MENTADBIR NEGARA ALA
KONGSI GELAP
Pada suatu ketika yang masih belum lama lagi rakyat
dikejutkan oleh beberapa insiden yang mendedahkan beberapa orang menteri kabinet
cenderung beperangai seperti pembuli atau keras dan kasar seperti ganster dan
samseng. Amat mendukacitakan apabila para menteri dan timbalan menteri serta
ahli yang berhormat wakil rakyat juga sering cenderung memihak kepada seseorang
penggemar atau pengamal yang boleh dikaitkan dengan sesuatu kumpulan kongsi
gelap. Dan bertambah malang apabila hal ini tidak dinafikan oleh mereka.
Pihak polis pula telah bertindak menahan sesiapa sahaja yang
berani mengemukakan kenyataan atau yang berani bercakap mengenai penglibatan tokoh
politik dengan kumpulan samseng dan kongsi gelap. Tambah mendukacitakan apabila
tindakan pihak polis seolah-olah bukan melindungi para tokoh atau pemimpin
rakyat yang menagih kebenaran tetapi dilihat seperti melindungi kumpulan atau
kegiatan kongsi gelap. Rakyat diperlihatkan oleh pihak berkuasa seolah-olah
segalanya adalah fitnah dan tidak pernah
wujud.
Pada waktu yang sama, dalam zaman dunia tanpa sempadan ini, pelbagai
maklumat boleh didapati dengan mudah dan
berada dihujung jari. Peralatan komunikasi yang canggih dan kemajuan teknologi
maklumat berkembang tanpa batasan dan tidak dapat dikawal. Sehubungan itu
segala penafian oleh pihak berkuasa dengan mudah dipatahkan oleh paparan
dokumen bukti yang disogokkan oleh peranti-peranti mass media. Rakyat biasa
atau orang awam yang tidak mahir sebagai penyelidik professional sering menjadi
mangsa. Berita diterima terus kerana tiada masa untuk menunggu pengesahan. Segala berita diterima
secara menyeluruh dan dianggap otentik.
Jabatan dan agensi kerajaan yang diberi kuasa selaku
pelaksana dan jentera kerajaan terhadap dasar-dasar negara kini jelas beperanan
melindungi tokoh politik yang menerajui jabatan atau agensi mereka. Kuasa dan
pengaruh politik sangat berpengaruh
dalam menentukan perlantikan dan kenaikan pangkat ketua-ketua jabatan sehingga
mereka terlupa mengutamakan fungsi dan peranan jabatan. Urusan peranan dan fungsi
selaku jentera pelaksana dasar diserahkan kepada pegawai bawahan yang terikat
dengan ikrar dan arahan.
Hal ini telah meluaskan serta menguatkan pengaruh tokoh
politik meskipun kenyataan mereka sering tidak bersandar kepada ketepatan
maklumat berdata. Apabila tidak tepat maka unsur-unsur dan ciri-ciri pembohongan
jadi budaya dan mencipta budaya kehidupan rakyat dalam suasana spekulasi dan
pelbagai andaian. Para tokoh pemimpin politik berasa selesa dan selamat dalam
lingkungkan budaya fakta-fakta spekulasi yang disokong oleh kuasa jabatan dan
agensi kerajaan. Ini menjadi sebagai factor penggalak terwujudnya unsur-unsur
penipuan dan penyelewengan kepada amanah yang diberikan. Apabila ditegur dan
terasa diri dan kedudukan tergugat serta tertekan akibat kecurangan diri
sendiri maka cenderunglah mereka bersikap kasar seperti samseng. Ada juga terus
menggunakan perkhidmatan samseng maka mentadbirlah mereka ala samseng dan
kongsi gelap…..
Oleh Tun Sheikh Engku
Bendahara
15.1.2015 Bukit Bintang
KL