MENTADBIR NEGARA ALA KONGSI GELAP

MENTADBIR NEGARA ALA KONGSI GELAP

Pada suatu ketika yang masih belum lama lagi rakyat dikejutkan oleh beberapa insiden yang mendedahkan beberapa orang menteri kabinet cenderung beperangai seperti pembuli atau keras dan kasar seperti ganster dan samseng. Amat mendukacitakan apabila para menteri dan timbalan menteri serta ahli yang berhormat wakil rakyat juga sering cenderung memihak kepada seseorang penggemar atau pengamal yang boleh dikaitkan dengan sesuatu kumpulan kongsi gelap. Dan bertambah malang apabila hal ini tidak dinafikan oleh mereka.

Pihak polis pula telah bertindak menahan sesiapa sahaja yang berani mengemukakan kenyataan atau yang berani bercakap mengenai penglibatan tokoh politik dengan kumpulan samseng dan kongsi gelap. Tambah mendukacitakan apabila tindakan pihak polis seolah-olah bukan melindungi para tokoh atau pemimpin rakyat yang menagih kebenaran tetapi dilihat seperti melindungi kumpulan atau kegiatan kongsi gelap. Rakyat diperlihatkan oleh pihak berkuasa seolah-olah segalanya adalah fitnah dan tidak pernah  wujud.

Pada waktu yang sama, dalam zaman dunia tanpa sempadan ini, pelbagai maklumat boleh  didapati dengan mudah dan berada dihujung jari. Peralatan komunikasi yang canggih dan kemajuan teknologi maklumat berkembang tanpa batasan dan tidak dapat dikawal. Sehubungan itu segala penafian oleh pihak berkuasa dengan mudah dipatahkan oleh paparan dokumen bukti yang disogokkan oleh peranti-peranti mass media. Rakyat biasa atau orang awam yang tidak mahir sebagai penyelidik professional sering menjadi mangsa. Berita diterima terus kerana tiada masa untuk  menunggu pengesahan. Segala berita diterima secara menyeluruh dan dianggap otentik.

Jabatan dan agensi kerajaan yang diberi kuasa selaku pelaksana dan jentera kerajaan terhadap dasar-dasar negara kini jelas beperanan melindungi tokoh politik yang menerajui jabatan atau agensi mereka. Kuasa dan pengaruh politik  sangat berpengaruh dalam menentukan perlantikan dan kenaikan pangkat ketua-ketua jabatan sehingga mereka terlupa mengutamakan fungsi dan peranan jabatan. Urusan peranan dan fungsi selaku jentera pelaksana dasar diserahkan kepada pegawai bawahan yang terikat dengan ikrar dan arahan.

Hal ini telah meluaskan serta menguatkan pengaruh tokoh politik meskipun kenyataan mereka sering tidak bersandar kepada ketepatan maklumat berdata. Apabila tidak tepat maka unsur-unsur dan ciri-ciri pembohongan jadi budaya dan mencipta budaya kehidupan rakyat dalam suasana spekulasi dan pelbagai andaian. Para tokoh pemimpin politik berasa selesa dan selamat dalam lingkungkan budaya fakta-fakta spekulasi yang disokong oleh kuasa jabatan dan agensi kerajaan. Ini menjadi sebagai factor penggalak terwujudnya unsur-unsur penipuan dan penyelewengan kepada amanah yang diberikan. Apabila ditegur dan terasa diri dan kedudukan tergugat serta tertekan akibat kecurangan diri sendiri maka cenderunglah mereka bersikap kasar seperti samseng. Ada juga terus menggunakan perkhidmatan samseng maka mentadbirlah mereka ala samseng dan kongsi gelap…..

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
15.1.2015 Bukit Bintang KL

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere