Korea Di Mata Melayu Peranakan

Korea Di Mata Melayu Peranakan

Kontrak kerja-kerja penyelidikan Tun Sheikh bagi membantu menerbitkan beberapa penerbitan yang dilanjutkan dari Disember 2010 ke Disember 2011 telah memberi peluang Tun Sheikh mendekati responden yang berkaitan untuk ditemubual bagi mendapatkan tambahan bahan dan fakta. Sejak Julai 2010 hingga kini agensi tempat Tun Sheikh berkhidmat telah menerbitkan sebanyak 5 buah penerbitan dan Tun Sheikh berpeluang berjumpa dan menemubual sebanyak 100 tokoh VIP Negara dari bekas PM dan menteri kepada bekas pegawai tinggi kerajaan. Terdapat juga beberapa responden dari kalangan rakyat biasa yang ditemubual kerana hubungan rapat mereka dengan tokoh yang dikaji. Pandangan dan pemikiran mereka yang pelbagai akan Tun Sheikh kongsi di sini nanti.

Ketika membuat kajian hubungan Korea Selatan dengan Malaysia sempena 50 tahun Hubungan Diplomatik, Tun Sheikh berkesempatan menemubual beberapa orang rakyat Malaysia yang berkahwin campur dengan rakyat Korea. Temubual juga dijalankan dengan beberapa pengusaha korea yang melabur di sini dan dengan orang Korea yang telah menjadi warga negara Malaysia. Tidak ketinggalan terhadap beberapa menantu bekas menteri dan cucu-cucu mereka yang berulang alik ke Korea tetapi mencintai Malaysia lebih dari Korea.

Tun Sheikh suka untuk berkongsi pengalaman dan fakta mengenai hal ini. Isu yang amat menarik ialah terhadap pandangan kita yang memuji dan mengangkat budaya kerja Korea yang dikatakan telah mencapai standard dunia dan telah jauh meninggalkan Malaysia yang setanding dengan mereka suatu ketika dahulu. Kerajaan pula telah mengamalkan Dasar Pandang Ke Timur dan banyaklah syarikat Korea telah datang dan merebut peluang kerja yang diberikan kepada mereka di sini.

Pada hakikatnya apabila ditinjau dari luahan rasa hati mereka yang terlibat terutamanya mereka yang berbangsa Korea yang telah menjadi rakyat Negara ini berpendapat bahawa Negara kita adalah lebih elok dan baik dari mereka dari semua segi atau secara keseluruhan. Ini adalah kerana Korea terlalu meniru cara dan budaya hidup Jepun sehingga masyarakat tua mereka yang masih menghargai dan mengutamakan seni budaya dan kebudayaan serta adat resam merasa cemas dengan perkembangan semasa setelah anak-anak muda mereka tidak berminat kepada kebudayaan yang diamalkan oleh orang tua mereka. Mereka telah memilih jalan hidup secara moden dan meninggalkan adat resam. Mereka dianggap kasar dan tidak lagi berbudi bahasa seperti dulu. Mereka kelihatan tergopoh-gapah atau selalu kesuntukan masa untuk bekerja atau melakukan aktiviti lain dalam keadaan seperti terkejar-kejar tidak cukup waktu. Seni hidup yang tenang dan menikmati nilai budaya harmoni yang halus telah terabai dan tidak kelihatan dalam penghidupan seharian generai muda yang berusia 55 tahun kebawah.

Mereka mengatakan, apa yang ditayangkan didalam media elektronik terutamanya tv dan video mengenai budaya kontemporari Korea adalah tidak tepat kerana dokumentari itu sendiri adalah bertujuan untuk menarik dan mengembalikan budaya dan adat resam lama yang bernilai universal dan bermutu tinggi kembali diamalkan oleh generasi muda. Generasi tua sedang berada dalam dilema kerana orang muda tidak lagi berminat mengamalkan cara hidup nenek-moyang mereka. Malah cara lama diperlekeh dan dipandang rendah oleh anak-anak mereka kerana terpengaruh dengan gaya dan cara hidup barat yang dianggap mudah, rengkas, bebas dan bergaya.

Walaupun mereka bangga kerana di negara ini menayangkan banyak filem dan drama mahupun video mengenai Korea Selatan dalam pelbagai genre atau sector, mereka risau kerana apa yang diuar-uarkan dan dilihat sebenarnya tidak serupa dengan kenyataan sebenar. Apa yang sebenarnya berlaku ialah kerajaan Korea dan rakyat generasi tua mereka sedang bertungkus lumus berusaha melestarikan kebudayaan mereka agar tidak pupus atau luput kerana generasi muda telah mengabaikannya.

Adalah tidak dinafikan bahawa Korea boleh dikatakan telah berjaya dalam dunia industri berteknologi tinggi dan ini termasuklah dengan teknologi atau industri berat dan pembuatan atau pembinaan dan juga industri elektronik yang halus dan canggih. Mereka amat khuatir jika rakyat Negara ini juga akan hilang seni budaya hidup seharian kerana terlalu meniru gaya hidup Jepun dan dunia barat seperti mereka.

Apabila ditanya secara focus terhadap masalah dan penyelesaian, mereka berkata sebenarnya nilai-nilai murni dan adat resam yang masih diamalkan oleh orang Melayu di Negara ini telah melambatkan kerosakan akhlak dan adab muda-mudi di sini tidak seperti Korea yang telah mengambil mudah terhadap kepercayaan dan agama. Mereka yakin bahawa mereka selamat di sini selagi kerajaan Negara ini mengutamakan agama sebagai rukunegara dan diamalkan oleh semua rakyat. Mereka berasa malu kerana mereka dianggap berjaya padahal kejayaan mereka dengan cara hidup moden telah melupuskan adat resam universal mereka yang bermutu tinggi. Generasi muda mereka telah berubah dan menjalani hidup moden yang dianggap rengkas tetapi penuh dengan penipuan dan tekanan. Sikap mereka telah menjadi kasar dan ketenangan jiwa telah hilang kecuali hanya kesenangan nafsu yang sering membawa akibat yang lebih menyusahkan.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere