Reformasi Mahasiswa Indonesia
Yang Berani
Satu daripada keistimewaan para pejuang reformasi yang
terdiri daripada golongan mahasiswa Indonesia ialah keberanian mereka. Ini
adalah kerana mereka mempunyai sejarah perjuangan yang murni dan terpuji sejak
perjuangan menuntut kemerdekaan, perjuangan bersenjata dan juga perjuangan
menolak fahaman yang menyesatkan pemikiran rakyat. Mereka sentiasa berada
sebagai kelompok front line dan tidak
takut berhadapan dengan cabaran mental dan fizikal. Jika ada yang terkorban,
semangat mereka bertambah memuncak bukan mengundur.
Apabila matlamat
mereka tercapai mereka akan kembali ke kampus seperti biasa. Yang tersingkir
pun tidak takut menghadapi cabaran hidup mereka tanpa ijazah. Ini adalah
kerana falsafah bahawa ijazah universiti
adalah sebagai kosmetik sahaja kerana mereka masih boleh hidup dengan baik
tanpa ijazah. Bagi mereka, yang penting
ialah akal yang sihat dan bijak menyesuaikan diri dan mempunyai daya ikhtiar
hidup yang tinggi.
Setiap kali menyertai pelbagai perhimpunan yang menuntut hak
asasi manusia, keadilan dan sebagainya, mereka akan berikrar dengan Sumpah
Pemuda yang terkenal itu bagi membarakan semangat mereka.
Ketika era reformasi 1997-1999, para mahasiswa secara
terang-terangan berdemontrasi di jalanan dengan membawa sepanduk universitas
dan kolej-kolej mereka. Mereka berdemontrasi secara aman dan berpuluh ribu
turun padang termasuk golongan dan kumpulan masyarakat dengan syarat mereka
juga ditetapkan membawa sepanduk kampong atau desa mereka. Mereka tidak
bercampur baur dengan kumpulan lain. Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan dari
pelbagai pertubuhan sosial dan sebagainya.
Mereka saling mengenal sesama sendiri dan pergerakan mereka tersusun
seperti rakyat kita berbaris menyertai Hari Kemerdekaaan.
Tidak terhad dengan laungan reformasi, terdapat juga kumpulan
kompang dan gendang atau trompet kertas yang turut memeriahkan perarakan. Tidak
boleh potong memotong ketika bergerak berarak di jalanraya. Jika berlaku
pertembungan dengan kumpulan lain di persimpangan jalan, pergabungan hanya
dibenarkan jika mereka telah merancangnya dan mengenal pasti siapa mereka. Jika
tidak mereka terpaksa menunggu setelah semua kelompok atau ekor barisan habis
barulah mereka menyambung untuk ke arah tuju yang sama.
Ada maklumat yang mengatakan bahawa mereka dikehendaki
mendaftar nama untuk berdemontrasi dan kehadiran mereka dicatat oleh ketua
kumpulan. Kepada sesiapa yang tidak mendaftar atau tidak sempat mendaftar,
dilarang hadir dan diminta melakukannya untuk minggu berikutnya. Jika tetap
mahu hadir, mereka tidak dibenarkan memasuki kumpulan kecuali sebagai pemerhati
bebas dan jika apa-apa berlaku kepada mereka, ketua kumpulan tidak
bertanggongjawab.
Mereka juga menetapkan hari, waktu atau masa-masa
berdemontrasi di tempat-tempat tertentu dan berubah-ubah di setiap hujung
minggu. Kuliah berjalan seperti biasa dan apabila sampai ke waktu senja atau
waktu yang ditetapkan, mereka bersurai secara aman dan kepada mereka yang tidak
bersurai, mereka diberi amaran tidak akan bertanggongjawab dan terpaksa
menangong nasib sendiri jika diserang atau ditembak kerana memang terdapat
sekelompok kumpulan penembak misterius yang tidak diketahui menyebelahi siapa.
Kerana ketelitian mereka ini maka kumpulan mereka terkawal dari provokasi polis
atau penyamar.
Perhimpunan dan perarakan sering berlaku di pelbagai tempat
atau pada hari dan waktu yang sama
mengikut perancangan universitas atau kolej yang berlainan. Sekiranya
berkebetulan pada tempat yang sama, mereka akan bergabung. Jika ada kumpulan
yang pro pemerintah turut sama, mereka akan berlawan sorakan dan menjarakkan
diri. Biasanya kumpulan pro pemerintah hanya berani berhimpun dekat dengan
pasukan polis atau tentera. Terdapat juga kes-kes terpinggir di mana mereka
yang melampaui batas dibiarkan saja tetapi dicam. Pergaduhan hanya berlaku di
luar kampus dan tidak dihari perhimpunan reformasi di hujung minggu. Biasanya
kumpulan pro pemerintah tidak turut berarak tetapi hanya menjadi pemerhati dan
kadang-kadang melakukan provokasi dengan mengejek mematahkan sorakan reformasi.
Para pendemonstran mahasiswa tidak mementingkan berapa jumlah
kehadiran atau menetapkan target beribu-ribu. Kadang-kadang tidak sampai 50
orang mereka tetap melakukannya. Kepada mereka, apa yang penting ialah mesej yang hendak disampaikan
iaitu mereka tuntut reformasi daripada rasuah, kroni dan nepotisma. Mereka
tuntut pemerintah prihatin dengan penderitaan rakyat dan melakukan sesuatu
supaya semua rakyat terpelihara dan dapat mengelak daripada keganasan akibat
daripada tekanan hidup.
Mereka juga menuntut pemerintah mengawal perekonomian negara
daripada kebangkerapan akibat permainan saudagar dunia dan tempatan yang buas.
Biasanya jumlah yang hadir tidak dapat diduga. Kadang-kadang berpuluh ribu,
kadang-kadang ratusan ribu dan kadang-kadang tidak sampai seribu. Mereka
berazam akan terus berdemontrasi setiap minggu selagi pemerintah tidak
melakukan perubahan.
Perhimpunan aman reformasi di hujung minggu menjadi menarik
dan tarikan ramai. Para mahasiswa kelihatan seperti berpiknik dan bersantai.
Warna jaket , baju atau t-shirt universitas
adalah sebagai pengenalan mereka. Biasanya perhimpunan mereka mendapat
perhatian pelbagai pihak yang turut serta mahu pun hanya sebagai pemerhati
sehingga terhimpun seperti sejumlah lautan gelombang manusia.
Pihak polis dan
angkatan tentera sering terpaksa mengumumkan peluru yang akan digunakan untuk
menghadapi segala kemungkinan iaitu peluru getah dan peluru hidup jika
terpaksa. Tetapi sering tidak dihiraukan oleh mahasiswa. Mereka tidak peduli
dan tidak kisah sama ada getah atau peluru hidup asalkan ketika berdemontrasi
ada tentera laut atau udara, mereka akan mula berarak. Para mahasiswa tahu, tentera
laut atau udara tidak pernah mengumum jenis senjata sama ada hanya belantan
atau peluru getah tetapi mereka yakin pasukan itu bersedia dengan peluru hidup
tetapi para mahasiswa tidak takut kerana telah terbukti kewibawaan tentera laut
dan udara yang prihatin dan adil sehingga menjadi favorit mereka.
Di negara kita pula bagaimana? Kalau dibuat perbandingan maka
jangan sampai ada hujah dan kejayaan BN mengatakan Bersih adalah untuk
kepentingan pribadi. Pihak polis ada password
dan tanda tertentu mereka dalam penyamaran. Di hari Bersih 28 April, polis atau
SB dikatakan berpakaian preman (free man/
awam) dan ada yang memakai t shirt
Bersih dengan tanda tertentu. Polis trafik yang kena baling itu juga memakai
topi biru yang tidak pernah dipakai oleh kebiasaan polis trafik. Banyak juga
yang tidak mempunyai nombor anggota yang diwajibkan pakai ketika bertugas.
Jika dikaji, semua itu seperti drama terancang. Yang membaling dan kena baling
berkemungkinan dari pasukan yang sama bertujuan provokasi bagi memudahkan
pasukan polis mengambil tindakan lebih tegas atau ganas kepada para
pendemonstran Bersih.
Lebih aneh kepada
orang yang masih bengap ialah kenyataan polis yang melanggar para pendemonstran
dikata baru datang dari Trengganu dan tidak tahu apa-apa. Tetapi penumpangnya
pula telah siap dengan topi keledar seolah-olah sudah tahu apa yang hendak
dilakukannya dan telah menduga apa yang akan terjadi.
Para pendemonstran tidak mengenali mereka dan bercampur baur
dengan kepercayaan sama-sama berjuang dan inilah kelemahannya sehingga polis
sewenang-wenang bertindak melakukan perancangan mereka. Apa ertinya jika Unit Amal yang dilihat berjaya mengawal itu juga ditangkap dan dipukul kalau tidak sebagai provokasi supaya mereka membalasnya. Polis tahu anggota Unit Amal itu dilatih oleh bekas-bekas pesara tentera dan polis malah mempunyai kelebihan sebagai anggota yang faham agama dan berakhlak mulia.
Pada keseluruhannya PDRM memang telah berjaya melaksanakan tanggongjawab walaupun kelihatan mereka turut
perintah seperti membabi buta. Tetapi sebenarnya mereka gagal jika provokasi merancang lebih jauh, kerana Bersih sudah bersedia dan tidak perlu mengganas dan itu bukan tujuannya. Untuk menjatuhkan kerajaan secara pemberontakan sebagaimana yang diigaukan PM adalah jauh sekali.
Berbalik kepada pelbagai cobaan provokasi itu, sebenarnya jika ini hanya dapat dikesan setelah berlaku dan terjadi huru hara di hari
demonstrasi aman sehingga menjadi ganas, maka adalah sudah terlambat. Mujur
di Malaysia tiada penembak misterius atau penembak curi. Harap-harap PDRM yang cekap itu tidak sampai hati untuk menggunakan taktik itu di masa-masa hadapan. Kita
tahu siapa mereka dan mereka juga terpaksa kerana kepala ikan yang busuk itu telah menyangkit ke seluruh badannya. Tulisan ini diakhiri dengan pertanyaan untuk difikirkan bersama iaitu "Apa perlunya Ketua Polis Negara memukul DSAI, tahanan yang lemah diikat dan ditutup mata sampai matanya hampir buta dan tulang badannya rosak sehingga hari ini?" dan "Apa hal pula baru-baru ini dia mengatakan Tuan Guru Nik Aziz sebagai bapa syaitan, kafir dan sesat?"
Akhirnya meskipun BN menganggap Bersih itu suatu yang buruk
dan berniat jahat tetapi mesej bahawa BN lah yang buruk dan jahat telah sampai
kepada rakyat dan dunia luar. Ini adalah kerana kesilapan BN sendiri yang
sombong dan angkuh menolak cadangan yang baik yang bukan milik Bersih atau
Pakatan Rakyat tetapi adalah milik dan bernilai kemanusiaan sejagat. BN
tersilap besar menolaknya. Meskipun mereka berjaya melarang ahli Bersih 3 duduk
atau memasuki Dataran Merdeka tetapi mereka gagal menyekat kemurnian mesej yang
di bawa oleh Bersih. BN masih berkesempatan jika ingin berubah dan mengutamakan
rakyat tetapi jika BN berterusan buta agama, kebajikan dan kebaikan sejagat,
maka akan sampai masanya pada suatu hari nanti sama ada BN akan menjadi
pembangkang atau terus terkubur .
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Dataran Merdeka KL 8.5.2012