Mengintai Jejak Mencongak Jalur Lebuhraya Minda

Mengintai Jejak Mencongak Jalur Lebuhraya Minda

Sudah agak lama juga Tun Sheikh tidak menulis di blog sendiri. Biasalah...apabila kita memberi tumpuan kepada sesuatu hal milik orang atau milik teman maka pada lumrahnya kekurangan akan berlaku pada milik kita sendiri. Tun Sheikh juga ada menerima nasihat dan pandangan agar jangan terlalu mengikut atau terpengaruh dengan emosi ketika berkarya atau menulis terutamanya untuk blog sendiri. Atau jangan terlalu berkira dan memilih topik panas aatau yang terlalu mengharapkan perhatian pembaca. Pernah suatu ketika dulu mentor Tun Sheikh iaitu Cikgu Hj Shaharom Hussein berpesan agar tulis saja apa yang terlintas tanpa mengambil kira masa dan di mana. Kadang-kadang apa yang terlintas atau yang dikatakan ilham itu bukan milik kita tetapi manfaatnya adalah untuk para pembaca tertentu. Kadang-kadang apa yang kita fikir besar sebenarnya tidaklah besar atau apa yang kita fikirkan tidak penting rupa-rupanya sangat gempak di waktu atau diketika yang lain.

Sepanjang period pasif penulisan Tun Sheikh iaitu sejak Mei sebenarnya berpuluh topik telah terkumpul dan insyaallah Tun Sheikh akan mengolahnya di dalam blog ini. Ini tidak termasuk permintaan dari sahabat handai yang menyuntik pelbagai isu agar Tun Sheikh tulis di blog ini. Baru-baru ini seorang pejuang reformasi dari Sabah menghubungi Tun Sheikh melepaskan perasaan geramnya terhadap tindakbalas kerajaan kepada perjuangan pergerakan reformasi melalui aktiviti Bersih. Perkara yang sangat tidak disenangi beliau ialah apabila Ketua Pengarah jabatan beliau, seorang anak dara tua yang akan bersara pada tahun ini memesan atau mengeluarkan arahan supaya semua pegawai dan kakitangan tidak turut dalam perhimpunan Bersih. Apa yang sangat dimarahi beliau ialah pandangan Ketua Jabatannya terhadap erti perkataan kerajaan. Kefahaman ketua jabatannya kelihatan terlalu bias dan mengongkong pengertian demokrasi sebagaimana kefahaman yang dianuti oleh Melayu UMNO.

Jabatan beliau pula adalah sebuah jabatan yang berfungsi sebagai penyimpan rekod bernilai negara dari segi sejarah, budaya, pentadbiran, kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya yang tentunya mesti berpandangan luas dan jauh dan netral tidak terikat dengan polisi kepartian atau perkumpulan yang terhad. Kemarahan beliau, sehingga menerbitkan ungkapan anak dara tua yang tidak nampak kekerdilan diri yang memang kerdil. Dan beliau kecewa jika kerajaan menyambung kontrak perkhidmatannya kerana akan lebih mengongkong tindakan dan keputusan yang sudah tentu akan lebih memihak kepada kerajaan yang berpandangan sempit kerana dipengaruhi oleh BN atau UMNO.

Berbalik kepada emosi dalam penulisan, Tun Sheikh rasa ini adalah penting kerana emosi itu sering dapat menyerap suatu perasaan halus yang dirasai. Tetapi memanglah amat wajar dikawal supaya tidak merencak ilham atau sebarang tindakan positif. Ini memang pernah Tun Sheikh alami dan baru-baru ini hal emosi sangat menyerap dalam jiwa Tun Sheikh kerana terkejut terhadap peristiwa bencana tananh runtuh di Hulu Langat yang telah meragut 19 nyawa. Padahal gerakhati Tun Sheikh baru sahaja mengintai bencana yang akan turun kerana ciri-ciri kesombongan kerajaan sudah cukup nyata lebih-lebih lagi apabila isu fitnah digembur-gemburkan. Bukan sahaja fitnah mengenai ketokohan seseorang pemimpin tetapi juga fitnah terhadap isu agama telah dimainkan oleh kepimpinan UMNO seolah-olah mengugut rakyat terhadap akibat bencana buruk yang akan dihadapi jika menafikan jasa dan kebaikan kerajaan yang memerintah sekarang.

Pemimpin Melayu yang sedang memerintah atau berkuasa sekarang sebenarnya telah rabun teruk yang hampir-hampir menjadi buta kerana tidak menyedari bahawa rakyat jelata gembira dan berterima kasih kepada jasa yang mereka taburkan. Kerajaan memang cekap melaksanakan kemajuan dan pembangunan tetapi mereka seperti buat-buat tidak faham bahawa rakyat benci kepada rasuah dan berbagai penyelewengan yang telah membudaya dalam amalan dan falsafah politik BN terutama UMNO.

Isu-isu lain yang akan Tun Sheikh olah nanti termasuk pemikiran dan falsafah tokoh-tokoh bergelar Dato', Tan Sri malah Tun dan juga para ahli pemikir terutamanya yang bergelar profesor yang sempat dan pernah Tun Sheikh temui dan bertukar-tukar pandangan. Ini termasuk pemikiran terhadap isu Kebangsaan Malaysia dan juga perpaduan rakyat majmuk negara ini. Tidak ketinggalan juga terhadap isu agama. Memang akhir-akhir ini telah membuatkan Tun Sheikh seolah-olah terkedu kerana terlalu bersedih dan terkejut apabila bencana tanah runtuh berlaku di Hulu Langat yang tidak jauh dari Kuala Lumpur. Bagi Tun Sheikh ini tentunya ada kaitan dengan kezaliman dan kesombongan kepimpinan kita kerana mabuk dengan kekayaan hasil bumi negara ini.

Isu yang tersirat yang akan Tun Sheikh tulis ialah bagaimana hebatnya ilmu yang diperolehi oleh orang Melayu melalui pengalaman dan tunjuk ajar penjajah minda bangsa iaitu Inggeris dan akhirnya menjadi amalan dan ikutan pemimpin Melayu menganiayaai bangsa sendiri. Pemimpin Melayu terlupa bahawa Tuhan akan mendatangkan sekelompok manusia lain yang akan mengganti mereka kerana mereka telah pecah amanah dan menyeleweng, zalim dan bersikap munafik.

Satu, dua, tiga, empat dan apakah nombor seterusnya mengikut hakikat dan kebenaran? Tentulah lima, enam dan seterusnya tetapi hal ini dinafikan oleh kerajaan UMNO kerana hakikat kebenaran telah tidak menjadi pilihan dan amalan pemerintahan mereka. Gara-gara kuasa dan harta dunia, mereka telah menidakkan yang hak dan kebenaran. Siapa yang tidak mahu mengikut dan bersetuju kepada mereka dianggap pengkhianat dan anasir perosak bangsa dan mesti ditanggap tanpa perlu bicara pengadilan. Kita sayangkan kerajaan dan Melayu tetapi Kerajaan Melayu sekarang seolah-olah sedang dalam kesesatan dalam jalur lebuhraya minda kerana terlalu memntingkan kepentingan diri daripada nilai ketulusan manusia sejagat. Marilah sama-sama kita berdoa dan kembali kepada jalan yang lurus, yang hak dan yang benar dengan menghapuskan rasuah dan amalan penyelewengan dan pecah amanah dalam budaya hidup kita.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere