JAHIL IS (ISLAMIC STATE) DAN KEJAHILAN KITA
Pada bulan April 2015 Tun Sheikh
berkesempatan mengikuti taklimat keselamatan
dari ketua SB di Kompleks BTN
Jln Bellamy Kuala Lumpur. Ramai pemberita dan wartawan termasuk blogger dan
stesen penyiaran dijemput hadir. Topik utama ialah mengenai IS atau Islamic
State di Syria. Penceramah memaklumkan bahawa sindrom IS adalah benar dan berada
dalam status bahaya pada SOP penyiasatan
polis. Hal ini betul-betul teruja kerana pihak polis telah berjaya mengumpul
maklumat sebanyak tidak kurang 150 kes dalam jangka masa 10 bulan di negara ini.
Ini bermakna kes berkenaan adalah serius.
Sindrom IS ialah tarikan pengaruh
ekstrim terhadap pejuangan agama
yang di label sebagai perjuangan yang
suci. Propaganda menarik ahli dan penyebaran pengaruh adalah melalui internet
dan terbuka kepada sesiapa yang berminat
untuk menyertainya. Dari penyiasatan dan kajian yang telah dilakukan
terhadap kes-kes yang terkumpul, gerakan IS adalah gerakan ekstrimis agama yang
tidak berdasarkan ajaran Islam. Mereka menggunakan kekerasan dan menzalimi musuh mengikut nafsu dan dendam. Mereka
mengaku diri mereka sebagai pejuang jihad dan mencita-citakan mati syahid .
Pergerakan dan aktiviti mereka adalah jalan satu hala yang tidak mempunyai cara untuk berpatah balik. Matlamatnya ialah
memusnah atau membunuh musuh agama dan menikmati kejayaan atau mereka sendiri mati ketika berjuang . Dalam erti kata lain,
sesiapa yang telah berbaiah sebagai ahli atau telah menganggotai IS tidak boleh
lagi keluar dari organisasi itu. Sesiapa yang tidak mengikut arahan dianggap
sebagai pembelot dan akan dihukum bunuh.
Sambutan hangat dari negara ini
adalah kerana tidak memahami dan mengetahui sejarah penubuhannya dan tidak
mengenali tokoh-tokoh pemimpin. Tidak mengetahui ini dalam istilah agama ialah
jahil. Dunia Islam telah menolak kegiatan dan sebarang program IS sebagai
tuntutan agama kerana pada dasarnya segala peraturan asas yang diamalkan tidak
bersumber dari Al Quran dan Hadis. Ia tidak lebih kepada pengaruh adat dan
perancangan pemimpin IS. Dalam hal ini, ternyata pembuat peraturan atau dasar
dalam IS itu jahil tentang hukum hakam agama Islam.
Perkara yang sangat menonjol dan tidak
menyenangkan umat Islam ialah hukum bunuh yang dikenakan kepada penganut Islam
sendiri. Umat Islam yang tidak sefahaman dengan mereka dianggap kafir atau sesat.Semua mazhab adalah
bathil kecuali mazhab mereka. Pada waktu
yang sama mereka tidak mempedulikan kezaliman Yahudi terhadap umat Islam. Pembunuhan atau hukuman
mati yang dilaksanakan begitu sadis dan begitu zalim tidak sebagaimana
petunjuk dalam agama Islam.
Dalam taklimat itu, beberapa siri
video ditayangkan dengan jaminan kesahihan dari pihak berkuasa iaitu polis.
Meskipun ada soalan nakal dari wartawan dan blogger yang cenderung menyangka
pihak polis sebenarnya sedang berusaha mengalihkan perhatian rakyat daripada isu GST dan 1MGB yang tidak menyenangkan,
soalan dan pertanyaan dijawab dengan serius malah matlamat dan objektif pihak
polis adalah untuk memaklumkan perkembangan semasa, berkaitan bahaya besar pengaruh aktiviti
ekstrimis agama yang disebarkan oleh Pegerakan IS.
Pihak Polis meminta kerjasama agar sama-sama
memerhatikan sesiapa yang disyaki dari kalangan kaum keluarga dan sahabat
handai terdekat agar segera memaklum atau melaporkan kepada pihak polis. Ini
adalah kerana jika ahli keluarga telah terbabit jauh adalah sangat susah untuk
dipulihkan. Bahaya ke tahap bukan lagi harta tetapi nyawa. Ini adalah
disebabkan fahaman atau pegangan falsafah mental tidak sama dengan keistimewaan fizikal
atau ekonomi yang mudah berubah. Fahaman mental, falsafah dan pemikiran sangat
sulit dipulihkan secara segera. Inilah sindrom yang sedang melanda kepada
rakyat negara ini terutama kepada mereka yang berminat terhadap aktiviti
keagamaan tetapi tidak mempunyai pendidikan asas dan formal terhadap Islam.
Makluman pihak berkuasa polis
tidak boleh dipandang mudah. Kita sendiri boleh membuat kajian kerana apparatus
dan fasiliti media dengan dasar langit terbuka tanpa sempadan sangat mudah diperolehi
dan digunakan. Harapan utama dari Tun Sheikh dalam hal ini ialah, kita janganlah lupa mencari petunjuk dalam agama kita
mengenai IS ini. Inn Syaa Allah tentu ada untuk kita jadikan pegangan.
Oleh Tun Sheikh
30.4.2015 BTN
K.Lumpur