Beberapa Perbandingan Reformasi Indonesia dengan Malaysia


Beberapa Perbandingan Reformasi Indonesia dengan Malaysia

Reformasi Indonesia telah dianggap berjaya mempengaruhi atau mengubah trek minda rakyat terutamanya terhadap keselesaan kehidupan seharian dalam semua lapisan masyarakat. Rakyat telah bangkit menyokong perjuangan reformasi yang dicetuskan oleh mahasiswa kerana terasa begitu terhimpit dengan kenaikan harga barang yang tidak bersepadan dengan nilai wang yang dimiliki mereka. Nilai rupiah jatuh merudum dan rakyat berpendapatan rendah amat terkejut dan tertekan dengan kuasa beli mereka yang berubah secara mendadak. 

Di waktu yang sama kerajaan RI kelihatan begitu angkuh mempertahankan kejayaan pembangunan dan kemajuan yang telah dilaksanakan yang dikatakan matlamatnya adalah untuk rakyat jelata. Banyak projek mega dapat diteruskan tetapi kuasa beli rakyat jelata hampir kepada sifar sehingga pemerintah terpaksa mengumumkan beberapa kali deflasi dan devaluasi kerana inflasi dan defisit kewangan yang negatif. 

Ini berlaku di dekad 1990-an akibat kemelesetan ekonomi global dan jika anda ke Indonesia di mana-mana sahaja anda akan mendapati di sana sini warung-warung dan gerai pasang siap yang pelbagai rupa terbuat dari kotak mahupun bahan kitar semula tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Segala apa yang boleh dijual untuk sesuap nasi oleh masyarakat bawahan dijaja dan kepimpinan dan wakil pemerintah yang mempunyai budi bicara dan nilai kemanusiaan yang tinggi berjuang dan berdebat meminta keizinan kepada pihak berkuasa tempatan agar membenarkan mereka berjaja mengikut kehendak dan keyakinan mereka sendiri  tanpa diganggu dan mengecualikan cukai dan lessen kerana itu adalah lebih baik daripada mereka bertindak menjadi perompak dan perampas hak orang lain.

Anda juga akan melihat ramai anak-anak jalanan terutama remaja yang agak cumpang camping walaupun mereka berusaha berpakaian kemas menunggu di tepi jalan-jalan utama untuk menjadi rider atau penumpang pemilik kereta kerana penduduk atau pemilik kereta tidak dibenarkan memandu kosong ke pusat bandar seperti mana peraturan yang dikuatkuasakan oleh Singapura. Perkhidmatan rider menjadi keperluan dan boleh ditumpangkan dengan upah yang berpatutan. Rider-rider itu terpaksa melakukannya sebagai pekerjaan untuk sesuap nasi. Jika jauh dikaji , sudah tentu jika  tidak bernasib baik, rider anda adalah penjenayah yang dengan mudah dapat mengambil kesempatan.

Jika anda ke kawasan atau ke pusat membeli belah mewah atau bertaraf 4 bintang ke atas,  maka anda akan melihat tugas utama sekuriti seolah-olah bukanlah keselamatan tetapi untuk mengusir golongan marhein dari mendekati atau memasuki tempat itu. Ini memang sangat sensitif dan menjadi perjuangan mahasiswa kepada sikap prejudis pengusaha dan orang berada kerana alasan kemajuan dan penbangunan mega oleh pemerintah adalah untuk semua rakyat.

Keadaan ekonomi yang gawat itu kelihatan di mata rakyat tidak memberi  kesan yang besar kepada golongan usahawan mega dan para kroni serta kaum keluarga pemerintah dan para menteri. Para mahasiswa pula terus aktif menguar-uarkan kekayaan yang dimiliki oleh tokoh kroni, keluarga presiden dan para menteri. Informasi itu telah mempengaruhi rakyat dari kelompok sederhana dan bawahan sehingga berasa tidak senang kepada golongan itu. 

Ketidakpuasan ini pernah diterjemahan dengan melakukan sekatan  terhadap kenderaan-kenderaan mewah dan juga kenderaan yang menghala ke lapangan terbang dan ke taman atau kawasan perumahan mewah yang melewati kawasan rakyat bawahan. Mereka merampas wang dan segala apa yang berharga kecuali kenderaan bukan atas sifat sebagai penjenayah tetapi kerana  golongan itu  dianggap tidak prihatin kepada penderitaan mereka. Mereka mendakwa tindakan  rampasan itu adalah untuk survival sesuap nasi untuk mengisi perut keluarga di bawah tanggungan mereka.

Tun Sheikh sendiri berpengalaman ditahan oleh orang kampong ketika teksi ke lapangan terbang yang dinaiki,  dihadang dan terpaksa berhenti. Mujurlah mereka diketuai oleh pemuda bekas mahasiswa dan apabila mendapati Tun Sheikh dan rombongan adalah rakyat Malaysia dan bekas mahasiswa Universitas Indonesia, mereka tidak merampas apa-apa kecuali meminta derma atau sumbangan kos makan dan minum perjuangan mereka dan segera Tun Sheikh kumpulkan dari kawan-kawan sebanyak RM500  dan mereka mengarah teksi menggunakan jalan alternatif yang lebih selamat. Ini bererti tindakan mereka adalah terpimpin dan bukan sebagaimana dilaporkan oleh media arus perdana sebagai kumpulan penganas dan ada pula yang menuduh pengaruh fahaman komunis.

Itulah keburukannya jika media tidak bebas dan dimonopoli pula oleh kerajaan. Rakyat mesti dimaklumkan dan diperjelaskan bahawa dalam teori ilmu penyiaran kepada sebarang informasi, jika diulang dan diperbesar-besarkan secara kerap dan sekata atau sama oleh semua media setiap hari maka berita bohong akan diterima seolah-olah berita itu benar. Jika berita berbentuk ugutan yang berselindung sebagai amaran atau memberi peringatan maka ia akan berupaya mengubah perasaan rakyat dari tenang menjadi cemas. Apabila rakyat cemas sebenarnya ketika itu pemikiran mereka menjadi lemah dan mudah ditawan atau terus ditipu dan dipengaruhi. 

Inilah yang sedang berlaku di negara tercinta ini. Rakyat ditipu dengan pelbagai berita bohong dan fitnah sehingga seolah-olah berita itu benar dan mempengaruhi rakyat membenci watak yang dihitamkan dalam pemberitaan itu. Amat malang kepada mereka yang tidak ada pilihan lain. Sedang dalam ketakutan itu nanti diberi gula-gula pula dan tentunya disambut sebagai penyelamat padahal merekalah jembalang rakyat. Bersambung….. ke Pengalaman Mata Menjadi Saksi Reformasi Indonesia.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere