MIMPI POLITIK RAYA
Hari ini Jumaat 23 Oktober 2009 bersamaan 4 Zulkaedah 1430 bererti sudah 4 hari syawal berlalu tetapi ada diantara kita masih merasakan hari raya masih ada dan masih boleh dirayakan lebih-lebih lagi kepada yang belum sempat membuat 'open house'. Itu lah budaya kita, budaya minda Melayu yang penuh dengan kelalaian yang terhijap dengan segala hiburan. Lihatlah para pemimpin kita tidak kira dari parti apa, rentak mereka sama sahaja. Paradigma minda ketuhanan belum sekata. Oleh itu baiklah penulis mengajak para pembaca masuk ke alam mimpi penulis supaya senang sama-sama menghayalkan kenyataan sebagai mimpi dan mimpi sebagai kenyataan.
Maka yakinlah penulis bahawa ahli-ahli politik faham apa yang penulis maksudkan dan para pengamal undang-undang tahu. Penulis mengajak para pembaca mengikuti mimpi penulis kerana politik ini tidaklah sekotor mana tetapi pelakon-pelakonnyalah yang terlalu over acting hingga membuat politik itu sangat busuk. Lebih-lebih lagi apabila watak hero dipegang dan dilakonkan oleh pelakon yang mempunyai ilmu seorang penipu dan pembohong. Pasti lakonannya sungguh hidup dan selamba.
Dalam mimpi penulis, kelihatan jelas bahawa hari raya bagi AMNU merayakan kejayaannya di Negeri Sembilan belumlah habis. Mereka yakin akan membenamkan perjuangan SAP, PAD dan KEDIL yang beria-ia ingin memperjelaskan kebusukan AMNU dengan sekutunya menyalahgunakan kuasa dan amanah yang diberikan rakyat. Mereka yakin rakyat akan kembali kepada mereka kerana mereka berjaya memerangkap sebahagian ahli Pakatan ke lembah busuk yang sedang mereka kuasai dan amalkan. Mereka yakin strateji mereka mengheret wakil-wakil Pakatan yang tersepit dan yang tiada jatidiri dan pendirian sebagai bangkai busuk yang akan menjauhkan rakyat jelata dari menyokong mereka telah dan akan terus berjaya.
Mereka menggunakan strateji boomerang yang dileparkan dengan kemahiran tinggi dan berbalik kepada diri sendiri. Boomerang yang dimaksud ialah penerangan dan penjelasan terhadap amalan rasuah yang telah membudaya begitu teruk dalam AMNU dan sekutunya hingga parti lawan berjaya menggambarkan budaya rasuah dan salah menggunakan kuasa itu sebagai sesuatu yang amat buruk dan dibenci. PAKATAN telah berjaya menyedar dan memahamkan rakyat dengan segala usaha yang tidak mengenal penat lelah dan begitu gigih tapi sangat mudah diputarkan oleh AMNU dengan mengheret wakil-wakil rakyat PAKATAN yang mempunyai penyakit virus dan penyakit kronik yang bernanah dan busuk.
Sekelip mata, perjuangan ke arah keadilan dan ketelusan yang merangkumi kejujuran, amanah dan kebaikan mendapat hilang kepercayaan di mata rakyat. Penyebabnya adalah mudah kerana AMNU dan sekutunya berjaya menonjolkan dan membongkar tokoh-tokoh yang mempunyai watak keji yang tidak diketahui oleh pemimpin PAKATAN sebagai hero penjahat yang perlu dibunuh. Pastinya rakyat akan setuju kerana sentimen kejujuran dan amanah telah menjadi cita-cita rakyat tanpa merasakan bahawa sentimen membenci itu juga akan menular kepada PAKATAN yang bertungkus-lumus memperjuangkannya.
Parti SAP yang mempunyai pendirian yang begitu kukuh juga kelihatan kecewa dan kelihatan seperti layang-layang putus tali. Ini adalah kerana talinya berkongsi dengan PAD dan KEDIL dalam perjuangan mengangkat maruah bangsa melalui kejujuran dan amanah telah dicemari oleh wakil PAD dan KEDIL. Meskipun tidak sampai 10% tetapi AMNU telah berjaya memanupulasikannya hingga seolah-olah PAKATAN adalah pakatan memperjuangkan kejujuran tetapi penuh dengan pembohongan dan kepura-puraan.
Dalam majlis raya dan kongsi raya, AMNU benar-benar beraya sakan dengan kejayaan mereka. Manakala PAKATAN sepi seperti orang yang telah berbuat salah dan mengakui kesalahannya. Maka seolah-olah mudah diketok dan kesalahan yang telah dilakukan seperti sangat besar. Dalam Persidangan AMNU baru-baru ini mereka terus merayakan kejayaan mereka. Dan memang patut pun mereka merayakannya kerana itu adalah hak mereka. Tetapi sebagai pejuang tulin terhadap keadilan dan kejujuran PAKATAN perlu memantau dan membersihkan diri.
Penulis adalah penyokong dan pendokong kepada keadilan dan kebenaran. Maka kepada semua yang berjiwa seperti ini tentunya merasa kecewa atau geram jika kita tidak terus memperjuangkan apa-apa yang hak dan mencegah kemungkaran atau kebatilan. Lebih-lebih lagi apabila dalam mimpi penulis, seorang tokoh terkenal memberitahu dengan rasa sombong dan bongkaknya bahawa kejayaan di Negeri Sembilan adalah permainan mereka menipu rakyat dengan berlakon seperti bermusuh tetapi berkempen secara rahsia bagi memenangkan wakil AMNO kerana hanya menerusi dia, orang AMNU akan kelihatan berkuasa tetapi orang PAD dan ACM dan yang sewajah dan sebangsa akan terus kaya menguasai ekonomi dan dapat menikmati kehidupan yang senang dan selesa tidak seperti Melayu bodoh yang menang sorak tetapi kampung tergadai.
Oleh Tun Sheikh