ARTIS MERAKAM POLITIK SONGSANG

Keserabutan Politik Malaysia Dirakam Artis Kontemporari

Apabila kartunis Zunar ditahan ISA dan pelancaran siri penerbitan kartunnya disabotaj kerajaan, lahir suatu set minda baru di kalangan artis kontemporari bahawa hasil produksi mereka bernilai sejagat. Mereka bertambah yakin falsafah kebebasan berkarya tidak perlu dipupuk dengan ancaman dan ugutan. Mereka bertambah yakin dan mendapat banyak ilham dari suasana yang tegang. Itulah keistimewaan artis-artis yang meluahkan pemikiran mereka melalui hasil karya mengikut genre masing-masing.

Penyelidikan kebudayaan dunia pula sejak dahulu lagi menerima teori kesahihan budaya sesuatu kaum yang sudah pupus melalui tingalan hasil budaya ciptaan para artis. Keadaan sosial, ekonomi dan politik mahupun kepercayaan sesuatu kelompok sosial, bangsa atau suku yang telah pupus itu dikaji menerusi bait-bait perkataan, tulisan, lukisan dan sebarang sesuatu yang terpapar dari hasil budaya itu.

Kerencaman politik Malaysia tidak terlepas dari permerhatian para artis yang hidup sezaman. Istilah kontemporari dapat menggambarkan kedudukan mereka dalam masyarakat. Mereka wujud tanpa menonjolkan diri. Mereka tidak mencari glamour diri kecuali terus menghasilkan karya mengikut aliran pandangan dan ilham yang tercetus dari pemikiran, pengamatan dan apa yang mereka lihat. Semua golongan artis ini menganggap mereka adalah kelompok berenovasi, kreatif dan memiliki motif keintelektualan yang tinggi.

Walau bagaimana pun terdapat pelbagai perbedaan pendapat di antara mereka terutamanya terhadap kelompok artis penghibur seperti yang terlibat dalam dunia hiburan. Kelompok dari kumpulan artis lakonan dan nyanyian dianggap kurang intelektual dan berwawasan kerana berkarya hanya untuk mencari glamour dan keseronokan. Artis kumpulan ini dianggap kurang tajam penghayatan mereka terhadap aura suasana persekitaran.

Satu usaha kerajaan untuk memperkenal atau mempopularkan mereka telah dibuat dengan mengadakan pameran kontemporari seluruh negara melalui Kementerian Pelancongan. Pakej pertama pameran seni kontemporari ini telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 3 Julai 2010 dan berlangsung selama tiga bulan di Galeria Sri Perdana (bekas rumah kediaman rasmi Tun Dr. Mahathir) Jalan Damansara Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan . Pameran ini telah berakhir pada 30 September lepas.

Sebelum diadakan pameran artis kontemporari ini, kedatangan pengunjung ke Galeria Sri Perdana adalah seramai diantara 8,000 -14,000 orang sebulan. Selama tiga bulan berturut-turut pameran ini diadakan, pelawat bertambah kepada 15,000 orang. Bererti hanya pertambahan 1,000 orang pengunjung setiap bulan manakala kos pameran ini mencecah RM1,000,000.00 (1 juta) jika dikira termasuk kos-kos kemudahan asas dan upah tenaga kerja pegawai dan kakitangan yang terlibat. Adakah objektif pameran ini tercapai berbanding dengan kos dibelanjakan yang masih belum dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan?

Pakej kedua dan seterusnya pula akan menyusul ke seluruh negara iaitu zon selatan, timur, tengah dan utara serta Sabah dan Sarawak. Kos untuk mengadakannya tidak dihebahkan. Kementerian Pelancongan kelihatan mempunyai banyak peruntukan dan dianggap istimewa kerana pendapatan negara kedua terbesar adalah hasil dari kemasukan pelancong asing. Tetapi adakah ini benar-benar dapat dikira secara mikro? Dan wajarkah segala aktivitinya yang membelanjakan jutaan ringgit dipandang dengan sebelah mata? Di waktu yang sama pula kerajaan berlepas tangan terhadap kesempitan hidup rakyat bawahan malah sanggup menarik semula subsidi sehingga menyebabkan barang-barang keperluan harian melambung harga.

Berbalik kepada aktiviti pameran kontemporari tadi, adakah kerajaan sadar dan suka mengambil iktibar kerana perlakuan dan dasar kerajaan kontempori sebenarnya dirakam oleh para artis dengan begitu kreatif sekali. Gambaran buruk dan hodoh ada dan gambaran baik dan ceria pun ada. Tetapi jika diamati dengan penghayatan mata pengkaji kebudayaan dan seni, kebanyakan hasil ilham yang diproduksi oleh para artis kontemporari ialah gambaran yang negatif terhadap suasana sosial dan keadaan politik kerajaan yang memerintah.

Dalam kelucuan, dalam keseriusan, dalam kehambaran mahupun dalam pengaruh kemarahan, ragam kehidupan manusia dan adat kebudayaan kontemporari Malaysia tergambar dengan kecelaruan kerana dipengaruhi oleh kuasa dan karenah politik semasa. Gambaran keserabutan ini akan dibaca dan dikaji oleh mereka yang akan datang kemudian dan mereka akan bebas membuat kesimpulan malah mungkin menjumpai sebab musabab bangsa dan kebudayaan kita pupus ketika itu.

Sehubungan itu marilah kita bersama-sama berganding bahu membetulkan keadaan ini dengan rasa kebersamaan dan merendah diri supaya landasan dan wawasan kehidupan kita tetap di atas landasan yang lurus dan kukuh, betul dan tepat. Tidak sesat dan menyesatkan orang lain. Tidak sombong dan memperlekeh pandangan orang lain. Tidak mementingkan diri dan tidak gila kepada harta dunia yang menyebabkan penglihatan kita lalap dan buta mata hati.

Ke arah itu kita mestilah bersatu padu mencari petunjuk jalan yang lurus, jalan yang universal dan global. Kita mesti mengkaji dengan serius dan mencari serta menggunakan sumber yang ada menyatakan dan memperjelaskan bagaimana untuk hidup selamat lurus dan betul supaya bangsa kita tidak pupus seperti yang tercatat dalam tamadun manusia. Anda yang memiliki sekeping hati yang ikhlas, pasti mengetahui dan rasa terpanggil apakah sumber atau benda itu………

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere