Siaran Agama TV Kita Perlu DiPuji

Siaran Agama TV Kita Perlu DiPuji

Akhir-akhir ini kita dapati banyak siaran berunsur Islam diterbitkan di TV. Memang kita ketahui bahawa media itu semuanya dimiliki, dikuasai atau setidak-tidaknya mempunyai kepentingan kerajaan iaitu yang dikuasai oleh Melayu UMNO ketika ini. Kita seharusnya bersyukur terhadap penerbitan berunsur Islam ini meskipun skop perbincangan dan isu-isu yang hendak disampaikan oleh para ustaz dikawal dan dihadkan. Tujuan yang tersirat disebalik penyiaran ini adalah untuk mengambil hati rakyat khasnya orang Melayu yang telah menyadari bahawa banyak isu agama diputarbelitkan oleh kerajaan . Setidak-tidaknya kita telah mula terdedah mengenai perkembangan dan pengetahuan mengenai Islam melalui media elektronik.

Tun Sheikh percaya apabila terlalu banyak siaran agama dan menampilkan tokoh-tokoh ilmuan Islam maka kita akan lebih terdedah dan dapat membuat pilihan atau menghakimi siaran mana yang terbaik atau diminati. Hal ini akan mendorong persaingan antara siaran tv untuk menerbitkan siaran agamanya yang terbaik dan secara tidak langsung segala ketelusan akan tersibar. Penonton akan dapat menambah ilmu atau pengetahuan dan akan dapat membuat perbandingan sendiri siaran yang mana yang pro kerajaan dan mengelirukan dan siaran yang mana telus mengikut kehendak agama.

Tun Sheikh tertarik untuk membincangkan trend siaran agama ini kerana seusia setengah abad ini baru ini Tun Sheikh mula berasakan kita boleh memfokus atau mengeset tv kita selama 40% waktu sehari untuk mengikuti rancangan atau siaran berkaitan agama yang diterbitkan. Ketika dahulu kita hanya didedahkan dengan forum perdana sebulan sekali dan kemudian seminggu sekali di TV. Topik ceramah pula adalah terhad sehingga isu semasa yang banyak dan diharap dapat dikupas dalam ceramah atau forum terlepas atau dilupakan begitu sahaja. Akibatnya masyarakat tidak mendapat panduan untuk keluar dari beban masalah yang dihadapi dan ia berterusan menjadi masalah social terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Setelah mengikuti beberapa siaran mengenai agama seperti Tanyalah Ustad, Si Manis Kurma, Halaqah, Belajar Bahasa Arab, Imarak Ulamak, Muqadimah, Al Kulliah, Assalamualaikum dan lain-lain, Tun Sheikh yakin kita akan melahirkan ulama besar dan hebat di masa akan datang. Yang sedihnya apabila kita mendapati banyak soalan dan masalah terlalu asas sehingga menggambarkan betapa ceteknya pengetahuan masyarakat kita terhadap agama secara umumnya. Jauh dibenak Tun Sheikh terutama ketika menonton rancangan yang dipimpin oleh para ustad yang masih muda-muda kita secara spontan akan mengetahui bahawa soalan yang ditanya itu sebenarnya telah disediakan dan dipilih terlebih dahulu. Ada soalan dan jawapan seolah-olah untuk menyelamatkan kerajaan dan para ustad dan akhirnya sehingga kita boleh membuat kesimpulan bahawa barisan kepimpinan Melayu UMNO amat dangkal dalam soal agama. Maka jangan hairan jika mereka seperti merapu apabila menjawab berkenaan isu agama.

Sekali lagi meskipun begitu kita mesti bersyukur kerana sudah tentu tidak semua pemimpin Melayu UMNO bebal atau buta hati terhadap agama. Hasilnya telah banyak kita nikmati siaran agama di kaca tv kita. Insyaallah walaupun mereka merancang tidak kira dengan niat yang pelbagai, kita hendaklah yakin bahawa perancangan Allah adalah terbaik. Insyaallah orang Melayu termasuk Melayu UMNO mudah-mudah akan tuhan kurniakan kefahaman terhadap agama dan memperjuangkan sehingga menjadikan Islam itu adalah cara hidup seharian kita. Ketika itu jika kita bersatu kerana Islam maka kita wajib menyertainya. Tetapi jika idea penyatuan kita masih berteraskan perkauman iaitu Melayu sehingga tidak mengutamakan agama Islam, Tun Sheikh secara peribadi tidak setuju.

Jika dibandingkan dengan siaran TV negara jiran, boleh dikatakan bahawa siaran kita adalah dalam kelompok yang berdisiplin tinggi. Namun dari sehari ke sehari kelihatan moralnya menurun kerana terlalu banyak program hiburan ditayangkan. Kebebasan bersuara dalam ertikata demokrasi masih terhad dan adalah amat menyedihkan apabila media tv kita sering disalahgunakan untuk kepentingan Melayu UMNO. Rakyat di era global ini tidak suka kepada sebarang sekatan kerana pada waktu yang sama penduduk di Negara lain menikmati permodenan. Apa yang perlu adalah makluman, nasihat dan peringatan atau panduan yang disiarkan dan diuar-uarkan kepada rakyat terhadap siaran-siaran yang tidak baik dan dilarang menontonnya. Bercakap berkenaan yang baik atau sebaliknya adalah subjektif oleh itu kerajaan tidak perlu menggunakan kuasa untuk menyekat atau menutup terus siaran.

Apa yang perlu bukanlah penahanan atau menghukum rakyat dengan menutup atau melarang siaran diterbitkan tetapi memberi pengajaran atau pendidikan berakhlak mulia supaya dengan sendirinya nanti penonton atau rakyat akan memilih mengikut kecenderungan mereka. Jika kerajaan keliru dan tidak tahu untuk memilih secara asas terhadap siaran yang baik dan sebaliknya dan tidak tahu corak pendidikan moral dan akhlak yang hendak disampaikan maka mereka boleh merujuk kepada majlis ulama yang sentiasa berusaha mengawal akhlak masyarakat. Mereka patut mengangkat kuasa ekserkutif majlis ulama kepada yang lebih tinggi lagi sehingga betul-betul berwibawa selayak kedudukannya. .

Pihak berkuasa penyiaran atau syarikat-syarikat penyiaran dan juga kerajaan mesti memegang kukuh asas-asas penyiaran yang berojektif ke rah membentuk insan mulia dan berteraskan kebajikan. Jika kerajaan melakukan penyelewengan dengan arahan penyiaran yang cuba mempengaruhi rakyat kepada perkara yang batil maka hal ini hendaklah ditentang oleh semua pihak penyiaran dan juga rakyat.

Akhir sekali marilah sama-sama kita berusaha, berharap dan berdoa semoga program-program siaran yang diterbitkan untuk tontonan rakyat bertambah baik dari hari ke sehari dari segi perisian akhlak bukan tekniknya semata-mata. Disamping itu kita hendaklah bersyukur terhadap penambahbaikan keatas siaran berkaitan agama dan kita hendaklah mengawasi agar program hiburan yang banyak melalaikan dapat dikurangkan dengan diganti dengan program atau siaran bercorak keilmuan dan maklumat berita serta maklumat untuk pengetahuan am.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Johor Bahru 27.1.2012

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere