bukan Yang Dipertuan Agong. Perdana Menteri pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan pada suatu hari nanti Perdana Menteri dan Presiden ialah orang bukan Melayu. Orang Melayu akan terpinggir dan akan ditekan dan menjadi pelarian atau pengemis di tanah air sendiri.

Para pejuang dalam Pakatan Rakyat pula kelihatan begitu lelah dan letih kerana terpaksa melayan penipuan AMNOBN ini.  Mereka terus berusaha mematahkan propaganda AMNOBN tanpa putus asa. Mereka sedar mereka tidak mampu menandingi segala fasiliti yang dimiliki dan digunakan oleh AMNOBN. Tetapi jika dibiarkan sudah tentu rakyat banyak akan tertipu dan terpengaruh. Dalam keadaan sekarang adalah  ternyata masih ramai rakyat terhalang dengan maklumat yang tepat dari sumber selain media  perdana. Media arus perdana akhir-akhir ini ternyata telah terhakis kredibaliti dan intergriti mereka kerana kebanyakan berita yang dipaparkan adalah berita songsang dan tidak tepat. Objektif utama berita ialah bagi mempengaruhi dan memesongkan kefahaman rakyat supaya setia dan percaya kepada AMNOBN. Rakyat yang tidak memiliki kemudahan telefon bimbit dan internet adalah mangsa utama AMNOBN. Mereka menjadi penyokong tegar kepada AMNOBN kerana terlalu percaya dan terpengaruh dengan pemberitaan yang sampai kepada mereka melalui media perdana.

Bagi Tun Sheikh, ada dua kemungkinan bahawa negara ini akan terjajah. Penyebabnya bukanlah Pakatan Rakyat tetapi adalah disebabkan kebodohan dan kerakusan nafsu AMNOBN. Pertama,  apabila AMNOBN mengadakan pemberontakan dan mengacau keamanan kerana tidak dapat menerima kekalahan dalam Pilihanraya. Keadaan keamanan yang tidak stabil akan memaksakan campurtangan asing yang akan menggunakan AMNOBN sebagai proksi menjajah. Kedua,  ialah kerana akibat kebuasan kerajaan AMNOBN pada hari ini berdegil meneruskan projek tenaga nukeliar Lynas. Projek ini telah menguntungkan mereka kerana menerima rasuah berbilion ringgit. Mereka tidak dapat memandang jauh kerana telah dibutakan oleh nafsu untuk kaya dan memiliki harta dan wang ringgit yang berjuta-juta. Mereka sudah tentu tidak akan membatalkan projek ini kerana diri mereka telah menerima duit komisyen dan tergelap mata dengan duit yang akan diterima seterusnya.

 Sebenarnya isu bahaya keracunan dan kebocoran bahan toksid adalah salah satu yang  membuatkan rakyat patut bimbang dan menentang projek ini. Tetapi bagi Tun Sheikh projek ini akan mengundang mala petaka yang lebih besar lagi apabila kuasa asing mengambil kesempatan untuk menjajah Malaysia tidak lama lagi. Hal ini boleh dilihat melalui sedikit pembacaan dan kajian terhadap perjalanan sejarah  negara-negara yang merancang mengadakan kilang dan janakuasa berasaskan nukeliar. Pada awalnya mereka digalakan dan dibantu oleh negara-negara maju dan negara-negara yang mempunyai kuasa dan berpengaruh. Tetapi pada akhirnya jelas negara berkenaan dituduh membuat senjata nukeliar dan dipaksa tunduk dan menerima tekanan dan kawalan.  Tentera asing akan masuk dengan alasan untuk menjaga keamanan. Pada hal ia merupakan suatu helah untuk menjajah. Jika negara berkenaan atau Malaysia pada suatu hari nanti tidak menerima tuduhan mereka dan menolak paksaan yang dikenakan maka mereka akan menyerang secara kekerasan.

 Itulah apa yang telah terjadi kepada negara-negara seperti Pakistan, Iraq, Iran, Libya, Korea Utara, India dll yang tidak bebas lagi dalam ertikata merdeka. Malaysia telah lama diidamkan oleh negara luar kerana kedudukan geografi negara ini  sangat strategik di dunia. Malaysia juga memiliki sumber asli yang pelbagai. Negara kita juga kaya dengan sumber makanan kerana tanah-tanih subur dan keluasan perairan yang sangat baik dengan echo system penghidupan laut. Kepelbagaian bangsa dan warganegaranya adalah amat unik  sekali. 

Faktor realiti perkembangan pembangunan dan keperluan dalam kehidupan dunia pada hari ini adalah juga merupakan faktor pemikat terhadap negara ini. Ini adalah kerana kehidupan manusia terutama di barat dan negara-negara maju malah di mana sahaja adalah bergantung kepada cita rasa yang tinggi. Cita rasa yang bersandarkan kepada kemahuan nafsu ini tiada sempadan  dan penamat. Segala kesenangan dan kemewahan tidak dinilai dengan keadaannya kecuali dengan kepuasan perasaan yang juga tidak bertepi. 

Sehubungan itu pelbagai rekacipta untuk kesenangan dan kemudahan dalam kehidupan difikir, diilhamkan  dan diwujudkan. Proses mengadakan barangan dan perkhidmatan ini memerlukan bahan mentah yang begitu banyak dan pelbagai. Malaysia sudah lama diintai kerana memiliki apa yang mereka hajati. Mereka sedang menunggu masa yang baik dan sesuai untuk mengambilnya secara baik mahupun kekerasan. Dan melalui Projek Lynas ini sebenarnya mereka sedang menanam benih bencana yang menguntungkan mereka untuk menjajah Malaysia tercinta ini.

Satu-satunya cara untuk mengatasi masalah ini adalah menidakkan kepimpinan AMNOBN yang telah lama terbabas dari landasan kewajaran. Mereka telah buta mata hati dan jika mereka terus diberi kuasa dan mandat memerintah, negara ini akan di bawa ke jurang yang dalam. Sebelum itu berlaku adalah sangat perlu mereka digantikan atau diubah segera. Keperluan pemikiran sebegini bukan sahaja terhadap AMNOBN tetapi jika pemerintah  atau kerajaan  baru sekalipun tidak kira siapa jika tidak nampak perkara ini dan suka bermain api maka sebaiknya mereka ditolak segera.

Akhir sekali, saranan Tun Sheikh ialah balik ke pangkal jalan dengan mengikut aturan dan petunjuk dari pencipta dunia dan cakrawala seluruh alam ini. Jika kita amanah dan tidak rasuah dalam penghidupan iaitu tidak menyeleweng mengikut ketetapan dan ketentuan serta petunjuk Tuhan maka sudah tentu jiwa kita akan tunduk dan tawaduk kepada pencipta kita. Jika kita ikut peraturan dan ketetapanNya maka sudah pasti manusia yang tawaduk akan selamat selaku khalifah yang diredhai dan ditunjuki mengurus dunia ini. Malaysia khususnya akan selamat dari kebinasaan hasil dari tangan manusia sendiri.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Putrajaya 10.3.2013

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere