TREND MENUNJUK-NUNJUK AMNOBN

0 comments


TREND MENUNJUK-NUNJUK AMNOBN

Tun Sheikh masih ingat sebelum berlaku Reformasi 1998 trend menunjuk-nunjuk mewah dan mengumumkan diri ahli parti atau menyokong  BN adalah amat ketara dan membudaya. Orang kampung sungguh taksub dengan AMNOBN sehingga terset dalam minda hanya melalui AMNOBN saja orang Melayu boleh jadi cepat kaya dan terhormat. Sesiapa yang memiliki ijazah jika masuk politik akan mudah mendapat tempat, mudah naik dan tidak mustahil cepat menjadi timbalan menteri dan kemudiaannya menteri asalkan mereka sebulu, yes men dan tidak banyak mengeluarkan pemikiran kreatif yang bertentangan dengan orang atasan maka mereka akan ditindik sebagai pelapis.

 Bagi mereka yang suka mencari kekayaan dan kesenangan hidup, mereka juga yakin hanya melalui AMNOBN akan mendapat pelbagai projek dengan mudah asalkan mereka sanggup menerima syarat menjadi proksi pemilik dana-dana yang disalurkan daripada pemberian projek berkenaan melalui orang politik . Soal halal haram tidak lagi menjadi ukuran. Mereka   juga tidak dihalang menjadi alibaba dengan syarat, asal projek mesti siap dan sanggup mengembalikan duit make up sama ada untuk ahli politik berkenaan atau kepada parti AMNOBN. Rasuah semakin hari bertambah subur. Orang politik tidak berasa bersalah atau tidak mengaku sebagai rasuah sebaliknya berasa wajar kerana berfikiran dan beranggapan wang yang digunakan adalah duit kerajaan yang  telah  bertambah nilai kerana kebijaksanaan mereka.

Pada era reformasi 1998-2000, orang Melayu yang masih setia lagi dengan AMNOBN kelihatan malu-malu alang untuk mengaku sebagai orang AMNO kerana salah guna kuasa dan rasuah terbongkar di sana sini diuar-uarkan oleh bekas ahli AMNO yang menyokong reformasi. Setelah Parti Keadilan ditubuhkan dengan rasmi, AMNOBN bangkit dengan memberi kata dua agar ahlinya membuat pendirian jelas,  sama ada tutup mulut dan terus mendapat keistimewaan dari kepimpinan atau meninggalkan AMNOBN. Apa-apa berita penyelewengan yang digemburkan oleh bekas ahli Amno ditegaskan sebagai bukan orang AMNOBN dan dianggap fitnah dan pembohongan. Pembongkar rahsia yang dikenal pasti akan dipulau, disekat dan tidak diberi peluang langsung sehingga hidup mereka tertekan dengan cara mengugut dan mengancam ahli Amno yang berurusan dan ada kaitan dengan  mereka. Akibatnya banyak pengusaha Melayu yang telah maju tetapi bergantung dengan kerajaan dan Amno menjadi bangkarap, rugi dan tutup perniagaan. Tokoh pemimpin yang mengawal secara langsung bagi memastikan strategi beliau berjaya melumpuhkan mereka yang tidak mahu sekongkol dengan penyelewengan Amno ialah Dr M sendiri.

Trend menunjuk kuasa, kaya dan kehebatan terus disuburkan lagi dengan program bermegah-megah. Rakyat dipaksa memperlihatkan tanda berterima kasih. Lagu khusus “Keranamu Malaysia” dicipta dan diperdengarkan berulang-ulang sehingga rakyat muak. Muak kerana maksud tersiratnya menuju kepada kehebatan Dr M. AMNOBN tidak malu lagi mengaku sebagai entiti yang hebat dan mesti terus diberi mandat untuk memerintah. Entiti lain dianggap tidak berguna dan terus diperlekeh .  Apabila rakyat menyadari kesombongan dan keriakan Dr M sudah melampau, dan jika dibiarkan akan menjadi perdana menteri berkuku besi atau diktator maka lahirlah musuh-musuh beliau dari dalam yang akhirnya telah berjaya menekan beliau untuk melepaskan jawatan perdana menteri pada 2003. Setelah bersara beliau telah dikucil dan dipinggirkan sehingga kelihatan tidak berguna langsung. Beliau dianggap sebagai perdana menteri yang zalim dan telah mendatangkan bala dalam parti dan Negara kerana polisi-polisinya hanya kelihatan untuk semua lapisan  masyarakat tetapi sebenarnya yang mendapat faedah terbesar iailah para kroni dan pendokong-pendokong fahaman nepotismanya. Dr M sebenarnya adalah liabiliti.

Dr M yang terkenal dengan sifat tidak berputus asa,  pintar menghasut dan mengugut dan berpengaruh telah berjaya menggerakkan para kroni beliau yang telah menjadi jutawan membantu beliau menekan kembali dasar-dasar Pak Lah yang dianggap lemah sehingga Pak Lah pula terpaksa melepaskan jawatan. Setelah PM Ajaib menjadi orang nombor satu mengganti Pak Lah, Dr M mendapati orang yang disokongnya ini juga lemah dan akan rebah. PM Ajaib dianggap lebih buruk lagi kerana beliau tidak dapat mengawal isteri yang berlagak dan berperangai  seperti  isteri-isteri  pegawai tinggi tentera atau lebih teruk daripada itu.

 Dr  M kini terus berusaha menggerakkan jentera beliau bagi memastikan segala dasar yang  diperkenalkan ketika berkuasa dulu terus menjadi dasar yang diamalkan. Beliau juga kelihatan bersungguh-sungguh berusaha memastikan AMNOBN akan terus memerintah dan pada waktu yang sama terus menggalakkan AMNOBN mempengaruhi rakyat supaya bersetuju dan yakin bahawa hanya AMNOBN yang terbaik. Kerenah beliau ini telah memualkan kembali perasaan rakyat terhadap AMNOBN dan rakyat melihat usaha beliau hanyalah untuk kepentingan peribadi bagi mempengaruhi pemimpin AMNOBN agar memberi laluan kepada anaknya mencapai cita-cita politik menjadi perdana menteri. Disamping itu, rakyat juga melihat usaha Dr M hanyalah untuk menyelamatkan diri dari pelbagai tuduhan rasuah dan salah mengguna kuasa ketika menjadi perdana menteri dulu.

Trend menunjuk-nunjuk mewah  ketika ini yang dilakukan oleh PM Ajaib seperti memberi wang tunai dan pelbagai bantuan dan hadiah secara bayaran tunai amat membimbangkan Dr M. Ini adalah kerana pembalikan penerimaan secara pysikologi tidak akan menguntungkan kerajaan AMNOBN. Tindakan mengambil hati rakyat seperti ini amat berbahaya kerana rakyat akan terus berharap dan jika gagal diberi seterusnya, kerajaan AMNOBN akan dianggap tidak berguna. Rakyat juga pada hakikatnya tidak berasa perlu berterima kasih sebaliknya akan berpersepsi,  selama ini kerajaan AMNOBN telah lama curang dan menyeleweng kerana membelanja wang rakyat untuk kepentingan diri. Kemampuan memberi wang  tunai kepada rakyat adalah sebagai bukti. Pemberian wang tunai ini juga dianggap  terdesak apabila  siri-siri penyelewengkan  berjuta dan berbilion ringgit oleh AMNOBN  terbongkar.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Pusat Kraf Rawang Selangor 26.1.2013

Buah Tangan Reformasi Indonesia, Malaysia Bagaimana?

1 comments

Buah Tangan Reformasi Indonesia, Malaysia Bagaimana?

Apabila seorang bekas menteri kabinet Malaysia yang terkenal sebagai menteri  tukang kipas di era Tun Dr Mahathir menganggap bekas Presiden Indonesia setelah Suharto digulingkan oleh gelombang reformasi rakyat iaitu BJ Habibie sebagai seorang petualang dan pengkianat bangsa, Tun Sheikh berasa tersinggung perasaan dengan tiba-tiba dan berasa perkataan pengkianat kepada bangsa itu adalah sesuai dilabel kepada diri beliau sendiri. Beliau pernah dimaki hamun sehingga orang mempertikaikan keturunan Melayu beliau yang lebih kepada mamak sebagaimana Dr Mahathir. Sikap kaki mengampu beliau amat meloyakan dan beliau adalah satu-satunya menteri kabinet Dr Mahathir yang tidak melambangkan keintelektualan dan kecerdikan yang dibangga dan ditonjolkan oleh Dr. Mahathir. Lebih jauh daripada itu, beliau dijadikan ikon berperangai buruk para golongan mamak yang terkenal suka mengampu dan memutar belit fakta untuk kepentingan diri.

Berbanding dengan tokoh BJ Habibie, bekas Presiden Indonesia itu  bukanlah seorang yang gila kuasa seperti Dr Mahathir.  Perlantikan beliau menjadi presiden sebagai pengganti kepada Suharto bukanlah atas kemahuannya dan bukanlah merupakan cita-cita yang diidam-idamkannya. Dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden beliau sangat merendah diri dan akur untuk sedia berundur apabila keadaan menjadi tenang dan  apabila Indonesia  beroleh Presiden baru yang ideal. Beliau mengakui menjadi Presiden kepada hampir 300 juta rakyat  Indonesia dalam keadaan ekonomi yang jatuh merundum dan tekanan dari kumpulan-kumpulan pendesak yang pelbagai termasuk daripada kumpulan kiri, kumpulan agama, kumpulan sosial yang terlalu liberal dan kumpulan mahasiswa bukanlah menyenangkan diri beliau. Namun kerana beliau merupaka seorang menteri yang terkanan dan sangat toleransi serta terkenal dengan  keintelektualan yang sangat dibanggakan oleh rakyat yang ada pada dirinya telah mengangkat beliau sebagai Presiden yang layak memimpin dalam suasana yang tegang itu. Beliau menduduki kerusi presiden hanya setahun lebih dan berundur dengan terhormat mengikut perlembagaan Negara yang dibuka dengan seluas-luasnya oleh beliau sendiri. Kebebasan bersuara dan berpolitik bukanlah baru tertulis dalam perundangan Indonesia tetapi hal itu menjadi beku di bawah pemerintahan yang didokong oleh kuasa tentera pada zaman Sukarno dan Suharto. BJ Habibie boleh dipanggil sebagai Bapa Reformasi Demokrasi Indonesia.

Ketika BJ Habibie berkuasa, pintu demokrasi dibuka seluas-luasnya. Bidang yang mendapat manfaat penuh daripada  dasar beliau ialah bidang komunikasi dan falsafah pemikiran terutamanya dalam hal politik. Suara rakyat dan kebebasan bersuara diutamakan.  Beliau sendiri memberi  galakan kepada mass media dan membenarkan kritikan dilontarkan kepada sesiapa terutamanya kepada pihak pemerintah jika rakyat berpendapat mereka telah terkeluar dari landasan kewajaran.  BJ Habibie boleh dianggap sebagai seorang tokoh yang berjasa kepada agama khususnya Islam kerana meletakkan agama itu pada  kedudukan terhormat dan menggalakkan para-para daei dan pendakwah memberi  kefahaman yang secukupnya kepada penganut agama lain supaya Islam tidak begitu dipandang serong dan disalah mengertikan.

Golongan mahasiswa diberi kebebasan untuk bersuara dan mengadakan piket-piket  aman yang berterusan malah beliau mengkerahkan angkatan tentera membantu menjaga keamanan persekitaran di mana para golongan mahasiswa mengadakan demonstrasi aman. Beliau menegaskan para anggota angkatan bersenjata mestilah mengetahui peranan dan tanggongjawab mereka selaku petugas bersenjata bermisi dan berobjektif menjaga kedaulatan dan keamanan untuk semua rakyat dan bukan untuk kepentingan pemimpin tertentu. Beliau memberi  kepercayaan penuh kepada angkatan bersenjata Indonesia meskipun terdapat desas desus ada yang ingin memberontak kerana tidak dapat menerima kenyataan dalam hal keistimewaan yang dinikmati oleh angkatan bersenjata di zaman Sukarno dan Suharto. BJ Habibie telah berjaya mereformasikan pemikiran angkatan bersenjata dalam memainkan peranan mengawal keamanan dan kedaulatan Negara dengan mengutamakan semua rakyat tanpa memandang bulu.

BJ Habibie juga sentiasa menghitamkan amalan rasuah dan nepotisma dan menggalakan transparensi dalam segala urusan sama ada  dalam pentadbiran, politik, ekonomi dan juga social. Dasar-dasar Habibie telah meledakkan perjuangan reformis demokrasi dan banyak pembaharuan telah dilaksanakan dengan sendiri oleh kumpulan-kumpulan reformis yang selama ini bergerak dengan senyap dan berhati-hati dari berhadapan dengan penguatkuasa tentera dan polis yang ditugaskan oleh Suharto.

Setelah 10 tahun reformasi dan sehingga tahun 2012, Indonesia berjaya menambah golongan berpendidikan tinggi  dan golongan menengah dengan begitu drastik sekali. Indonesia juga berjaya melahirkan pengusaha dan ahli koperat yang begitu ramai sehingga boleh dikatakan telah berjaya mengeluarkan diri dari kepompong perekonomian yang lembab kepada sebuah Negara ekonomi yang membangun aktif. Meskipun amalan rasuah masih ada tetapi perjuangan untuk tidak membudayakannya masih berterusan. Ketika ini boleh dikatakan para pemimpin  Indonesia sangat berhati-hati dan mengelak diri dari terjerat dengan isu rasuah. Mereka sangat yakin, jika Indonesia berjaya menghilangkan ikon pengamal budaya rasuah, maka kedudukan mereka dalam serba-serbi akan melonjak di mata dunia.

Dalam soal maruah ketika ini pun Indonesia telah medahului Malaysia. Adalah amat mendukacitakan, dalam rekod kita berjaya membangun Negara tetapi budaya rasuah dan kejatuhan maruah diri peminpin kita jatuh merundum kerana pelbagai skandal yang tidak bermaruah. Apabila dikaji secara rambang daripada fakta-fakata terkumpul dari dalam dan luar Negara, pelbagai pandangan telah menyalahkan hal ini bertunas dengan subur oleh dasar-dasar regim Mahathir. Sehingga ke hari ini Malaysia masih terkapar-kapar mencari identity dan jati diri yang bersih dari kebejatan. Akan berjayakah Malaysia..?? Ini adalah bergantung kepada keberanian dan kesadaran rakyatnya iaitu diri kita dalam memainkan peranan masing-masing dalam sejarah politik negara ini. Tuhan tidak akan mengubah nasib kita jika kita sendiri tidak berusaha dan berikhtiar untuk berubah!

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
KL 12.12.12

Saman AES ‘ASS-EKOR’

0 comments

Saman AES ‘ASS-EKOR’

Satu istilah baru sedang bermain dibibir anak-anak muda jalanan samada penyokong atau anti UMNO. Istilah ini sedang memutik dan dijangka akan popular atau menjadi terkenal tidak lama lagi. Istilah yang dimaksudkan berbunyi ‘AES-Ass Ekor’. AES sebenarnya singkatan daripada perkataan  Automatic Enforcement System yang bermaksud Sistem Penguatkuasaan Automatik. Ass pula dari perkataan Inggeris yang bermaksud burit, ponggong atau bontot dan Ekor pula telah difahami segenap lapisan rakyat sebagai saman curi atau saman terbang oleh PDRM atau JPJ daripada kesalahan pengguna yang melanggar peraturan jalan raya.

Masalah atau penolakan AES ini telah dibawa ke parliman tetapi UMNOBN tetap berdegil menguatkuasakannya. Rakyat pada suatu ketika dulu amat tidak selesa  dengan Saman Ekor yang dianggap tidak berperikemanusiaan, menganiaya rakyat dan zalim kepada yang berpendapatan rendah. Pada suatu tahap sehingga memaksa kerajaan memberi diskauan atau potongan saman yang telah ditetapkan. Saman ekor juga pernah dicabar di mahkamah dan kerajaan telah kalah dari segi perundangan sehingga membuatkan mereka berasa serba salah untuk meneruskannya. Ini adalah kerana dikhuatiri akan disaman oleh rakyat lagi.

Dari satu segi lain, hasil saman ekor adalah wang panas kerajaan yang mendapat hasil dengan begitu mudah daripada rakyat meskipun mereka mengetahui beberapa tindakan seperti ugutan pernah digunapakai ketika memungut denda saman ekor itu. Satu diantaranya ialah membekukan lesen memandu atau cukai jalan kenderaan yang terlibat sehingga menyusahkan rakyat yang menganggap kenderaan mereka pada zaman ini bukanlah barangan atau benda mewah tetapi sebaliknya. Kereta, motorsikal atau kenderaan bermotor yang dimiliki mereka adalah keperluan dalam kehidupan seharian. Sehubungan itu apabila kenderaan mereka disenarai hitamkan, mereka berhadapan dengan pelbagai kesulitan yang kait-mengait. Selagi mereka tidak membayar saman maka mereka sentiasa berada dalam kedudukan orang salah dan hal ini amat menekan mereka lebih-lebih lagi kepada yang terpaksa mencari duit yang banyak untuk membayar saman ekor yang telah terkumpul lama.

Proses saman ekor pula adalah seperti pencuri yang dilindungi undang-undang. Rakyat menganggap ini sebagai bacul. Mereka lebih senang dan berpuas hati apabila disaman secara berhadapan atau serta merta seperti ditahan ketika memandu atau operasi biasa. Saman yang dikeluarkan sebegini dianggap gentlemen.  Ramai yang tidak berpuas hati terhadap saman ekor dan rintihan mereka tidak didengar dan dipedulikan oleh UMNOBN kecuali oleh PAS sehingga membawanya ke parliman. Disebabkan memang ada unsur-unsur penindasan dan kurang berperikemanusiaan kerajaan dan bercanggah dalam perundangan, maka kerajaan terpaksa memberi diskaun dan menunda tempoh tarikh pembayaran saman dan secara senyap  seolah-olah tidak memfokusnya lagi atau mengutamakan isu pembayaran saman ekor kerana dikhuatiri hilang pengaruh politik dan dibimbangi berlaku demonstrasi rakyat yang tidak berpuas hati yang boleh menjadikan suasana keharmonian Negara tergugat.

 Disamping bertindak seolah-olah telah melupakan isu saman ekor, terdapat juga sesetengah pemimpin yang mata duitan dan penindas terus  mencari alternatif saman ekor ini kerana hasil pungutan wang yang dikaut daripada rakyat begitu lumayan, mudah dan cepat. Mereka tidak setuju saman ekor dihentikan tetapi telah memeras otak mencari apa-apa idea yang dapat menyamai matlamat dan tujuan mengumpul wang dengan cepat untuk kepentingan Negara kata mereka tetapi yang sebenarnya adalah untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Hasil dari usaha tokoh-tokoh pemimpin yang mata duitan dan tidak prihatin ini maka AES diperkirakan sesuai menggantikan system saman ekor. AES adalah lebih zalim kerana penggunaannya adalah sepenuh waktu secara automatic dan berkomputer. Operasinya terus menerus sepanjang hari dan 24 jam. Lebih ironi lagi apabila penyeliaanya diserahkan kepada syarikat yang berorientasikan keuntungan. Kerajaan UMNOBN cuba menipu rakyat dengan meletakkan alasan kecuaian atau ketidak cekapan syarikat berkenaan jika berlaku apa-apa pembatahan atau tindakan susulan dari pengguna jalanraya. Padahal mereka tahu syarikat terbabit adalah syarikat milik kroni mereika dan hasil yang diterima dibahagi dua. Satu pergi kepada syarikat dan sebahagian lagi masuk ke dalam hasil Negara.

Para pakar ekonomi cepat dapat membaca permainan silapmata politik ekonomi ini kerana mereka berasakan keperihatinan kerajaan UMNOBN memang telah tiada memandangkan rekod keborosan mereka mengendalikan wang Negara sangat buruk. Ketirisan begitu besar dan sebenarnya erti dan maksud ketirisan itu sendiri sengaja dicipta bagi mengelirukan kefahaman rakyat terhadap budaya rasuah dan kroni yang mereka amalkan selama ini.

Istilah AES ASS EKOR atau ASS EKOR  secara taboo atau kurang sopan bermaksud sistem jahanam ini dijangka akan membuat rakyat benci kepada kerajaan UMNOBN jika ia terus dikuatkuasakan. Malah apa-apa sistem dan pembaharuan ketika ini jika diadakan oleh UMNOBN, rakyat melihat terdapat agenda tersembunyi iaitu keuntungan dan kebuasan para kroni dan para ahli politik kerajaan mengaut dan mengikis wang rakyat untuk diri mereka sendiri. Mangsa utama yang bakal menjadi korban dalam nousa kebejatan ini ialah para ahli politik UMNOBN yang jujur dan berintergriti. Mereka terpupus dan menjadi luput bersama-sama kebencian rakyat terhadap budaya rakus dan lahap ini. Sebenarnya masih  ada waktu dan kesempatan meskipun sangat sedikit  bagi mereka untuk meninggalkan kebejatan atau kumpulan pemimpin yang busuk ini. Kepada rakyat pula, merekalah penentu masa hadapan Negara jika berani membuat perubahan dengan memilih pemimpin yang benar-benar jujur memegang amanah bangsa dalam pilihanraya.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Tanjung Balau Resort 13.10.2012

Antara Yang Masih Setia Dengan BN Atau UMNO Johor

0 comments

Antara Yang Masih Setia Dengan BN Atau UMNO Johor

Pergerakan Pemuda UMNO Johor kelihatan kritikal apabila berlaku tarik-menarik kuasa. Siapa yang menghulur besar, dialah memang telah menjadi budaya sehingga tidak salah jika dikatakankan pemimpin terutamanya pemuda kelihatan begitu kaya dan bergaya dan menjadi orang senang yang begitu cepat tanpa jelas perusahaan atau perniagaan yang dilakukannya kecuali sebagai AJK UMNO. Kebencian terhadap perilaku ini tidak tersebar luas dalam negeri Johor sehingga melemahkan aktiviti UMNO tetapi amat mempengaruhi orang Melayu di luar Johor kerana selama ini Johor sering dianggap sebagai mentor UMNO sebab di sinilah UMNO dilahirkan dan di Johor juga banyak melahirkan pemimpin UMNO yang telah berjaya membangun negara.

Desas-desus persaingan pengaruh ini kerana ada 4 blok pengikut dan pengaruh iaitu MB, blok TPM, blok KJ dan blok PM-Hishamuddin. Blok pengaruh KJ adalah kumpulan yang dituduh dapat memegang dan menganggotai AJK kerana faktor ketika KJ amat berpengaruh disuatu ketika dahulu semasa bapa mertuanya sebagai presiden UMNO dan PM Malaysia. Kebanyakan pimpinan pemuda dari blok KJ berpendidikan, glamour dan saku juga dikatakan gemuk dan tidak terkecuali dengan budaya kroni dan amalan rasuah.

 Blok MB atau Dato’ Ghani pula adalah kumpulan pemuda yang sedang bertungkus lumus mempertahankan pengaruh MB bagi memastikan pengaruh politiknya tidak merosot dan mentadbir serta membangun Johor. Kumpulan ini dan MB sendiri boleh dikatakan amat jarang membuat kenyataan kerana mengambil sikap berhati-hati,  takut tersilap dan sensisitif kepada orang Melayu Johor sendiri. Ini adalah kerana MB suka dilihat seperti sebagai tokoh yang taat menurut perintah tanpa menunjukan  pendirian sendiri yang boleh dijadikan isu oleh musuh-musuh politik. Beliau juga sentiasa berhati-hati dan mengambil jalan selamat dalam pelbagai isu  seolah-olah mengikut telunjuk dan arahan dari pimpinan pusat. Dan UMNO pusat yang dimaksudkan ialah dari pihak tertinggi UMNO yang tidak menunjuk kepada Tan Sri Mahyuddin Yasin.

Blok yang dipengaruhi oleh KJ, Ketua Pemuda UMNO pula sudah mula menerima pelbagai tekanan dari blok MB dan Blok TPM sejak mertua beliau melepaskan jawatan PM dan presiden UMNO. Mereka kerap dianggap hampir tidak relevan lagi tetapi mereka terus dapat bertahan kerana mereka mempunyai identiti tersendiri yang dianggap sebagai berpendidikan dan professional. Manakala penyokong TPM pula adalah terdiri dari pemuda kampong dan anak muda berpendidikan agama. Blok PM-Hishamuddin pula adalah umpama anak harimau yang sedang membesar. Semua orang tahu Najib adalah abang sepupu kepada Hishamudin.  Kumpulan ini telah mula menunjukkan sedikit demi sedikit taring dan kuku mereka apabila Najib menjadi PM dan Hishamuddin diangkat menjadi Menteri Dalam Negeri yang menjadi tuan kepada angkatan polis dan bersenjata. Mereka semua dijaga dengan baik oleh kepimpinan masing-masing.  Baru-baru ini sebagai pemanis untuk meringankan tulang dalam pilihanraya, masing-masing kelompok ini ditaja ada ke Thailand, ke Bandung dan ada ke Surabaya dan Bali.
Majoriti dari pemuda Johor yang tinggal di luar Johor tidak berminat dengan UMNO atau BN kerana mereka lebih terbuka dan bebas mendapat maklumat tanpa dibayangi oleh sesiapa. Kebanyakan mereka juga berpendidikan tinggi dan kecenderongan mereka adalah berpihak kepada yang difikirkan terbaik. Dalam hal ini nilai sejagat sering dijadikan kayu pengukur. Mereka tidak kira pandangan atau sesuatu idea itu datang dari siapa tetapi jika bernas dan ada kebenaran maka mereka menyokongnya. Sehubungan itu banyak diantara mereka adalah penyokong NGO dan PR kerana mereka anti rasuah dan anti perilaku pecah amanah sebagaimana apa yang telah membudaya dalam BN.

Pemuda-pemuda yang sangat setia kepada BN atau UMNO Johor adalah dari kelompok pemuda yang mendapat pendidikan atau pekerjaan teknikal. Mereka tidak menggemari sejarah dan kesusasteraan. Mereka suka yang terus terang atau secara langsung tetapi kelemahan mereka yang tidak suka berimejinatif menjadikan diri mereka mudah dipengaruhi oleh penguasa yang mengusai mass media. Kumpulan pemuda sebegini boleh dikatakan sebagai kelompok penyokong tegar UMNO tetapi jika mereka tidak terus disuapkan, pada suatu hari nanti mereka akan menjauhkan diri daripada BN dan malu untuk menganggotai parti atau persatuan lain kerana fikiran mereka tidak terbuka dan tidak dapat berfikir politik di luar kotak.
Satu kelompok lagi yang dianggap sebagai penyokong tegar UMNO atau BN di Johor ialah kumpulan tua berusia 60 tahun ke atas. Mereka telah menganggotai UMNO sejak muda dan didepan mata mereka sendiri mereka telah melihat dan berpengalaman bagaimana orang yang didiskriminasi secara terang atau secara halus jika tidak menyokong UMNO atau BN. Mereka berasa diri mereka telah bernasib baik kerana mendapat kesenangan atau habuan dari orang yang mereka sokong tanpa mengetahui sebenarnya habuan yang mereka terima setaraf sebagai gula-gula sahaja. Gula-gula yang disuapkan kepada mereka sehingga berjaya melupakan diri mereka bahawa kejayaan yang mereka dapat adalah hasil dari titik peluh mereka sendiri. Di sinilah letaknya kehebatan pemimpin UMNO Johor yang berjaya menanam pysikologi pemikiran kepada orang Melayu Johor.
Sejarah juga memainkan peranan penting kerana kemajuan Johor disebabkan pelbagai factor tetapi fakta yang belum dikaji secara sains ialah fakta keadaan para pendatang. Ini adalah kerana jika dikaji secara terperinci majority rakyat Johor tidak kira Melayu atau Cina adalah pendatang luar yang ingin membina hidup baru dan mencari keharmonian hidup di sini. Mereka datang dari pelbagai negeri atau tempat seperti dari Cina, Jawa, Sumatera, Kalimantan, Sulawasi, Kelantan, Kedah dan negeri-negeri Melayu lain. Sehingga sebuah kajian sejarah berani mengatakan bahawa penduduk asal Johor ialah orang asli laut atau darat sahaja. Selain itu adalah dari pengaruh kerajaan Melayu Melaka, Pahang,  Siam, Majapahit dan lain-lain.

Apabila semakin ramai anak muda Johor yang berada di luar Johor dan membawa pemikiran positif bernilai sejagat maka akan rapuhlah fahaman kuno yang bersifat feudal. Ketika ini penentu kejayaan BN untuk mengekalkan kuasa di Johor terletak di tangan pengundi Cina. Jika bekas presiden MCA dari Muar dan PR terus memperhebatkan usahanya memberi penerangan ikhlas kepada orang Cina dan Melayu bahawa selama ini UMNO telah menipu bangsa Melayu dan BN dalam soal politik dan ekonomi maka tidak mustahil Johor akan bertukar tangan. Hal ini seharusnya direbut oleh rakyat Johor sebagaimana catatan sejarah Johor sebagai tempat lahirnya UMNO, para nasional Melayu dan penuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Pada kali ini pula Johor mungkin sebagai negeri berkebajikan termaju dan pengamal hudud Islam dan ini tidaklah mustahil kerana hudud yang  ditakut-takutkan UMNO pada hakikatnya adalah sangat adil kepada penganut lain dan tidak dipaksa atau relevan kepada bukan Islam.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
K.L. 3 Julai 2012

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere