MULIAKAN UNDANG-UNDANG JANGAN DIPUNTAL LIDAH BERCABANG

APABILA MANUSIA MEMBUAT HUKUM

Ada suatu keyakinan dalam melaksanakan sesuatu program atau pekerjaan pada diri seorang atau orang tertentu, apabila menghadapi masalah biasanya mereka yang kreatif dan berfikir panjang begitu yakin bahawa semua masalah boleh diatasi kerana kita adalah manusia dan kita yang membuatnya. Keyakinan ini amat baik bagi menafikan rasa putus asa apabila sesuatu ikhtiar yang dicoba gagal mengatasi masalah yang dihadapi. Selalunya orang yang berkeyakinan seperti ini memang orang yang kukuh pendirian dan tidak cepat menyerah kalah.

Jika ditinjau di sudut agama Islam hal ini boleh diertikan bahawa kita adalah manusia yang diberi pangkat khalifah di muka bumi ini. Kita diberi kuasa dan kita adalah makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna. Hubungkaitannya ialah kita adalah punca dan berkuasa ke atas yang lain dan tentunya sebarang masalah yang timbul boleh diatasi dengan kemampuan akal kita sendiri. Walau bagaimana pun kita perlu berusaha dan berikhtiar memeras akal fikiran mencari idea. Fikiran yang kreatif adalah lubuk atau gedung penyimpan maklumat penyelesaian segala masalah.

Sayangnya suatu perkara yang sering terabai di sudut akal yang kreatif dan baik ialah untuk kembali dan merasa tawadhuk kehadirat Illahi. Ini adalah kerana sifat manusia memang terfitrah dengan kelemahan. Adalah sangat malang jika manusia tidak mengetahui bahawa dengan kelemahan secara fitrah ini Allah sulami pula dengan sifat membangga diri dan kesombongan.

Akibatbatnya terlahirlah manusia yang kreatif dan bijak tetapi sombong dan sering memperlekeh orang lain kerana terfikir dirinya lebih baik. Apabila ada diantaranya menjadi pemimpin, mereka tidak terpisah dengan keyakinan diri bahawa segala sesuatu masalah itu boleh diatasi kerana puncanya adalah manusia sendiri. Falsafah Kita yang buat dia menjadi motto dalam jiwa mereka tanpa sedar bahawa kecacatan yang dibawa bersama ialah tidak ada rasa tawadhuk kepada Yang Maha Agong Sang Pencipta.

Apabila hal ini berlaku maka amat jelaslah segala perundangan dan hukum yang diwujudkan adalah mengikut fikiran kreatif mereka. Mereka merasa sungguh bangga kerana mengadakan atau mencipta perundangan, peraturan dan hukuk-hukum hidup. Mereka telah lupa bahawa soal hukum telah ada ketetapan di sisi Allah. Allah menjannjikan kepada manusia sebagai khalifah di bumi hendaklah memegang dan mengikutnya kerana ia beperanan sebagai petunjuk dalam mengharungi kehidupan yang selamat di bumi. Petunjuk dari Tuhan Sang Pencipta Yang Amat Mengetahui di mana sempadan kawasan yang kukuh dan disebaliknya.

Justeru jika kita faham dengan persoalan asas pembuat hukum oleh manusia dan asas hukum-hukum ketetapan Allah sebagai petunjuk maka dengan sendirinya kita akan dapat gambaran apa akan berlaku dimasa hadapan. Jika kita berbalik kepada ketetapan hukum Allah, ada suatu maksud hukum yang menjelaskan bahawa manusia akan binasa apabila hukum Allah tidak dipatuhi. Mereka akan ditimpa bencana hasil dari tangan mereka sendiri.

Apabila kita hubungkan kedudukan hukum dan perundangan ciptaan manusia yang sedang kita amalkan maka kepada hati dan jiwa yang hidup tentu akan merasa gelisahnya. Lihat sahaja kes kerajaan Perak yang seolah-olah sedang berada dalam kesesatan dan kecelaruan kerana hukum manusia adalah buatan manusia dan diyakini boleh berubah oleh mereka yang berkuasa. Hukum yang dicipta tidak dimuliakan maka terjadilah pelbagai percanggahan. Keputusan yang dikeluarkan mahkamah boleh berubah seolah tiada keotentikannya.

Belum lagi berkesempatan kita memikirkan kes-kes besar yang lain seperti kes liwat, kes rasuah para hakim, pecah amanah dalam kepolisan, pelbagai kes kepimpinan tertinggi negara tetapi disudut hati kecil kita seolah-olah telah mengetahui siapa yang bersalah dan siapa yang akan terhukum. Lebih malang apabila kita lebih cepat mengesan berlakunya penganiayaan dalam perundangan buatan manusia kerana maruah penghakiman negara telah tercemar dan terhakis kerana dipengaruhi oleh oleh tangan-tangan yang berkuasa yang yakin dengan falsafah kita yang buat dia........ Maka kepada jiwa yang hidup dan mencintai kebenaran bersiap-siaga segera terhadap bencana yang Tuhan janjikan. Ini adalah kerana janji Tuhan tidak pernah bohong....Paling tidak dan dalam keadaan lemah marilah kita berdoa semoga Tuhan memberi petunujuk kepada kita semua, kepada pemimpin dan kepada negara yang kita cintai ini.

Oleh Tun Sheikh

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere