Warisan Baik Sangka Penyebab Tidak Mengenal Hati Budi Musuh

0 comments


Warisan Baik Sangka Penyebab Tidak Mengenal Hati Budi  Musuh

Ketika PAS menjadi parti escapism dan wadah tempat pergantungan dan harapan orang Melayu menentang kezaliman PM dan BN, musuh politiknya tidak berdiam diri. Rakyat yang desperado tidak takut mengelar PM seabagai Mahazalim dan Mamakuti yang diuar-uar mewarisi darah keturunan berperangai membelit,  menipu dan menindas.

PAS begitu tenang dan kukuh dengan dasar Islami yang tidak mengambil kesempatan menyimbah minyak pada bara api . PAS tidak menonjolkan diri dan tidak mengamalkan perasaan buruk permusuhan. Natijah dari pegangan dasar dan toleransi ini telah menghilangkan keyakinan dan harapan sebahagian kumpulan kepimpinan Melayu UMNO yang menentang PM Dato’ Seri Dr Mahathir lalu menubuhkan Parti Keadilan pada 1999. Parti ini diuar-uarkan sebagai wadah memperjuangkan keadilan dan transparen untuk semua kaum yang tidak mempunyai platform perjuangan menolak ketidakadilan, diskriminasi dan bias kronisma.

Banyak yang menyertai Parti Keadilan dari kalangan ahli PAS ialah mereka yang tidak ada latar belakang agama yang tinggi. Mereka tidak dapat mempengaruhi majority ahli PAS ketika menyertai PAS malah pengaruh mereka tidak berkembang dan tidak mendapat tempat dalam naunsa PAS yang dilingkungi ahli-ahli agama dan peminat agama dari kumpulan teras bawahan sehingga kepimpinan tertinggi. Ketidakselesaan ini mendorong mereka keluar dari PAS dan menyertai Parti Keadilan.

Banyak juga kepimpinan yang melompat menyertai PAS kekal sehingga ke hari ini kerana berasa tenang dan yakin terhadap ketulusan perjuangan parti yang bertunjangkan dasar-dasar dan hukum agama. Namun PAS juga dilihat  agak lembab dalam membuat tindakan segera dalam pelbagai isu semasa yang sepatutnya tidak dilepaskan peluang bersama-sama rakyat awam menunjukkan pendirian.

Disamping membuat banteng pertahanan bagi menyekat pengaruh Parti Keadilan yang kemudiannya berjaya mengikat kesepakatan sebagai Barisan Alternatif, Barisan Nasional pimpinan PM Dr Mahathir pada hakikatnya tidak khuathir terhadap perkembangan musuh-musuh politiknya kecuali terhadap PAS. BN melihat PAS sebagai sebuah parti agama yang konservatif bertukar menjadi moden. Ramai para professional dan teknik berada di barisan depan baik di barisan kepimpinan ,mahupun ketika melaksanakan pelbagai aktiviti politik dan social. PAS berkembang dengan pesat berikutan tuntutan  perubahan melalui reformasi yang tercetus akibat dari pemecatan TPM DSAI. Minat rakyat kepada PAS sangat dicurigai dan dicemburi. Sehubungan itu beberapa strateji memecahbelahkan kekuatan musuh politik telah dilaksanakan tanpa disedari PAS yang sentiasa bersangka baik kepada sesiapa.

Perpecahan di kalangan kepimpinan PAS terutamanya penyingkiran atau memencilkan pengaruh kumpulan yang dituduh sekular,  professional, Erdogan, Anuaris dll dengan kumpulan ulamak adalah diantara kejayaan musuh-musuh PAS tanpa disedari oleh PAS secara menyeluruh. PAS kontemporari berjaya dipengaruhi dengan keyakinan hanya  kepada golongan ulamak sebagai pemimpin tanpa menyedari bahawa musuh utama mereka sangat khuatir kepada kesepaduan kepimpinan PAS dari golongan ulamak dan professional.

Kini rakyat melihat PAS telah kembali dengan kepimpinan ulamak yang dianggap tulus tetapi rapuh sebagai pemimpin sebuah negara bangsa. Mereka kelihatan mudah digula-gulakan dengan isu agama dan tidak berwibawa mentadbir negara jika PAS tidak segera memberi pendidikan Islam moden dan profesional kepada ahli dan kepimpinan muda mereka sebagai pelapis dan pengganti kepada kumpulan profesional bukan ulamak yang telah pergi.

Oleh : Tun Sheikh Engku Bendahara
Rantau Panjang Kelantan 17.3.2016

MENTADBIR NEGARA ALA KONGSI GELAP

0 comments
MENTADBIR NEGARA ALA KONGSI GELAP

Pada suatu ketika yang masih belum lama lagi rakyat dikejutkan oleh beberapa insiden yang mendedahkan beberapa orang menteri kabinet cenderung beperangai seperti pembuli atau keras dan kasar seperti ganster dan samseng. Amat mendukacitakan apabila para menteri dan timbalan menteri serta ahli yang berhormat wakil rakyat juga sering cenderung memihak kepada seseorang penggemar atau pengamal yang boleh dikaitkan dengan sesuatu kumpulan kongsi gelap. Dan bertambah malang apabila hal ini tidak dinafikan oleh mereka.

Pihak polis pula telah bertindak menahan sesiapa sahaja yang berani mengemukakan kenyataan atau yang berani bercakap mengenai penglibatan tokoh politik dengan kumpulan samseng dan kongsi gelap. Tambah mendukacitakan apabila tindakan pihak polis seolah-olah bukan melindungi para tokoh atau pemimpin rakyat yang menagih kebenaran tetapi dilihat seperti melindungi kumpulan atau kegiatan kongsi gelap. Rakyat diperlihatkan oleh pihak berkuasa seolah-olah segalanya adalah fitnah dan tidak pernah  wujud.

Pada waktu yang sama, dalam zaman dunia tanpa sempadan ini, pelbagai maklumat boleh  didapati dengan mudah dan berada dihujung jari. Peralatan komunikasi yang canggih dan kemajuan teknologi maklumat berkembang tanpa batasan dan tidak dapat dikawal. Sehubungan itu segala penafian oleh pihak berkuasa dengan mudah dipatahkan oleh paparan dokumen bukti yang disogokkan oleh peranti-peranti mass media. Rakyat biasa atau orang awam yang tidak mahir sebagai penyelidik professional sering menjadi mangsa. Berita diterima terus kerana tiada masa untuk  menunggu pengesahan. Segala berita diterima secara menyeluruh dan dianggap otentik.

Jabatan dan agensi kerajaan yang diberi kuasa selaku pelaksana dan jentera kerajaan terhadap dasar-dasar negara kini jelas beperanan melindungi tokoh politik yang menerajui jabatan atau agensi mereka. Kuasa dan pengaruh politik  sangat berpengaruh dalam menentukan perlantikan dan kenaikan pangkat ketua-ketua jabatan sehingga mereka terlupa mengutamakan fungsi dan peranan jabatan. Urusan peranan dan fungsi selaku jentera pelaksana dasar diserahkan kepada pegawai bawahan yang terikat dengan ikrar dan arahan.

Hal ini telah meluaskan serta menguatkan pengaruh tokoh politik meskipun kenyataan mereka sering tidak bersandar kepada ketepatan maklumat berdata. Apabila tidak tepat maka unsur-unsur dan ciri-ciri pembohongan jadi budaya dan mencipta budaya kehidupan rakyat dalam suasana spekulasi dan pelbagai andaian. Para tokoh pemimpin politik berasa selesa dan selamat dalam lingkungkan budaya fakta-fakta spekulasi yang disokong oleh kuasa jabatan dan agensi kerajaan. Ini menjadi sebagai factor penggalak terwujudnya unsur-unsur penipuan dan penyelewengan kepada amanah yang diberikan. Apabila ditegur dan terasa diri dan kedudukan tergugat serta tertekan akibat kecurangan diri sendiri maka cenderunglah mereka bersikap kasar seperti samseng. Ada juga terus menggunakan perkhidmatan samseng maka mentadbirlah mereka ala samseng dan kongsi gelap…..

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
15.1.2015 Bukit Bintang KL

JAHIL IS (ISLAMIC STATE) DAN KEJAHILAN KITA

0 comments


JAHIL IS  (ISLAMIC STATE) DAN KEJAHILAN KITA

Pada bulan April 2015 Tun Sheikh berkesempatan mengikuti taklimat keselamatan  dari ketua SB di Kompleks BTN Jln Bellamy Kuala Lumpur. Ramai pemberita dan wartawan termasuk blogger dan stesen penyiaran dijemput hadir. Topik utama ialah mengenai  IS atau Islamic State di Syria. Penceramah memaklumkan bahawa sindrom IS adalah benar dan berada dalam status bahaya pada SOP penyiasatan polis. Hal ini betul-betul teruja kerana pihak polis telah berjaya mengumpul maklumat sebanyak tidak kurang 150 kes dalam jangka masa 10 bulan di negara ini. Ini bermakna kes berkenaan adalah serius.

Sindrom IS ialah tarikan pengaruh ekstrim  terhadap pejuangan agama yang  di label sebagai perjuangan yang suci. Propaganda menarik ahli dan penyebaran pengaruh adalah melalui internet dan terbuka kepada sesiapa yang berminat  untuk menyertainya. Dari penyiasatan dan kajian yang telah dilakukan terhadap kes-kes yang terkumpul, gerakan IS adalah gerakan ekstrimis agama yang tidak berdasarkan ajaran Islam. Mereka menggunakan kekerasan dan menzalimi  musuh mengikut nafsu dan dendam. Mereka mengaku diri mereka sebagai pejuang jihad dan mencita-citakan mati syahid . Pergerakan dan aktiviti mereka adalah jalan satu hala yang tidak mempunyai  cara untuk berpatah balik. Matlamatnya ialah memusnah atau membunuh musuh agama dan menikmati kejayaan atau mereka sendiri  mati ketika berjuang . Dalam erti kata lain, sesiapa yang telah berbaiah sebagai ahli atau telah menganggotai IS tidak boleh lagi keluar dari organisasi itu. Sesiapa yang tidak mengikut arahan dianggap sebagai pembelot dan akan dihukum bunuh.

Sambutan hangat dari negara ini adalah kerana tidak memahami dan mengetahui sejarah penubuhannya dan tidak mengenali tokoh-tokoh pemimpin. Tidak mengetahui ini dalam istilah agama ialah jahil. Dunia Islam telah menolak kegiatan dan sebarang program IS sebagai tuntutan agama kerana pada dasarnya segala peraturan asas yang diamalkan tidak bersumber dari Al Quran dan Hadis. Ia tidak lebih kepada pengaruh adat dan perancangan pemimpin IS. Dalam hal ini, ternyata pembuat peraturan atau dasar dalam IS itu jahil tentang hukum hakam agama Islam.

 Perkara yang sangat menonjol dan tidak menyenangkan umat Islam ialah hukum bunuh yang dikenakan kepada penganut Islam sendiri. Umat Islam yang tidak sefahaman dengan mereka  dianggap kafir atau sesat.Semua mazhab adalah bathil kecuali mazhab mereka.  Pada waktu yang sama mereka tidak mempedulikan kezaliman Yahudi  terhadap umat Islam. Pembunuhan atau hukuman mati yang dilaksanakan begitu sadis dan begitu zalim tidak sebagaimana petunjuk dalam agama Islam.

Dalam taklimat itu,  beberapa siri video ditayangkan dengan jaminan kesahihan dari pihak berkuasa iaitu polis. Meskipun ada soalan nakal dari wartawan dan blogger yang cenderung menyangka pihak polis sebenarnya sedang berusaha mengalihkan perhatian rakyat daripada  isu GST dan 1MGB yang tidak menyenangkan, soalan dan pertanyaan dijawab dengan serius malah matlamat dan objektif pihak polis adalah untuk memaklumkan perkembangan semasa, berkaitan bahaya besar pengaruh aktiviti ekstrimis agama yang disebarkan oleh Pegerakan IS.

 Pihak Polis meminta kerjasama agar sama-sama memerhatikan sesiapa yang disyaki dari kalangan kaum keluarga dan sahabat handai terdekat agar segera memaklum atau melaporkan kepada pihak polis. Ini adalah kerana jika ahli keluarga telah terbabit jauh adalah sangat susah untuk dipulihkan. Bahaya ke tahap bukan lagi harta tetapi nyawa. Ini adalah disebabkan fahaman atau pegangan falsafah mental tidak sama dengan keistimewaan fizikal atau ekonomi yang mudah berubah. Fahaman mental, falsafah dan pemikiran sangat sulit dipulihkan secara segera. Inilah sindrom yang sedang melanda kepada rakyat negara ini terutama kepada mereka yang berminat terhadap aktiviti keagamaan tetapi tidak mempunyai pendidikan asas dan formal terhadap Islam.

Makluman pihak berkuasa polis tidak boleh dipandang mudah. Kita sendiri boleh membuat kajian kerana apparatus dan fasiliti media dengan dasar langit terbuka tanpa sempadan sangat mudah diperolehi dan digunakan. Harapan utama dari Tun Sheikh dalam hal ini ialah,  kita janganlah  lupa mencari petunjuk dalam agama kita mengenai IS ini. Inn Syaa Allah tentu ada untuk kita jadikan pegangan.

Oleh Tun Sheikh
30.4.2015 BTN K.Lumpur

Watak dan Tokoh Kartun Zunar, Rafizi dan Tian Chua Perlu Dipelihara dan Diperbanyakkan

0 comments


            Watak dan Tokoh Kartun Zunar, Rafizi dan Tian Chua Perlu Dipelihara dan Diperbanyakkan

              Tiga orang tokoh ini bagi Tun Sheikh adalah mutiara yang bersinar pada zaman kecemerlangan Pakatan Rakyat mengajak manusia Malaysia berbalik kepada realiti kehidupan dengan penuh kesadaran untuk hidup dengan norma keadilan dan bebas mengamalkan budaya demokrasi. Berbanding dengan tokoh-tokoh dan ahli politik khususnya BN tidak kira  dari AMNO dsb yang kelihatan seperti sedang  dirasuk dan mabuk dengan  kemewahan dan gembira hidup dengan hasil penyelewengan amanah dan rasuah. Tiga orang tokoh ini adalah di antara banyak tokoh yang menonjol ketika ini. Mereka masih gemerlapan dan adalah diharap sinar dan aura yang keluar dari mereka akan berterusan sampai bila-bila meskipun setelah mereka tiada. Mereka juga adalah diharap terus berada di atas trek kehidupan dan budaya serta perjuangan yang betul sampai ke akhir hayat.

              Diantara 3 tokoh tersebut, Zunar adalah tertua tetapi minda dan kreativitinya sangat cerah, jelas dan sentiasa relevan dan hidup. Idea dan maklumat yang disampaikannya sentiasa muda.  Beliau berjaya memindahkan rakaman berita minda dan imejinasi yang realistic ke dalam bentuk lukisan kartun yang benar-benar mencuit hati. Mesej dan berita yang disampaikannya amat tepat, bersahaja, menarik dan berupaya memberi  kesan sinis dan pengaruh yang meluas dan dalam. Mesej kartunnya adalah reality kehidupan terutamanya dalam hal realiti politik semasa. Beliau adalah pemerhati dan pembaca perihal yang tajam. Ideanya sentiasa berkembang dan lukisan atau animasinya berupaya memberi maklumat atau membuat pencerahan terhadap sesuatu peristiwa  mahupun isu-isu yang kompleks. Adalah sangat menarik dan sangat bernilai tinggi apabila sesuatu peristiwa mahupun cerita dapat disimpul dan disampaikan dengan sekeping gambar kartun sahaja.

              Zunar juga tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai tekanan hidup yang direka dan difitnahkan kepada beliau bagi membendung atau membantutkan usaha dan kreativiti beliau yang dianggap cenderung kepada rakyat atau berpihak kepada golongan politik pembangkang . Kerajaan seolah-olah tidak dapat menerima apa yang disampaikan oleh Zunar kerana begitu mampan, sensetif dan mudah difahami rakyat malah berupaya mempengaruhi minda rakyat. Sayang sekali pandangan BN terhadap Zunar adalah negatif padahal apa yang diamalkan oleh mereka itulah yang sebenar negatif dan menyeleweng atau dengan bahasa mudah BN telah salah guna kuasa. Tegoran positif dibaca sebagai khianat dan orang seperti Zunar dianggap musuh. 

              Tian Chua pula adalah watak berkepribadian rakyat yang suka kepada low-profile. Beliau timbul tanpa mewakili apa-apa kesatuan atau kepentingan persatuan. Pada mulanya beliau seperti seorang desperado yang berputus-asa dan amat benci kepada ketidakadilan kerajaan BN dalam semua hal. Beliau kelihatan begitu beremosi kerana penyelewengan dan budaya rasuah BN telah mengakibatkan kesusahan hidup  rakyat marhein. Dalam  sebuah demontrasi yang bukan miliknya, beliau bernekad menggadai nyawa dan tidak peduli ke atas kematian atau ajal nyawanya sendiri. Beliau tidak berganjak duduk di tengah-tengah jalan meskipun disimbah dengan air kimia yang gatal oleh polis. Beliau juga seolah-olah sanggup mati dilenyek kereta prisai polis kerana tidak melarikan diri. Beliau terus mematung di tengah jalan untuk menghalang kereta prisai polis daripada terus mara mengejar rakyat yang berhimpun. Beliau sanggup menjadi ikon yang terkorban dalam memperjuangkan keadilan kepada rakyat. Sehingga ke hari ini beliau masih belum berubah dan tiada ciri-ciri kesombongan kepada rakyat yang diperjuangkannya meskipun telah menjadi ahli yang berhormat atau YB. Beliau kelihatan terus bersemangat dan bertenaga meskipun fizikalnya kelihatan kepenatan. 

              Ramizi pula adalah seorang anak muda yang termuda. Cahaya kecerdikannya sangat terang. Beliau membawa ikon anak muda yang pintar dan tidak suka rasuah dan penyelewengan. Beliau juga adalah seorang professional yang pada mulanya menjadi asset kepada kerajaan BN yang mengikatnya. Oleh kerana beliau melihat amalan rasuah dan penyelewengan terhadap hak rakyat oleh BN telah melampaui batas, beliau telah mengikut naluri hatinya untuk melepas jawatan yang berprestij dan terjamin masa depan dengan kemewahan lalu menceburkan diri  dalam memperjuangkan hak asasi khususnya berkaitan keadilan dalam semua hal. Apabila PR berjaya menjadi    kerajaan dan mentadbir  negeri Selangor,  jawatan penasihat ekonomi yang berprestij juga dilepaskannya kerana menolak fitnah-fitnah AMNOBN.

              Sehingga ke hari ini, beliau tidak putus-putus dibebani dengan pelbagai fitnah yang dibuat-buat untuk menekan hidup seharian anak muda ini. Apa yang sangat merimaskan BN ialah, isu-isu penyelewengan AMNOBN  yang dikemukakan beliau semuanya mempunyai bukti sahih yang terpakai di mahkamah. Kepintaran beliau berhujah secara professional dengan fakta-fakta realiti sering mematikan hujah-hujah fitnah rekaan dan ciptaan pemimpin AMNOBN. Pengetahuan beliau membezakan fakta dan dokumen palsu dengan yang sahih adalah satu kelebihan dirinya. Tokoh-tokoh AMNOBN tidak mementingkan kesahihan kerana terpengaruh dengan kuasa wang yang mampu mereka adakan. Wang tidak menjadi masalah dan tidak disayang kerana wang yang mereka perolehi adalah wang mudah, wang haram, wang rasuah hasil amalan penyelewengan mereka. Paling teruk ialah pemikiran dan keyakinan tokoh-tokoh AMNOBN bahwa wang dan kuasa wang adalah segala-galanya.

              Watak tiga tokoh yang Tun Sheikh nukilkan ini adalah ciri-ciri watak tokoh yang bernilai tinggi dan sejagat.  Mereka adalah seperti  manusia lain yang tidak menolak jika berpeluang menjadi jutawan. Tetapi oleh kerana mereka telah terlibat dan berpengalaman dengan penderaan mental dalam memperjuangkan keadilan dan menjadi pejuang kepada golongan marhein, Tun Sheikh percaya dan yakin bahwa mereka tidak akan menerima untuk menjadi jutawan melalui hasil sogokan dan rasuah. Mereka juga amat prihatin dengan nasib rakyat marhein dan seandainya mereka kaya bukan daripada hasil rasuah dan penyelewengan, tentunya mereka tetap mengingati orang yang kurang bernasib baik terutamanya terhadap rakyat yang menghadapi kesusahan hidup gara-gara penganiayaan kerajaan BN.

              Mengimbau kepada watak dan ketokohan tiga tokoh pejuang keadilan ini, kelahiran watak sebegini kalau boleh mesti dirancangkan agar terlahir sebanyak mungkin. Mereka cerdek, mereka pintar, mereka senang tetapi mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri dengan melibat dan menceburkan diri dalam perjuangan mendapatkan keadilan rakyat terutamanya terhadap golongan marhein yang mempunyai banyak kelemahan dan sering didiskriminasi oleh AMNOBN. Kita tidak mahu banyak tokoh cerdek dan pintar seperti dalam AMNOBN, tetapi mereka hanya cerdik dan pintar menipu. Bagi Tun Sheikh sendiri, Tun Sheikh tidak malu mengatakan bahwa Tun Sheikh sedang mengumpul duit untuk membeli semua penerbitan Zunar dan begitu juga terhadap apa-apa penerbitan mengenai Tian Chua dan Ramizi. Tun Sheikh yakin penerbitan itu akan berfaedah kepada anak cucu.

               Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
               Johor Bahru 20.12.2014

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere