Tanda Hari Hendak Siang, Dekat Mati & Kerajaan Akan Runtuh

0 comments
Tanda Hari Hendak Siang, Dekat Mati & Kerajaan Akan Runtuh

Seorang Sasterawan Negara yang terkenal telah mencipta sebuah puisi bertajuk Tanda Hari Hendak Siang. Sekali pandang tiada apa yang istimewa dengan puisi ini. Bahasa yang digunakan pun adalah bahasa biasa, bahasa seharian. Namun falsafahnya amat dalam. Antara bait-bait maksud perkataan yang diucapkan atau ditulisnya ialah –tangisan bayi hendak menyusu, rengetan anak-anak kecil hendak buang air tapi takut dan tiada yang peduli, kokok ayam, bunyi burung, bunyi mesin dan kedengaran azan di surau berdekatan dan seterusnya.


Apabila diamati dan direnungkan falsafahnya maka akan tergambar penghayatan pemuisinya dan tentunya ketika itu dia tidak tidur takala orang lain masih berdengkur. Hal ini sudah pasti bukannya sekali sahaja sehingga beliau dapat menukilkannya. Selain dari gambaran malam yang dini hampir menjelang siang, pembaca akan terbuai dengan gambaran dan kefahaman kerencaman hidup seharian ketika ini atau di zaman kontemporari ini. Orang atau manusia terpaksa melaluinya kerana perlu bersaing dalam kehidupan untuk mencari rezki dan kesenangan serta keselesaan hidup. Dan di sinilah letak seninya kerana beliau dapat menghayati dan merakam suasana menjelang siang dalam suasana tempatan dan keadaan semasa.


Berbekalkan dengan pemahaman terhadap puisi itu maka Tun Sheikh ingin merakamkan di sini malah mengajak para pembaca untuk melihat masa yang berlalu. Tentu sekali dengan mudah kita akan teringat waktu kita di zaman kanak-kanak walau pun kadang-kala ada di antara kita susah untuk menceritakannya kepada orang lain. Walau pun kita tidak berasa senang untuk menggambarkan melalui perkataan atau perbualan dengan lidah tetapi yang pasti ia sangat mudah tergambar di belakang mata atau dalam ingatan kita.


Ada juga orang yang tidak berbakat untuk bercerita secara lisan tetapi berkemahiran bercerita secara tulisan dan pastinya semua yang tergambar di dalam ingatan baik dengan penceritaan lisan atau tulisan, ialah perasaan kegembiraan yang terasa dalam diri kita. Ini terhasil kerana pelbagai perasaan dirasai dalam sedetik masa seketika teringat. Ada juga orang yang berbakat keduanya sekali dan ada juga orang yang tidak tahu untuk bercerita dan juga tidak tahu menulisnya. Namun gambaran peristiwa yang pernah dialaminya tetap terang dan berseri dalam lubuk ingatan.


Apa yang Tun Sheikh ingin perkatakan di sini ialah perasaan kita. Tentunya kita berasa waktu kanak-kanak dahulu dan dengan sekarang seperti sama saja. Tetapi apabila kita melibatkan akal fikiran dan kerasionalan berfikir dengan menyesuaikan keadaan kita sekarang atau ketika berfikir maka barulah kita terasa seolah-olah ada perbedaan. Pada hakikatnya hanya fikiran dan jiwa yang rasional sahaja dapat menikmati kelainan rasa atau ketuaan diri. Kebanyakan daripada kita sebenarnya tidak berasa kelainan usia, nafsu dan kepuasaan. Kepuasan semacam sama saja. Kecuali tubuh badan fizikal sahaja yang memaksa menghadkan diri.


Dengan itu adalah suatu falsafah peringatan yang sangat tinggi apabila kita diajar dan diingatkan bahawa tanda-tanda sudah dekat dengan kematian ialah apabila rambut beruban, gigi mula luruh, telinga mula kurang tajam pendengaran dan mata yang beransur kurang penglihatan dan kabur .Seterusnya secara-berperingkat-peringkat kita diingatkan oleh pencipta kita sendiri sehingga ke tahap lemah tubuh badan. Ada juga yang sampai pikun atau nyanyuk dan berkelakuan seperti anak-anak kecil yang tidak berakal dan tidak dapat membedakan samada najis atau bersih suci mahupun mengingati apa-apa perbuatan yang baru saja dilakukannya. Itu adalah di antara tanda ajal yang pasti akan sampai dan akan kita lalui. Ke mana dan bagaimana kita selepas mati? Apakah persediaan kita terhadap kematian yang pasti? Kita belajar mencari ilmu dan mencari pekerjaan yang baik sebagal bekal kita di hari dewasa. Apa pula ilmu dan pekerjaan kita untuk bekal selepas kematian?


Setelah kita dapat bayangkan macam mana keadaan ketika ini, kadar mana, kesihatan dan usia, Tun Sheikh juga hendak mengajak para pembaca semua diatas peringatan Tuhan terhadap sebuah kerajaan yang maju dan kuat ke arah keruntuhan. Ini adalah sangat penting supaya kita segera membuat persiapan. Kalau tidak pun kita boleh berusaha dan berikhtiar agar kerajaan yang akan runtuh dan pupus itu lambat sedikit hayat dan proses keruntuhannya. Hal ini juga penting kerana dalam kerajaan ini lah kita sedang hidup dan menikmati nikmat kehidupan dan nikmat beragama sebagai rahmat Tuhan yang dikurniakan kepada kita.


Maka ada antara firman Allah bahawa tanda-tanda sesebuah kerajaan yang akan roboh ialah Allah campakkan rasa kesombongan, riak dan takbur dalam hati para pemimpin kerajaan itu. Maka memerintahlah para penguasa itu dengan sifat sombong, riak dan takbur kerana menganggap dirinya hebat dan berkuasa. Mereka sangat membanggakan diri kerana merekalah yang memakmurkan Negara yang diperintahnya. Apabila ini berlaku, akan lahir pula penentang-penentang kezaliman dan akan berlakulah perebutan kuasa dengan pejuang anti kezaliman dan anti penindasan.


Apabila berlaku peperangan maka hilanglah kedamaian, keharmonian dan kemakmuran sesebuah Negara itu sehingga yang pernah maju dan kaya jadi punah dan rakyat menderita. Punca yang sangat Tuhan murka ialah kesombongan diri. Apabila manusia itu sombong maka Tuhan akan memberi peringatan dengan bencana tetapi jika berterusan dengan kebanggaan dan kesombongan maka Tuhan akan menambah lagi rasa kesombongan itu sehingga manusia hilang pertimbangan dan berlaku zalim terhadap yang lemah.


Tun Sheikh menyeru kepada diri sendiri dan para pembaca bahawa marilah kita segera bergerak berikhtiar dan bertindak agar keharmonian dan kemakmuran hidup kita ketika ini tidak roboh gara-gara kesombongan para pemimpin yang sudah sampai ke tahap riak dan takbur. Inilah petanda yang Tuhan ingatkan kepada kita. Maka marilah kita segera bertindak menghilangkan perasaan sombong dan riak para pemimpin Negara kita. Jika mereka tidak segera berubah maka mari lah kita sama-sama mengubah mereka dengan cara memilih tokoh-tokoh pemimpin yang lain. Tokoh-tokoh baru yang tidak sombong, riak, takbur dan zalim.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere