Mengintai Jejak Mencongak Jalur Lebuhraya Minda

0 comments
Mengintai Jejak Mencongak Jalur Lebuhraya Minda

Sudah agak lama juga Tun Sheikh tidak menulis di blog sendiri. Biasalah...apabila kita memberi tumpuan kepada sesuatu hal milik orang atau milik teman maka pada lumrahnya kekurangan akan berlaku pada milik kita sendiri. Tun Sheikh juga ada menerima nasihat dan pandangan agar jangan terlalu mengikut atau terpengaruh dengan emosi ketika berkarya atau menulis terutamanya untuk blog sendiri. Atau jangan terlalu berkira dan memilih topik panas aatau yang terlalu mengharapkan perhatian pembaca. Pernah suatu ketika dulu mentor Tun Sheikh iaitu Cikgu Hj Shaharom Hussein berpesan agar tulis saja apa yang terlintas tanpa mengambil kira masa dan di mana. Kadang-kadang apa yang terlintas atau yang dikatakan ilham itu bukan milik kita tetapi manfaatnya adalah untuk para pembaca tertentu. Kadang-kadang apa yang kita fikir besar sebenarnya tidaklah besar atau apa yang kita fikirkan tidak penting rupa-rupanya sangat gempak di waktu atau diketika yang lain.

Sepanjang period pasif penulisan Tun Sheikh iaitu sejak Mei sebenarnya berpuluh topik telah terkumpul dan insyaallah Tun Sheikh akan mengolahnya di dalam blog ini. Ini tidak termasuk permintaan dari sahabat handai yang menyuntik pelbagai isu agar Tun Sheikh tulis di blog ini. Baru-baru ini seorang pejuang reformasi dari Sabah menghubungi Tun Sheikh melepaskan perasaan geramnya terhadap tindakbalas kerajaan kepada perjuangan pergerakan reformasi melalui aktiviti Bersih. Perkara yang sangat tidak disenangi beliau ialah apabila Ketua Pengarah jabatan beliau, seorang anak dara tua yang akan bersara pada tahun ini memesan atau mengeluarkan arahan supaya semua pegawai dan kakitangan tidak turut dalam perhimpunan Bersih. Apa yang sangat dimarahi beliau ialah pandangan Ketua Jabatannya terhadap erti perkataan kerajaan. Kefahaman ketua jabatannya kelihatan terlalu bias dan mengongkong pengertian demokrasi sebagaimana kefahaman yang dianuti oleh Melayu UMNO.

Jabatan beliau pula adalah sebuah jabatan yang berfungsi sebagai penyimpan rekod bernilai negara dari segi sejarah, budaya, pentadbiran, kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya yang tentunya mesti berpandangan luas dan jauh dan netral tidak terikat dengan polisi kepartian atau perkumpulan yang terhad. Kemarahan beliau, sehingga menerbitkan ungkapan anak dara tua yang tidak nampak kekerdilan diri yang memang kerdil. Dan beliau kecewa jika kerajaan menyambung kontrak perkhidmatannya kerana akan lebih mengongkong tindakan dan keputusan yang sudah tentu akan lebih memihak kepada kerajaan yang berpandangan sempit kerana dipengaruhi oleh BN atau UMNO.

Berbalik kepada emosi dalam penulisan, Tun Sheikh rasa ini adalah penting kerana emosi itu sering dapat menyerap suatu perasaan halus yang dirasai. Tetapi memanglah amat wajar dikawal supaya tidak merencak ilham atau sebarang tindakan positif. Ini memang pernah Tun Sheikh alami dan baru-baru ini hal emosi sangat menyerap dalam jiwa Tun Sheikh kerana terkejut terhadap peristiwa bencana tananh runtuh di Hulu Langat yang telah meragut 19 nyawa. Padahal gerakhati Tun Sheikh baru sahaja mengintai bencana yang akan turun kerana ciri-ciri kesombongan kerajaan sudah cukup nyata lebih-lebih lagi apabila isu fitnah digembur-gemburkan. Bukan sahaja fitnah mengenai ketokohan seseorang pemimpin tetapi juga fitnah terhadap isu agama telah dimainkan oleh kepimpinan UMNO seolah-olah mengugut rakyat terhadap akibat bencana buruk yang akan dihadapi jika menafikan jasa dan kebaikan kerajaan yang memerintah sekarang.

Pemimpin Melayu yang sedang memerintah atau berkuasa sekarang sebenarnya telah rabun teruk yang hampir-hampir menjadi buta kerana tidak menyedari bahawa rakyat jelata gembira dan berterima kasih kepada jasa yang mereka taburkan. Kerajaan memang cekap melaksanakan kemajuan dan pembangunan tetapi mereka seperti buat-buat tidak faham bahawa rakyat benci kepada rasuah dan berbagai penyelewengan yang telah membudaya dalam amalan dan falsafah politik BN terutama UMNO.

Isu-isu lain yang akan Tun Sheikh olah nanti termasuk pemikiran dan falsafah tokoh-tokoh bergelar Dato', Tan Sri malah Tun dan juga para ahli pemikir terutamanya yang bergelar profesor yang sempat dan pernah Tun Sheikh temui dan bertukar-tukar pandangan. Ini termasuk pemikiran terhadap isu Kebangsaan Malaysia dan juga perpaduan rakyat majmuk negara ini. Tidak ketinggalan juga terhadap isu agama. Memang akhir-akhir ini telah membuatkan Tun Sheikh seolah-olah terkedu kerana terlalu bersedih dan terkejut apabila bencana tanah runtuh berlaku di Hulu Langat yang tidak jauh dari Kuala Lumpur. Bagi Tun Sheikh ini tentunya ada kaitan dengan kezaliman dan kesombongan kepimpinan kita kerana mabuk dengan kekayaan hasil bumi negara ini.

Isu yang tersirat yang akan Tun Sheikh tulis ialah bagaimana hebatnya ilmu yang diperolehi oleh orang Melayu melalui pengalaman dan tunjuk ajar penjajah minda bangsa iaitu Inggeris dan akhirnya menjadi amalan dan ikutan pemimpin Melayu menganiayaai bangsa sendiri. Pemimpin Melayu terlupa bahawa Tuhan akan mendatangkan sekelompok manusia lain yang akan mengganti mereka kerana mereka telah pecah amanah dan menyeleweng, zalim dan bersikap munafik.

Satu, dua, tiga, empat dan apakah nombor seterusnya mengikut hakikat dan kebenaran? Tentulah lima, enam dan seterusnya tetapi hal ini dinafikan oleh kerajaan UMNO kerana hakikat kebenaran telah tidak menjadi pilihan dan amalan pemerintahan mereka. Gara-gara kuasa dan harta dunia, mereka telah menidakkan yang hak dan kebenaran. Siapa yang tidak mahu mengikut dan bersetuju kepada mereka dianggap pengkhianat dan anasir perosak bangsa dan mesti ditanggap tanpa perlu bicara pengadilan. Kita sayangkan kerajaan dan Melayu tetapi Kerajaan Melayu sekarang seolah-olah sedang dalam kesesatan dalam jalur lebuhraya minda kerana terlalu memntingkan kepentingan diri daripada nilai ketulusan manusia sejagat. Marilah sama-sama kita berdoa dan kembali kepada jalan yang lurus, yang hak dan yang benar dengan menghapuskan rasuah dan amalan penyelewengan dan pecah amanah dalam budaya hidup kita.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Konspirasi & Prasangka Buruk PM Kristian Malaysia

0 comments
Selepas Wujudkan Prasangka Buruk Kristian & Dap Rancang Jadi PM….

Jangan Terkejut Jika Akan Ada Monyet Melayu UMNO Mengamok Minta Langkah Mayatnya Dulu


Semasa perbicaraan menuduh Ketua Pembangkang meliwat yang belum selesai dan rakyat sudah tertawa kecil di hati kerana gelihati mengikuti perkembangan dakwaan yang berpuntal-puntal dan berubah-ubah sehingga tidak kelihatan logik, dan ketika pilihanraya negeri Sarawak hendak diadakan, tiba-tiba keluar 3 orang manusia Melayu mengaku sebagai Datuk T dari UMNO membuat pertuduhan baru kepada DSAI dengan isu seks dengan pelacur Cina. Negara digemparkan dengan drama seperti terancang khusus untuk mempengaruhi rakyat supaya jangan terpengaruh kepada Pakatan Rakyat. Seorang daripada Datuk T dengan angkuhnya memberi amaran bahawa keselamatan mereka akan dilindungi undang-undang bagi menunjukkan mereka adalah benar walaupun belum diadakan penyiasatan polis dan perbicaraan rasmi di mahkamah. Ini adalah satu kesilapan yang membongkar pekong sendiri tanpa beliau sedari disebabkan kesombongan dan keangkuhan.

Oleh kerana mereka bukan orang kecil UMNO, maka secara tidak langsung mereka menjadi tokoh atau hero UMNO yang seolah-olah berani kerana benar. Sayangnya isu yang dibawa telah mencabar kesucian Islam dan tidak wajar dijaja oleh UMNO yang mendakwa menjaga kesucian agama. Orang yang berfikrah Islam pula nampak mereka sebagai pengkhianat agama dan manusia jahat yang berdendam dan berprasangka buruk serta buas dengan hawa nafsu dunia. Agama juga kelihatan akan musnah jika orang yang seperti mereka iaitu UMNO yang bukan ahli mengaku sebagai pejuang suci ataupun diberi kuasa mengurus agama kerana mereka bukan ahli.

Di waktu yang sama BN menang di PRN 10 Sarawak tetapi mengikut penganalisa politik kemenangan itu tidak akan kekal lama kerana data pergerakan pengundi beralih kepada pembangkang adalah ageresif. Keputusan PRN 10 Sarawak memang sejak dahulu telah dijadikan indicator samaada rancangan Pilihanraya Umum Negara 13 boleh diadakan atau sebaliknya. Jelas, mantan PM Tun Dr. Mahathir telah menasihatkan kepimpinan BN supaya menundanya kerana kesilapan mereka menyuakan isu-isu yang terlalu busuk untuk dihidu dan ditelan rakyat, jika berterusan boleh menyebabkan mereka hilang kuasa. Padahal sebelum PRN Sarawak, mantan PM melihat petanda-petanda baik berikutan kemenangan berturut di PRK Melaka, Johor dan Pahang termasuk Selangor.

Berbalik kepada hero trio tadi, mereka dengan angkuh seolah-olah berpatah arang berusaha untuk menidakkan kepimpinan ketua pembangkang yang semakin hari semakin mendapat ramai pengikut. Mereka tidak segan silu berazam akan terus menelanjangkan DSAI dengan pelan B dan seterusnya jika isu video lucah DSAI yang disebarkan mereka masih tidak berupaya membunuh karier politik ketua pembangkang. Tanpa mereka sedari mereka sebenarnya telah memburuk dan menjatuhkan maruah kepimpinan politik Malaysia ke serata dunia. Kerajaan yang sepatutnya berkecuali malah sepatutnya mengambil tindakan undang-undang segera kepada mereka turut terpalit sama sebagai kroni malah sudah diterima rakyat sebagai suatu konsipirasi seolah-olah kerajaan telah bingung dan hilang hala tuju kerana terlalu rakus dan beria-ia bersyubahat menentang musuh politik. Padahal, kehadiran pembangkang dalam perjalanan dan proses berpolitik lebih-lebih lagi dengan dasar demokrasi adalah melambangkan sesuatu yang sihat dan baik.

Disebabkan kerakusan dan kebebalan itu, kerajaan kelihatan seperti buta dengan apa yang dikehendaki rakyat. Pada hakikatnya rakyat masih yakin dan sayang kepada BN tetapi permintaan kepada kerajaan supaya segera bertindak memulihkan ketelusan dan ketulusan, amanah dan menamatkan budaya rasuah dan budaya kesukuan seperti tidak diutamakan. Budaya politik rasis atau suku tidak lagi sesuai dengan persekitaran alaf dunia dengan teknologi maklumat tanpa bersempadan ini. Tetapi malang sungguh apabila kerajaan tidak menghiraukannya kerana lebih terikat dengan perasaan yang mementingkan diri pribadi yang telah lama membudaya.

Kerana kerakusan dan ketamakan pribadi, kerajaan juga tidak prihatin dengan kehendak rakyat yang meminta supaya kekayaan negara dialir, diagih dan diberikan sampai ke peringkat bawahan supaya tekanan kehidupan harian dapat diatasi berbanding apa yang kelihatan hanya mereka dan kroni-kroni sahaja yang berupaya dan bergaya serta mampu berseronok dengan pelbagai kemewahan. Unsur-unsur pembaziran wang rakyat dengan projek mega dan membantu kroni yang tidak cemerlang dan bijak berniaga daripada bankerup serta rasuah adalah sangat amat sensitif di mata dan hati rakyat tetapi tidak diambil peduli oleh kerajaan BN.

Belum lagi masalah yang ditimbulkan Datuk T selesai, pencanang UMNO melalu akhbar perdananya dengan berani memainkan isu perkauman untuk menakut-nakutkan rakyat pelbagai kaum terutamanya Melayu dan diwaktu yang sama berlagak menjadi hero mententeramkan keadaan. Semua ini telah dapat dibaca oleh rakyat yang telah lama cerdik kerana telah terdedah dengan ilmu dan dunia bermaklumat tanpa sempadan tetapi sayangnya UMNO BN masih bebal tidak dapat menghayati keistimewaan bangsa Malaysia kerana terhijab dengan dosa-dosa kepasikan dan kesombongan.

Sehubungan dengan itu usahlah terperanjat dan terkejut jika selepas ini akan lahir pula hero-hero monyet Melayu yang mendakwa sanggup mati jika bukan Melayu dan bukan Islam berani menjadi PM walaupun mereka mengetahui tiada apa-apa larangan mengikut perlembagaan Negara dengan syarat calon PM mestilah rakyat Malaysia yang mengutamakan kebajikan bangsa dan Negara Malaysia terlebih utama dari dirinya sendiri. Calon PM sudah tentunya adalah pilihan majoriti rakyat. Sayugia diingatkan kepada bangsa Melayu tercinta termasuk yang sedang berkuasa agar segeralah berbalik ke pangkal jalan dan bersatu serta berilah penerangan yang jujur dan ikhlas terhadap kesyumulan Islam. Jangan terasa terhina untuk menghayati dan beramal dengan syariat Islam. Dengan Islam sahaja, semua bangsa suku dan agama adalah terpelihara dan adil sama-sama menikmati rahmat kehidupan yang Allah sediakan ini.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Mencari Bukti dan Barkah Dari Alim Ulamak

0 comments
Mencari Bukti dan Barkah Dari Alim Ulamak

Tanda-Tanda Rahmat Allah Pada Ulamak
Lawatan Rasmi Sheikh Dr Abd Rahman Al Aziz As Sudais Imam Besar Masjidilharam

Jumaat kelmarin 22 April 2011, Tun Sheikh memandu ke Masjid Wilayah Persekutuan untuk solat Jumaat. Sampai di sana sekitar 12.45 tengahari tetapi kereta Tun Sheikh tersekat dalam jem untuk masuk ke kawasan masjid. Tun Sheikh tertanya-tanya apa gerangan jadi begitu sebab jarang-jarang jem mahupun tersekat jika belum jam 1.00 tengahari. Tun Sheikh membuka radio untuk menghilangkan rasa bosan terperangkap dalam kereta. Rupa-rupanya melalui maklumat siaran radio yang Tun Sheikh dengar, Iman Besar Masjildilharam, Sheikh Dr Abd Rahman Al Aziz As Sudais akan mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan selaku tetamu kehormat yang diundang oleh Kerajaan Malaysia.

Tanpa membuang masa Tun Sheikh pun keluar meninggalkan kereta yang tersekat dan tersangkut itu mengikut jejak jemaah yang lain sebab masing-masing menghadapi masalah yang sama. Memang teruk jem dan tidak disangka. Pihak mesjid atau kerajaan juga mungkin tidak menduganya sebab faham-faham sajalah kerajaan kita bukan pentingkan sangat hal seperti itu. Apa yang penting hanyalah retorik-retorik agama sahaja untuk memancing undi dan mencari pengaruh jangka masa pendek terutamanya apabila musim pilihanraya sudah dekat.

Tun Sheikh tertanya-tanya juga mengapa hal sebegini tidak terjadi pada ulamak UMNO atau menteri BN yang bertanggungjawab dengan hal agama. Jika mereka ada majlis atau tampil di sesuatu tempat, tempat itu lengang tidak jem seperti apa yang sedang Tun Sheikh hadapi ini. Tetapi Tun Sheikh tidaklah begitu hairan dan takjub kerana mengetahui bahawa itu adalah tanda-tanda tokoh agama yang barakah ilmunya. Memang begitulah pada lazimnya meskipun hanya bergelar guru atau ustaz pondok. Tidak payah dipanggil dan dijemput, biasanya apabila terdengar sahaja nama mereka, orang ramai akan datang berduyun-duyun dan berbondong-bondong. Mereka sendiri tidak tahu mengapa mereka berusaha untuk bertemu dengan tokoh agama tersebut. Ini pernah Tun Sheikh tanya pada suatu ketika dulu pada hadirin yang mana sempat Tun Sheikh temubual. Ada yang menjawab hanya ikut-ikut dan berasa gembira dengan tiba-tiba di hati mereka untuk melihat wajah tokoh ulamak itu. Tetapi bila diajukan nama-nama barisan ulamak BN, mereka mencemik dan diam. Ada yang terus pergi tanpa kata-kata.

Sebenarnya masing-masing tokoh agama atau pemimpin agama ada aura dan kewibawaan tersendiri. Contohnya terhadap Sheikh Dr Abd Rahman Al Aziz As Sudais. Siapa yang telah menunaikan fardhu haji dan umrah memang semacam ada tarikan kerinduan kepadanya. Orang yang pernah mendengar alunan suaranya membaca al Quran samada ketika solat mahupun di luar solat akan terasa seolah-olah hati nurani mereka dijentik-jentik. Inilah salah satu tanda kebarkatan seseorang sheikh atau seseorang ustaz. Mereka yang dianugerah aura keberkatan sebegini adalah mereka yang berdakwah dengan ilmu yang diperolehi dengan keikhlasan hati. Manakala Sheikh Dr Abd Rahman ini memang mempunyai keistimewaan tersendiri selaku Imam Besar Mesjidillharam yang sudah tentunya dan telah maklum, beliau adalah imam besar yang telah mengimamkan solat dan mengumpul nilai kebarkatan atau pahala yang berganda-ganda. Almaklumlah bahawa satu kebajikan di masjidilharam adalah bersamaan 100,000 berbanding daripada satu kebajikan di tempat lain. Jika di Madinah pula ialah 1,000 berbanding satu di tempat lain. Bayangkanlah.

Bagi Tun Sheikh pula, memang yakin kebarkatan ilmu seseorang ustaz mahupun ulmak kecuali ulamak jahat, boleh kita kenali. Selain auranya kita pula dapat memahami beberapa maksud hadis dimana ada menceritakan nasib penghuni negara yang pernah Islam. Hamba berkenaan pada sesuatu waktu mengikut jadual yang ditetapkan akan datang malaikat menanya mula-mula adakah beliau pernah mempelajari ilmu yang bermanafaat dari seseorang ulamak dan mengamalkannya? Bila jawabnya tiada, maka beliau dibenamkan terus sehingga ke suatu masa yang ditentukan Allah. Kemudian ditanya lagi adakah pernah beliau yakin dengan ilmu ulamak itu walaupun tidak mengamalkannya? Jika yakin tapi tidak mengamalkannya maka dibenamkannya lagi.

Kemudian akan datang lagi malaikat pada suatu waktu yang telah ditetapkan untuk menarik keluar ahli-ahli neraka dengan rahmat Allah dengan pertanyaan pernahkah hamba itu makan sehidang dengan ulamak? Bila tiada maka ditinggalkannya hamba itu terus menderita tersiksa dengan azab neraka. Kemudian datang lagi dengan pertanyaan pernahkah melihat wajah ulamak. Bila jawapannya tidak maka hamba itu terus ditinggalkan dan terus menerima azab sehingga datang lagi di lain waktu malaikat mencari-cari ahli neraka yang boleh diselamat dan dikeluarkan mengikut perintah Allah jua.

Maka hamba yang menderita sengsara itu ditanya lagi samada pernah mendengar nama seseorang ulamak. Apabila hamba yang malang itu kata ada, maka dengan segera beliau dikeluarkan dari api neraka dan dimasukkan ke surga. Bayangkan bagaimana nasibnya jika beliau dapat dan pernah melakukan amalan dari soalan pertama. Sudah tentu beliau akan keluar segera dari neraka itu. Dan sebenarnya begitulah nasib kita nanti. Dengan itu bersegeralah mencari bukti dan saksi semasa hidup dan berkesempatan ini dan yakinlah bahawa syafaat Allah memang maha luas termasuk salah satu daripadanya adalah syafaat yang dibenar dan diizinkan dengan rahmatNya melalui syafaat para ambiaya, aulia dan para ulamak.

Sesampai ke masjid, tempat telah penuh dan melimpah hingga ke varanda manakala jemaah terus datang membanjiri. Teringin juga Tun Sheikh menunggu sesusai solat untuk bertemu melihat wajah dan bersalaman tetapi hati gelisah kerana kereta ditinggalkan ditengah jalan. Terfikir jika Tun Sheikh terus menunggu dan berbaris untuk bersalam maka ada orang yang laluannya terhalang dan mungkin jika terkena orang yang dalam darurat maka kitalah menanggung dosa.Lagipun Tun Sheikh pernah bertemu beliau ketika di Mekah dan hati ini beralah untuk memberi laluan dan kesempatan orang lain di sini.

Ketika balik ke kereta, ramai orang sedang menunggu pemilik-pemilik kereta lain kereta tiada jalan yang boleh dilepasi. Tun Sheikh sama-sama menunggu sambil bersembang-sebang dengan jemaah yang menunggu. Ada antaranya berkata berasa sedih kerana Sheikh Dr Abd Rahman As Sudais tentunya tidak tahu dan melihat bagaimana Islam diangkat di negara ini. Beliau amat khuatir, kedatangan Sheikh akan dipolitikkan oleh orang munafik yang berani menipu rakyat jelata dengan isu agama demi politik dan kepentingan diri. Tun Sheikh dengar sahaja hujah-hujahnya dan agak bernas juga dengan beberapa dalil dan nas. Jam 3.00 petang barulah kereta mula bergerak perlahan dan dapat keluar ke jalan raya yang lancar pada jam 3.45 petang.

Pada malamnya Tun Sheikh mengulangi mendengar dan melihat Sheikh Dr Abd Rahman membaca khutbah di siaran ulangan dalam TV. Melingas juga mata ini , kot-kot wajah Tun Sheikh ada terakam tapi tentulah tidak nampak kerana hanya dapat bersolat di varanda. Kemudian tidak di sangka berita lawatan beliau juga mendapat liputan utama di dalam berita TV. Tun Sheikh sungguh kesal apabila PM mengatakan bahawa Sheikh Dr Abd Rahman Al Aziz As Sudais sangat memuji Malaysia dan Malaysia adalah contoh negara Islam tulen. Benarkah begitu??? Serta merta Tun Sheikh teringat perbualan ketika menunggu jem di masjid siang tadi. Sesungguhnya Allah Maha berkuasa dan mempuanyai perancangan yang Maha bijaksana. Kita doakan sahaja semoga UMNO BN benar-benar melakukan apa yang diperkatakan sehingga Islam benar-benar diletakkan pada tempat dan darjat tertinggi seta ulung.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Jalan Jem Tapi Saman Ekor Berjuta-juta Ringgit

0 comments
Jalan Jem Tapi Saman Ekor Berjuta-juta Ringgit

Mengintai Ketelusan & Keprihatinan BN

Semenjak pilihanraya kecil Tenang, Segamat sampai ke pilihanraya Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang hingga ke hari ini 8 Mac 2011, rakyat yang terpaksa membayar saman ekor tiada yang kelihatan ceria kerana terpaksa mencari atau mengeluarkan duit yang tidak pernah masuk dalam bajet bulanan. Di Kuala Lumpur pula sedang berlaku musim hujan dan jalanraya jem saban hari. Kesesakan lalu lintas adalah disebabkan banjir kilat atau lampu isyarat tidak berfungsi. Jika perjalanan biasa ke tempat kerja atau pulang ke rumah dari pejabat memakan masa 30 minit, beberapa hari ini ramai yang mengeluh kerana terperangkap di dalam kesesakan lalulintas di antara 1 hingga 2 jam. Apa yang menambahkan perit dihati ketika menunggu kesibukan lalulintas pulih ialah ketiadaan polis trafik atau petugas di tempat-tempat atau di persimpangan-persimpangan yang biasa ada polis trafik.

Ada spekulasi mengatakan anggota polis trafik tidak mencukupi kerana dihantar bertugas di kawasan piliharaya kecil tersebut. Sebenarnya penghantaran itu tidak perlu kerana suasana di tempat pilihanraya adalah terkawal. SPR, parti pembangkang dan BN ada petugas sendiri yang bertanggongjawab memastikan perjalanan mahupun suasana tempat dan kawasan mengundi adalah aman. Petugas polis tidak perlu terlalu ramai. Pembangkang malah mempertikaikan apa perlunya kerajaan menghantar anggota polis begitu ramai dengan alasan untuk menjaga keselamatan kawasan dan menjaga keamanan di hari tempoh berkempen dan di hari mengundi padahal keadaan adalah terkawal dan aman.

Kehadiran terlalu ramai anggota polis sehingga menimbulkan buruk sangka para pembangkang kerana boleh menakut-nakutkan rakyat yang hendak keluar mengundi. Ahli dan penyokong calun pembangkang seolah-olah begitu ganas dan seperti mahu sabotaj atau menghalang rakyat dari keluar mengundi. Pembangkang mendapat imej seolah-olah begitu jahat dan buruk. Pembangkang juga mengesyaki jentera BN menggunakan anggota polis terutamanya yang tidak berunifom menjadi pengundi hantu.

Meskipun pembangkang hanya mengesyaki kerana tiada kuasa untuk menangkap mereka kerana mereka mempunyai kad pengenalan khas anggota polis dan memakai unifom ketika bertugas tetapi tidak mustahil mereka boleh menyelinap masuk dan mengundi ketika tidak berunifom atau tidak dalam tugas dengan memakai baju freeman. Jangkaan penyelewengan ini telah disyaki oleh pembangkang kerana terlalu ramai anggota polis di datangkan sehingga melebihi dari para penyokong sendiri. Kawasan polis berkemah dan berkampung pula adalah kawasan larangan dan tiada siapa yang dibenarkan masuk kecuali mereka yang berkaitan.

Berbalik kepada keadaan Kuala Lumpur yang beberapa hari ini kedaan lalulintas jem teruk, ada juga spekulasi yang mengatakan anggota polis yang dihantar ke tempat pilihanraya itu diberi bercuti istimewa dan dengan sebab itu mereka masih kekurangan anggota untuk mengawal lalulintas yang sepatutnya diberi keutamaan. Ada juga mengatakan pihak polis ingin menunjukkan betapa besarnya peranan mereka dan membuktikan bahawa anggota mereka masih tidak cukup. Walaupun gaji telah dinaikkan tetapi tidak ramai yang berminat menganggotai pasukan polis.

Terdapat bisik-bisik mengatakan pasukan polis telah terlebih belanja membeli kenderaan dan peralatan dan senjata hingga terpaksa mengumpul duit saman ekor. Di waktu yang sama pula anggotanya masih belum mencukupi walaupun telah diluluskan oleh kerajaan. Ini adalah kerana kurangnya minat pemuda sekarang terutamanya dari orang Cina dan India untuk menyertai pasukan polis . Manakala lambakan kenderaan seperti kereta dan van polis yang telah dibekalkan terpaksa disimpan atau disembunyikan di setor-setor atau balai polis yang terpencil. Ada juga pendapat mengatakan bahawa pemuda Melayu juga tidak lagi begitu gairah menyertai pasukan polis kerana sangat teruja dan penuh cabaran disamping dikuasai suasana sekeliling yang tidak sihat seperti amalan rasuah dan buli dari pegawai seniour atau pihak atasan.

Ramai anggota yang jujur tertekan dan menjadi mangsa buli dan diskriminasi dan dipaksa mengikuti atau menyesuaikan diri mengikut rentak dan arahan pegawai atasan. Polis baik kerap menjadi mangsa dan hidup tertekan. Ada juga anggota polis yang memberi pandangan bahawa mereka tidak suka berkeras kepada rakyat pada waktu yang tidak perlu dan tidak sesuai tetapi oleh kerana arahan, mereka terpaksa menjalankan perintah. Contohnya menguatkuasakan kutipan saman ekor dan juga meneruskan kerja-kerja mengeluarkan saman ekor kerana pernah dianggap rakyat sebagai pemeras berlesen.

Kutipan hasil adalah untuk kontra atau pertukaran sumber hasil bagi membiayai kenaikan gaji dan elaun anggota. Kerajaan memang tidak pernah menolak permintaan atau cadangan kenaikan gaji dan elaun polis kerana mereka memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan juga untuk kepentingkan politik. Pihak polis juga sebenarnya memperoleh hasil yang besar dari saman-saman yang dikeluarkan samada saman kesalahan jalan raya, saman sivil mahupun saman ekor. Maka itu adalah salah satu sebab kerajaan tidak bercadang untuk menghentikan system saman ekor yang dianggap zalim dan menganiaya rakyat.

Bagi kerajaan, siapa yang sanggup mencabar saman di mahkamah adalah dipersilakan kerana kerajaan tahu tidak semua rakyat berupaya melakukannya. Dengan mengumpan sedikit diskaun, kerajaan yakin berjaya mengumpul hasil berjuta-juta ringgit kerana rakyat tidak suka ke mahkamah. Rakyat akan mengambil jalan mudah dengan membayar saman-saman yang sebenarnya hanya merupakan notis dan pengakuan pernah melakukan kesalahan.

Berbalik kepada kutipan saman ekor dan saman-saman polis yang lain yang berjumlah berjuta-juta ringgit itu, rakyat juga ingin tahu ke mana wang itu dibelanjakan oleh kerajaan. Ada yang menduga kerajaan menggunakannya untuk pilihanraya, projek mewah atau menampung kekurangan perbendaharaan akibat keborosan. Mengikut statistik antarabangsa mengenai kemudahan jalanraya dan lalu lintas di Kuala Lumpur, jika dibandingkan dengan kutipan saman masih tidak seimbang kerana kesesakan di Kuala Lumpur masih belum diatasi. Saman kesalahan lalulintas yang begitu banyak diperolehi seharusnya dimanfaatkan untuk memperbaiki system lalulintas. Pengangkutan awam pula masih tidak mencukupi dan tidak selesa jika kerajaan bercadang menghalang rakyat menggunakan kenderaan sendiri masuk ke Kuala Lumpur meskipun untuk ke tempat kerja.

Satu daripada memorandum pembangkang jika berjaya atau dipilih rakyat menjadi kerajaan, mereka akan menamatkan saman ekor dan saman-saman dan peraturan yang menyusahkan rakyat atau peraturan yang berat sebelah. Bolehkah mereka betul-betul melaksanakannya jika memerintah nanti? Adakah itu hanya propaganda politik atau benar-benar mereka berazam melakukannya sebagaimana kerajaan negeri Kelantan buat dan berusaha menunaikan janji memorandumnya sehingga tidak kisah Kerajaan sabotaj pembangunan negeri Kelantan seperti pernah berlaku dahulu. Jika kita yakin dan terasa mereka akan melakukannya, mengapa tidak kita cuba lihat dan memberi mereka peluang memerintah? Mungkin mereka lebih baik dari kerajaan sekarang. Kita kadang kala perlu berfikir di luar kotak di zaman demokrasi moden yang serba canggih ini. Tetapi jika kerajaan sedia ada boleh memenuhi dan menyenangkan rakyat seperti yang hendak dibuat oleh pembangkang, mengapa perlu kita menukar kerajaan.

Sehubungan dengan itu pada hakikatnya terserah kepada kerajaan yang berkuasa sekarang dan juga terserah kepada kita yang ada kuasa memilih. Jika kerajaan prihatin, maka tentunya selogan 1 Malaysia, Pencapaian dan Rakyat Diutamakan bukan merupakan retorik politik sahaja.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Ke manakah Islam Hendak Di Bawa UMNO & BN

1 comments
Ke manakah Islam Hendak Di Bawa UMNO & BN

Islam Akan Mengubah Malaysia Atau Malaysia Berubah Kerana Islam


Tan Sri Muhyuddin Yasin memang mempunyai wawasan dan dijangka dapat melihat jurang atau lubang gelap yang kosong yang menjadi masalah besar dalam UMNO. Ketika BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen pada pilihanraya 2008, beliau telah diarah memikul tanggongjawab menjalankan penyiasatan masalah ahli UMNO dan juga masalah parti-parti bersekutu dalam BN hingga ke akar umbi. Beliau berjaya mengesan masalah berkenaan tetapi beliau gagal dan tidak berupaya menegaskan cadangan-cadangan yang dikemukakan bagi mengatasi masalah UMNO dan BN di akar umbi kerana beliau hampir-hampir tersingkir diburu teman-teman musuh dalam selimutnya. Beliau akur dengan kehendak dan permainan kumpulan eksekutif dan berjaya menyelamatkan jawatannya dalam UMNO hingga dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Saranan dan tindakan yang diutarakan beliau hanya menjadi retorik kerana dipolitikkan namun berjaya menarik semula sedikit pengaruh dan keyakinan ahli yang hampir meninggalkan terus UMNO dan BN. Masalah utama yang dikesan oleh Jawatankuasa Penyiasat yang diketuai beliau ialah hilangnya kepercayaan dan keyakinan ahli terhadap kepimpinan berikutan budaya rasuah dan krisis kepimpinan kumpulan tertinggi. Akar umbi tidak berpuashati dengan semua kelompok kepimpinan kerana terlalu bergaya dan menunjukkan kemewahan hidup manakala masalah akar umbi masih belum dapat diatasi dengan menyeluruh. Kumpulan kepimpinan juga dituduh sebagai pemimpin yang telah lupa daratan terutamannya terhadap pegangan dan kefahaman mahupun pengamalan agama. Mereka tidak serius ketika menangani isu dan masalah yang berbangkit berkenaan agama sehingga kelihatan begitu naïf jika dibandingkan dengan kehebatan PAS.

Berikutan dari itu UMNO segera menekankan isu agama dan menggalakkan ahli dan kepimpinannya mendekati mahupun mendalami agama supaya tidak kelihatan begitu janggal kerana UMNO juga mempunyai kaitan yang sangat rapat memperjuangkan Islam kerana Melayu tidak terpisah dengan isu Islam. Beberapa tindakan telah disegerakan seperti mengumpul dan mewujudkan kumpulan Imam Muda dan Rakan Masjid dengan harapan mereka pada suatu hari nanti akan berupaya menandingi barisan ulamak PAS dan menjadi pemimpin peganti kepada UMNO. Sayangnya musuh-musuh dari dalam UMNO sendiri telah membuat kumpulan ini lumpuh.

Baru-baru ini beberapa ucapan PM telah menggambarkan betapa bimbangnya beliau terhadap perkembangan di Timur-Tengah yang berjaya memaksa Presiden atau ketua negara berundur. Kekhuatiran PM itu meskipun mengaku tidak panik tetapi adalah tidak wajar beliau mengucapkannya lebih-lebih lagi dalam nada ugutan. Apa yang berlaku di Timur Tengah itu tidak mustahil akan menular dengan cepatnya di negara ini kerana kezaliman dan ketidakadilan kerajaan terhadap rakyat terutama dalam mendiskriminasi urusan agama amat jelas dan mempunyai persamaan. BN bertambah bimbang kerana rakyat bukan Islam dari pelbagai bangsa di negara ini telah mula yakin terhadap tolerensi Islam yang diamalkan oleh PAS.

Kelmarin, 23 Februari 2011 Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Muhyuhdin seolah-olah telah membuka mata dan fikiran betapa perlunya semua Negara Islam memikirkan bentuk pemerintahan yang sesuai bagi Negara-negara Islam di alaf baru ini. Hujahnya sangat berkesan kerana secara tidak langsung beliau seolah-olah mengaku betapa sumbang dan pincang sistem yang ada khususnya terhadap Negara-negara Islam yang mempunyai rakyat yang majmuk. Dengan lain perkataan Negara Islam seharusnya mempunyai satu sistem atau bentuk pemerintahan yang sesuai mengikut pedoman agama dan beliau kelihatan yakin bahawa sistem Islam ada jalan keluar yang boleh mengatasi masalah kemajmukan jika rakyat yang berbilang bangsa dan agama itu memahami dan menghormati sistem Islam yang sebenar, Islam yang tulen.

Sayangnya, buah pemikiran beliau ini telah disalahfahamkan oleh orang-orang UMNO jua yang tidak ada roh Islam dengan menegaskan bahawa Negara ini iaitu Malaysialah yang sewajarnya dijadikan contoh atau model kepada Negara-negara di seluruh
dunia. Malaysia yang diterajui oleh UMNO dianggap berjaya menaungi atau mengangkat pengamal Islam atau penganut Islam. Malaysia dianggap lebih berjaya dan maju berbanding dengan Negara-negara lain.

Pemikiran ini sebenarnya adalah sangat dangkal dan bukan seperti maksud TPM. Tetapi ia telah dimanupulasikan maka terhijab lagi hati-hati ahli UMNO dan BN. TPM berasa kecewa tetapi tidak meluahkannya kerana menjaga kepentingan kedudukan dirinya sebagai TPM. Jauh disanubari TPM, beliau amat mengerti bahawa kedudukan Islam dalam kerajaan BN Malaysia pada ketika ini sebenarnya diperlekehkan oleh dunia Islam kerana mereka melihat UMNO dan BN hanya mempolitikkan Islam untuk kepentingan parti dan lebih berbentuk kepartisan daripada menyeluruh secara syumul.

Dalam situasi perkembangan mutahir terhadap kebangkitan Islam secara global ini sepatutnya PAS mengambil kesempatan ini dengan lebih proaktif memandangkan UMNO terus mensia-siakan dasarnya terhadap Islam. Ketika inilah rakyat perlu dibangunkan kerana penipuan kerajaaan BN selama ini telah menjatuhkan maruah Islam di negara ini. PAS semestinya memperlipatkan berkali ganda lagi dalam usaha menyiarkan kefahaman dan kesederhanaan serta kesempurnaan Islam kepada seluruh rakyat terutamanya yang bukan Islam agar mereka terkeluar dari fahaman basi hasil penipuan BN. Peluang ini usahlah dipersiakan kerana bibit-bibit kompromi dan tidak takut kepada Islam telah mula berputik di negara ini.

Kepada UMNO pula, inilah masanya mereka perlu menukarkan perlembagaan parti daripada perjuangan bangsa Melayu kepada Islam jika mereka ingin terus kekal berkuasa. UMNO mempunyai kuasa, kewangan dan kepakaran tetapi jika UMNO terus mengelirukan rakyat dengan dasar-dasar Islamnya yang sedia ada maka memang ternyata bahawa merekalah sebenarnya pengkianat agama , bangsa dan negara.


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Apabila Bekas Ketua Polis Komen Nasib Polis Sendiri

0 comments
Apabila Bekas Ketua Polis Komen Nasib Polis Sendiri

Bolehkah Kita Terima Polis Jadi Jahat Kerana Orang Politik?


Ketua Polis Negara yang baru sekarang begitu tenang. Tidak banyak isu dan belum ada kes yang menjerut lehernya. Suatu yang kebetulan atau memang perancangan oleh penasihat ketua negara. Apa yang kelihatan ialah orang bawahan beliau pula seolah-olah bercakaran menunjuk taring dan kuku siapa yang tajam. Seolah-olah sedang mengiklankan diri atau menawarkan diri untuk dibeli dengan harga yang mahal. Kalau laku tentu makan tidak habis sampai ke anak cucu.. Kita masih belum lupa pesara-pesara polis yang pergi dengan pelbagai ikon dan gelaran sama ada yang diperolehi secara rasmi atau digelarkan kepada mereka oleh rakyat. Rekod mereka rata-rata menjelekkan.

Pesara-pesara polis yang baik-baik pula biasanya tidak sanggup menyambung kontrek dan ada yang mati cepat. Sudah takdir dan suratan. Ada yang tidak panjang usia setelah pencen meninggal dunia. Dan ada yang terbunuh ketika sedang bertugas. Tetapi yang teruk perangai, ada yang sehingga hari ini masih glamour menjual nama dan bekas pangkat untuk meraih keuntungan duniawi dalam pelbagai syarikat perniagaan. Ada yang masih terbawa-bawa menjadi tuan kepada anggota polis baru dan muda padahal zamannya telah lama berakhir.

Yang menariknya tidak kurang yang jahat-jahat masih lagi glamour sebab punca hasil atau penerimaan saraan hidup mereka yang sangat lumayan. Mereka masih aktif dan nama mereka pun masih laku. Ini termasuklah mantan Ketua Polis yang kena penjara 3 bulan entah apa khabar dengan penyakit stroknya. Ramai orang suka kata padan muka kepadanya kerana salah menggunakan kuasa . Terlalu membodek. Tetapi sebenarnya mereka masih kuat memegang rahsia mungkin atas dasar ketenteraman awam. Rahsia kerajaan akan dibawa sampai mati.

Mereka yang biasa meraikan majlis perpisahan rasmi secara menogak arak juga ramai yang masih hidup dan yang peliknya mereka sedikit pun tidak membuat kenyataan atau bantahan apabila isu arak menjadi begitu sensitif ketika ini. Seolah-olah mereka tidak bersetuju kekangan dan kawalan terhadap minuman keras itu dan seolah-olah mereka masih menjadi penaung arak.

Orang juga sangat geram terhadap bekas Ketua Polis yang memikul tilam tanpa malu tetapi terpaksa menerima kenyataan bahawa dia sempat menjadi ketua besar di atas jasanya yang dianggap begitu besar. Masa rakyat menaruh benci dan dendam kepadanya, beliau dihantar ke Johor Bahru. Di sana beliau berjaya membersihkan nama dengan membuktikan profesionalnya mengawal dan menangkap sindikit kongsi gelap dan pelbagai jenayah penjualan tubuh malah diri manusia di peringkat antara bangsa.

Apa khabar pula terhadap ketua polis negeri yang berangan untuk menjadi ketua polis negara dulu tetapi tidak disukai oleh Tun Dr Mahathir. Kata orang dia masih ganas seperti benggali walau hanya berlagak dengan ikon jaga. Apa pula khabarnya ketua polis yang mematikan ARQAM dengan tekanan dan pertuduhan yang amat dasyat. Rasanya mereka semua memang betul-betul professional tetapi belum pula kita dengar mereka menjadi polis upahan atau memberi khidmat nasihat kepakaran mereka sehingga terkenal di luar negara.

Apa pula cerita ketua-ketua besar pasukan agen khas dalam angkatan polis atau yang pernah mengetuai pasukan cawangan khas yang sangat hebat dan telah mengharumkan nama kepolisan dan negara tetapi sangat dibenci rakyat akhir-akhir ini. Ada juga terdengar mereka berjaya bergabung dengan kongsi gelap dan menetralkan kongsi gelap yang ganas. Wah! Sungguh hebat sumbangan mereka walau pun telah bersara. Ada juga katanya masih berhubungan dengan anak-anak buahnya yang telah menerajui atau yang sedang menerajui sesuatu pasukan polis sekarang. Mereka berterusan dapat maklumat-maklumat penting kerahsiaan dan terus membantu memainkan peranan mereka walau pun sudah tua. Hebat betul tetapi kita tidaklah perlu pelik kerana mereka memang telah sebati dengan sumpah setia yang gila babi.

Memang apa-apa perkara yang ditangani dengan gila-gila oleh orang yang berwatak gila-gila biasanya hasilnya kalau berfaedah memang merupakan suatu ciptaan yang tersangat hebat dan besar. Dalam sejarah penciptaan dari sejak dahulu kala sehingga ke hari ini , benda-benda ciptaan baru dan bermanfaat kepada manusia memang terhasil dari ilham orang yang gila-gila belaka. Cuma adalah sangat dikhuatiri jika kehebatan mereka digunakan atau dengan perkataan lain mereka dilembukan oleh orang gila kuasa. Maka tentulah mangsanya adalah rakyat jelata.

Banyak sedang berlaku di negara jiran di mana polis dan askar tidak sadar mereka dilembukan sehingga mereka juga tidak dapat melarikan diri dari kemelut pemimpin-pemimpin gila yang berkuasa. Coretan ini sengaja Tun Sheikh nukilkan kerana perkembangan riwayat kepolisan pasukan polis kita kini di tahap membimbangkan kerana ketua-ketua mereka bersekongkong dengan orang politik. Atas nama keamanan mereka juga sempat meminum air sambil menyelam di sungai yang busuk dan keruh.

Kerisauan ini amat dirasa kerana semua bekas ketua polis kita yang telah bersara sungguh hebat belaka dan rekod perkhidmatan dan peristiwa yang berlaku di zaman mereka menyumbangkan perkhidmatan pun sangat hebat. Bayangkanlah ada yang menunjukkan teknik memukul yang boleh membawa maut dalam jangka panjang tanpa dapat dikesan pukulan maut itu dan jika terperangkap pun tidak boleh dituduh dengan niat membunuh kerana teknik pukulan yang digunakan sungguh sofistikated atau canggih.

Pokoknya kita dapati sejarah perkhidmatan pasukan polis kita memang sungguh hebat sejak zaman penjajahan sehinggalah darurat, pra merdeka, 13 Mei ketika di Baling hingga ke Mamali termasuk menembak rakyat jelata dan menyuaraikan perkhimpunan yang tidak pernah halal jika parti pembangkang yang mengadakannya.

Akhir sekali terkedu Tun Sheikh apabila ketua polis yang baru bersara hari itu mengatakankan bahawa selama ini polis terkongkong dengan campur tangan politik. Segera menyirapkan darah semua rakyat tetapi secepat kilat berita itu dipadamkan dan ditutup rapat. Bacalah buku-buku yang dikarang oleh bekas ketua-ketua polis zaman dulu dan sekarang. Kita akan mendapati pengorbanan mereka memang tinggi tetapi adalah amat dikesalkan kerana mereka juga melakukan kejahatan yang dihalalkan bagi kepentingan seseorang tokoh pemimpin.

Satu daripada pelajaran dan kepakaran polis daripada tinggalan penjajah ialah membenteres kejahatan dan keburukan yang bakal berlaku atau yang dijangkakan dengan mewujudkan lakonan atau topeng-topeng hantu. Mereka melakukan sebelum yang betul-betul keluar dan berkuasa mempengaruhi rakyat atau orang banyak. Dan lakonan ini segera dimatikan dan memberi kesan yang mendalam kepada minda mereka yang ingin memperbesarkan sesuatu perkara.

Adalah sangat terkesan sekali apabila suatu rahsia seperti tidak berpuas hati terkeluar dari mulut ketua polis Negara yang telah bersara bahawa karier profesional kepolisian akan jatuh mutunya jika orang politik terus menekan mereka. Itulah negara kita dari dulu sampai sekarang sebenarnya belum berubah dari segi minda. Benar apa yang di kata oleh PM bahawa negara ini memiliki kemudahan kelas pertama tetapi masih berminda kelas ketiga. Sayang sekali semua pemimpin terutama UMNO tidak ada kesadaran bahawa merekalah yang menyediakan acuan kelas minda ketiga kerana terlalu optimis kepada kuasa dan mencengkam rakyat secara tidak langsung.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

ARTIS MERAKAM POLITIK SONGSANG

0 comments
Keserabutan Politik Malaysia Dirakam Artis Kontemporari

Apabila kartunis Zunar ditahan ISA dan pelancaran siri penerbitan kartunnya disabotaj kerajaan, lahir suatu set minda baru di kalangan artis kontemporari bahawa hasil produksi mereka bernilai sejagat. Mereka bertambah yakin falsafah kebebasan berkarya tidak perlu dipupuk dengan ancaman dan ugutan. Mereka bertambah yakin dan mendapat banyak ilham dari suasana yang tegang. Itulah keistimewaan artis-artis yang meluahkan pemikiran mereka melalui hasil karya mengikut genre masing-masing.

Penyelidikan kebudayaan dunia pula sejak dahulu lagi menerima teori kesahihan budaya sesuatu kaum yang sudah pupus melalui tingalan hasil budaya ciptaan para artis. Keadaan sosial, ekonomi dan politik mahupun kepercayaan sesuatu kelompok sosial, bangsa atau suku yang telah pupus itu dikaji menerusi bait-bait perkataan, tulisan, lukisan dan sebarang sesuatu yang terpapar dari hasil budaya itu.

Kerencaman politik Malaysia tidak terlepas dari permerhatian para artis yang hidup sezaman. Istilah kontemporari dapat menggambarkan kedudukan mereka dalam masyarakat. Mereka wujud tanpa menonjolkan diri. Mereka tidak mencari glamour diri kecuali terus menghasilkan karya mengikut aliran pandangan dan ilham yang tercetus dari pemikiran, pengamatan dan apa yang mereka lihat. Semua golongan artis ini menganggap mereka adalah kelompok berenovasi, kreatif dan memiliki motif keintelektualan yang tinggi.

Walau bagaimana pun terdapat pelbagai perbedaan pendapat di antara mereka terutamanya terhadap kelompok artis penghibur seperti yang terlibat dalam dunia hiburan. Kelompok dari kumpulan artis lakonan dan nyanyian dianggap kurang intelektual dan berwawasan kerana berkarya hanya untuk mencari glamour dan keseronokan. Artis kumpulan ini dianggap kurang tajam penghayatan mereka terhadap aura suasana persekitaran.

Satu usaha kerajaan untuk memperkenal atau mempopularkan mereka telah dibuat dengan mengadakan pameran kontemporari seluruh negara melalui Kementerian Pelancongan. Pakej pertama pameran seni kontemporari ini telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 3 Julai 2010 dan berlangsung selama tiga bulan di Galeria Sri Perdana (bekas rumah kediaman rasmi Tun Dr. Mahathir) Jalan Damansara Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan . Pameran ini telah berakhir pada 30 September lepas.

Sebelum diadakan pameran artis kontemporari ini, kedatangan pengunjung ke Galeria Sri Perdana adalah seramai diantara 8,000 -14,000 orang sebulan. Selama tiga bulan berturut-turut pameran ini diadakan, pelawat bertambah kepada 15,000 orang. Bererti hanya pertambahan 1,000 orang pengunjung setiap bulan manakala kos pameran ini mencecah RM1,000,000.00 (1 juta) jika dikira termasuk kos-kos kemudahan asas dan upah tenaga kerja pegawai dan kakitangan yang terlibat. Adakah objektif pameran ini tercapai berbanding dengan kos dibelanjakan yang masih belum dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan?

Pakej kedua dan seterusnya pula akan menyusul ke seluruh negara iaitu zon selatan, timur, tengah dan utara serta Sabah dan Sarawak. Kos untuk mengadakannya tidak dihebahkan. Kementerian Pelancongan kelihatan mempunyai banyak peruntukan dan dianggap istimewa kerana pendapatan negara kedua terbesar adalah hasil dari kemasukan pelancong asing. Tetapi adakah ini benar-benar dapat dikira secara mikro? Dan wajarkah segala aktivitinya yang membelanjakan jutaan ringgit dipandang dengan sebelah mata? Di waktu yang sama pula kerajaan berlepas tangan terhadap kesempitan hidup rakyat bawahan malah sanggup menarik semula subsidi sehingga menyebabkan barang-barang keperluan harian melambung harga.

Berbalik kepada aktiviti pameran kontemporari tadi, adakah kerajaan sadar dan suka mengambil iktibar kerana perlakuan dan dasar kerajaan kontempori sebenarnya dirakam oleh para artis dengan begitu kreatif sekali. Gambaran buruk dan hodoh ada dan gambaran baik dan ceria pun ada. Tetapi jika diamati dengan penghayatan mata pengkaji kebudayaan dan seni, kebanyakan hasil ilham yang diproduksi oleh para artis kontemporari ialah gambaran yang negatif terhadap suasana sosial dan keadaan politik kerajaan yang memerintah.

Dalam kelucuan, dalam keseriusan, dalam kehambaran mahupun dalam pengaruh kemarahan, ragam kehidupan manusia dan adat kebudayaan kontemporari Malaysia tergambar dengan kecelaruan kerana dipengaruhi oleh kuasa dan karenah politik semasa. Gambaran keserabutan ini akan dibaca dan dikaji oleh mereka yang akan datang kemudian dan mereka akan bebas membuat kesimpulan malah mungkin menjumpai sebab musabab bangsa dan kebudayaan kita pupus ketika itu.

Sehubungan itu marilah kita bersama-sama berganding bahu membetulkan keadaan ini dengan rasa kebersamaan dan merendah diri supaya landasan dan wawasan kehidupan kita tetap di atas landasan yang lurus dan kukuh, betul dan tepat. Tidak sesat dan menyesatkan orang lain. Tidak sombong dan memperlekeh pandangan orang lain. Tidak mementingkan diri dan tidak gila kepada harta dunia yang menyebabkan penglihatan kita lalap dan buta mata hati.

Ke arah itu kita mestilah bersatu padu mencari petunjuk jalan yang lurus, jalan yang universal dan global. Kita mesti mengkaji dengan serius dan mencari serta menggunakan sumber yang ada menyatakan dan memperjelaskan bagaimana untuk hidup selamat lurus dan betul supaya bangsa kita tidak pupus seperti yang tercatat dalam tamadun manusia. Anda yang memiliki sekeping hati yang ikhlas, pasti mengetahui dan rasa terpanggil apakah sumber atau benda itu………

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere