Reformasi Mahasiswa Indonesia Yang Berani


Reformasi Mahasiswa Indonesia Yang Berani

Satu daripada keistimewaan para pejuang reformasi yang terdiri daripada golongan mahasiswa Indonesia ialah keberanian mereka. Ini adalah kerana mereka mempunyai sejarah perjuangan yang murni dan terpuji sejak perjuangan menuntut kemerdekaan, perjuangan bersenjata dan juga perjuangan menolak fahaman yang menyesatkan pemikiran rakyat. Mereka sentiasa berada sebagai kelompok front line dan tidak takut berhadapan dengan cabaran mental dan fizikal. Jika ada yang terkorban, semangat mereka bertambah memuncak bukan mengundur.

 Apabila matlamat mereka tercapai mereka akan kembali ke kampus seperti biasa. Yang tersingkir pun tidak takut menghadapi cabaran hidup mereka tanpa ijazah. Ini adalah kerana   falsafah bahawa ijazah universiti adalah sebagai kosmetik sahaja kerana mereka masih boleh hidup dengan baik tanpa ijazah. Bagi mereka,  yang penting ialah akal yang sihat dan bijak menyesuaikan diri dan mempunyai daya ikhtiar hidup yang tinggi. 

Setiap kali menyertai pelbagai perhimpunan yang menuntut hak asasi manusia, keadilan dan sebagainya, mereka akan berikrar dengan Sumpah Pemuda yang terkenal itu bagi membarakan semangat mereka.

Ketika era reformasi 1997-1999, para mahasiswa secara terang-terangan berdemontrasi di jalanan dengan membawa sepanduk universitas dan kolej-kolej mereka. Mereka berdemontrasi secara aman dan berpuluh ribu turun padang termasuk golongan dan kumpulan masyarakat dengan syarat mereka juga ditetapkan membawa sepanduk kampong atau desa mereka. Mereka tidak bercampur baur dengan kumpulan lain. Begitu juga dengan kumpulan-kumpulan dari pelbagai pertubuhan sosial dan sebagainya.  Mereka saling mengenal sesama sendiri dan pergerakan mereka tersusun seperti rakyat kita berbaris menyertai Hari Kemerdekaaan. 

Tidak terhad dengan laungan reformasi, terdapat juga kumpulan kompang dan gendang atau trompet kertas yang turut memeriahkan perarakan. Tidak boleh potong memotong ketika bergerak berarak di jalanraya. Jika berlaku pertembungan dengan kumpulan lain di persimpangan jalan, pergabungan hanya dibenarkan jika mereka telah merancangnya dan mengenal pasti siapa mereka. Jika tidak mereka terpaksa menunggu setelah semua kelompok atau ekor barisan habis barulah mereka menyambung untuk ke arah tuju yang sama. 

Ada maklumat yang mengatakan bahawa mereka dikehendaki mendaftar nama untuk berdemontrasi dan kehadiran mereka dicatat oleh ketua kumpulan. Kepada sesiapa yang tidak mendaftar atau tidak sempat mendaftar, dilarang hadir dan diminta melakukannya untuk minggu berikutnya. Jika tetap mahu hadir, mereka tidak dibenarkan memasuki kumpulan kecuali sebagai pemerhati bebas dan jika apa-apa berlaku kepada mereka, ketua kumpulan tidak bertanggongjawab. 

Mereka juga menetapkan hari, waktu atau masa-masa berdemontrasi di tempat-tempat tertentu dan berubah-ubah di setiap hujung minggu. Kuliah berjalan seperti biasa dan apabila sampai ke waktu senja atau waktu yang ditetapkan, mereka bersurai secara aman dan kepada mereka yang tidak bersurai, mereka diberi amaran tidak akan bertanggongjawab dan terpaksa menangong nasib sendiri jika diserang atau ditembak kerana memang terdapat sekelompok kumpulan penembak misterius yang tidak diketahui menyebelahi siapa. Kerana ketelitian mereka ini maka kumpulan mereka terkawal dari provokasi polis atau penyamar.

Perhimpunan dan perarakan sering berlaku di pelbagai tempat atau  pada hari dan waktu yang sama mengikut perancangan universitas atau kolej yang berlainan. Sekiranya berkebetulan pada tempat yang sama, mereka akan bergabung. Jika ada kumpulan yang pro pemerintah turut sama, mereka akan berlawan sorakan dan menjarakkan diri. Biasanya kumpulan pro pemerintah hanya berani berhimpun dekat dengan pasukan polis atau tentera. Terdapat juga kes-kes terpinggir di mana mereka yang melampaui batas dibiarkan saja tetapi dicam. Pergaduhan hanya berlaku di luar kampus dan tidak dihari perhimpunan reformasi di hujung minggu. Biasanya kumpulan pro pemerintah tidak turut berarak tetapi hanya menjadi pemerhati dan kadang-kadang melakukan provokasi dengan mengejek mematahkan  sorakan reformasi.

Para pendemonstran mahasiswa tidak mementingkan berapa jumlah kehadiran atau menetapkan target beribu-ribu. Kadang-kadang tidak sampai 50 orang mereka tetap melakukannya. Kepada mereka,  apa yang penting ialah mesej yang hendak disampaikan iaitu mereka tuntut reformasi daripada rasuah, kroni dan nepotisma. Mereka tuntut pemerintah prihatin dengan penderitaan rakyat dan melakukan sesuatu supaya semua rakyat terpelihara dan dapat mengelak daripada keganasan akibat daripada tekanan hidup.

 Mereka juga menuntut pemerintah mengawal perekonomian negara daripada kebangkerapan akibat permainan saudagar dunia dan tempatan yang buas. Biasanya jumlah yang hadir tidak dapat diduga. Kadang-kadang berpuluh ribu, kadang-kadang ratusan ribu dan kadang-kadang tidak sampai seribu. Mereka berazam akan terus berdemontrasi setiap minggu selagi pemerintah tidak melakukan perubahan.

Perhimpunan aman reformasi di hujung minggu menjadi menarik dan tarikan ramai. Para mahasiswa kelihatan seperti berpiknik dan bersantai. Warna jaket , baju atau t-shirt universitas  adalah sebagai pengenalan mereka. Biasanya perhimpunan mereka mendapat perhatian pelbagai pihak yang turut serta mahu pun hanya sebagai pemerhati sehingga terhimpun seperti sejumlah lautan gelombang manusia.

 Pihak polis dan angkatan tentera sering terpaksa mengumumkan peluru yang akan digunakan untuk menghadapi segala kemungkinan iaitu peluru getah dan peluru hidup jika terpaksa. Tetapi sering tidak dihiraukan oleh mahasiswa. Mereka tidak peduli dan tidak kisah sama ada getah atau peluru hidup asalkan ketika berdemontrasi ada tentera laut atau udara, mereka akan mula berarak. Para mahasiswa tahu, tentera laut atau udara tidak pernah mengumum jenis senjata sama ada hanya belantan atau peluru getah tetapi mereka yakin pasukan itu bersedia dengan peluru hidup tetapi para mahasiswa tidak takut kerana telah terbukti kewibawaan tentera laut dan udara yang prihatin dan adil sehingga menjadi favorit mereka.

Di negara kita pula bagaimana? Kalau dibuat perbandingan maka jangan sampai ada hujah dan kejayaan BN mengatakan Bersih adalah untuk kepentingan pribadi. Pihak polis ada password dan tanda tertentu mereka dalam penyamaran. Di hari Bersih 28 April, polis atau SB dikatakan berpakaian preman (free man/ awam) dan ada yang memakai t shirt Bersih dengan tanda tertentu. Polis trafik yang kena baling itu juga memakai topi biru yang tidak pernah dipakai oleh kebiasaan polis trafik. Banyak juga yang tidak mempunyai nombor anggota yang diwajibkan pakai ketika bertugas. Jika dikaji, semua itu seperti drama terancang. Yang membaling dan kena baling berkemungkinan dari pasukan yang sama bertujuan provokasi bagi memudahkan pasukan polis mengambil tindakan lebih tegas atau ganas kepada para pendemonstran Bersih. 

 Lebih aneh kepada orang yang masih bengap ialah kenyataan polis yang melanggar para pendemonstran dikata baru datang dari Trengganu dan tidak tahu apa-apa. Tetapi penumpangnya pula telah siap dengan topi keledar seolah-olah sudah tahu apa yang hendak dilakukannya dan telah menduga apa yang akan terjadi.

Para pendemonstran tidak mengenali mereka dan bercampur baur dengan kepercayaan sama-sama berjuang dan inilah kelemahannya sehingga polis sewenang-wenang bertindak melakukan perancangan mereka. Apa ertinya jika Unit Amal yang dilihat berjaya mengawal itu juga ditangkap dan dipukul kalau tidak sebagai provokasi supaya mereka membalasnya. Polis tahu anggota Unit Amal itu dilatih oleh bekas-bekas pesara tentera dan polis malah mempunyai kelebihan sebagai anggota yang faham agama dan berakhlak mulia.

Pada keseluruhannya PDRM memang telah  berjaya melaksanakan tanggongjawab walaupun kelihatan mereka turut perintah seperti  membabi buta. Tetapi sebenarnya mereka gagal jika provokasi merancang lebih jauh, kerana Bersih sudah bersedia dan tidak perlu mengganas dan itu bukan tujuannya. Untuk menjatuhkan kerajaan secara pemberontakan sebagaimana yang diigaukan PM adalah jauh sekali.

Berbalik kepada pelbagai cobaan provokasi itu, sebenarnya jika ini hanya dapat dikesan setelah berlaku dan terjadi huru hara di hari demonstrasi aman sehingga menjadi ganas, maka adalah sudah terlambat. Mujur di Malaysia tiada penembak misterius atau penembak curi. Harap-harap PDRM yang cekap itu tidak sampai hati untuk menggunakan taktik itu di masa-masa hadapan. Kita tahu siapa mereka dan mereka juga terpaksa kerana kepala ikan yang busuk itu telah menyangkit ke seluruh badannya. Tulisan ini diakhiri dengan  pertanyaan untuk difikirkan bersama iaitu "Apa perlunya Ketua Polis Negara memukul DSAI, tahanan yang lemah diikat dan ditutup mata sampai matanya hampir buta dan tulang badannya rosak sehingga hari ini?" dan "Apa hal pula baru-baru ini dia mengatakan Tuan Guru Nik Aziz sebagai bapa syaitan, kafir dan sesat?"

Akhirnya meskipun BN menganggap Bersih itu suatu yang buruk dan berniat jahat tetapi mesej bahawa BN lah yang buruk dan jahat telah sampai kepada rakyat dan dunia luar. Ini adalah kerana kesilapan BN sendiri yang sombong dan angkuh menolak cadangan yang baik yang bukan milik Bersih atau Pakatan Rakyat tetapi adalah milik dan bernilai kemanusiaan sejagat. BN tersilap besar menolaknya. Meskipun mereka berjaya melarang ahli Bersih 3 duduk atau memasuki Dataran Merdeka tetapi mereka gagal menyekat kemurnian mesej yang di bawa oleh Bersih. BN masih berkesempatan jika ingin berubah dan mengutamakan rakyat tetapi jika BN berterusan buta agama, kebajikan dan kebaikan sejagat, maka akan sampai masanya pada suatu hari nanti sama ada BN akan menjadi pembangkang atau terus terkubur .

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Dataran Merdeka KL 8.5.2012

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere