Ke manakah Islam Hendak Di Bawa UMNO & BN

Ke manakah Islam Hendak Di Bawa UMNO & BN

Islam Akan Mengubah Malaysia Atau Malaysia Berubah Kerana Islam


Tan Sri Muhyuddin Yasin memang mempunyai wawasan dan dijangka dapat melihat jurang atau lubang gelap yang kosong yang menjadi masalah besar dalam UMNO. Ketika BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen pada pilihanraya 2008, beliau telah diarah memikul tanggongjawab menjalankan penyiasatan masalah ahli UMNO dan juga masalah parti-parti bersekutu dalam BN hingga ke akar umbi. Beliau berjaya mengesan masalah berkenaan tetapi beliau gagal dan tidak berupaya menegaskan cadangan-cadangan yang dikemukakan bagi mengatasi masalah UMNO dan BN di akar umbi kerana beliau hampir-hampir tersingkir diburu teman-teman musuh dalam selimutnya. Beliau akur dengan kehendak dan permainan kumpulan eksekutif dan berjaya menyelamatkan jawatannya dalam UMNO hingga dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Saranan dan tindakan yang diutarakan beliau hanya menjadi retorik kerana dipolitikkan namun berjaya menarik semula sedikit pengaruh dan keyakinan ahli yang hampir meninggalkan terus UMNO dan BN. Masalah utama yang dikesan oleh Jawatankuasa Penyiasat yang diketuai beliau ialah hilangnya kepercayaan dan keyakinan ahli terhadap kepimpinan berikutan budaya rasuah dan krisis kepimpinan kumpulan tertinggi. Akar umbi tidak berpuashati dengan semua kelompok kepimpinan kerana terlalu bergaya dan menunjukkan kemewahan hidup manakala masalah akar umbi masih belum dapat diatasi dengan menyeluruh. Kumpulan kepimpinan juga dituduh sebagai pemimpin yang telah lupa daratan terutamannya terhadap pegangan dan kefahaman mahupun pengamalan agama. Mereka tidak serius ketika menangani isu dan masalah yang berbangkit berkenaan agama sehingga kelihatan begitu naïf jika dibandingkan dengan kehebatan PAS.

Berikutan dari itu UMNO segera menekankan isu agama dan menggalakkan ahli dan kepimpinannya mendekati mahupun mendalami agama supaya tidak kelihatan begitu janggal kerana UMNO juga mempunyai kaitan yang sangat rapat memperjuangkan Islam kerana Melayu tidak terpisah dengan isu Islam. Beberapa tindakan telah disegerakan seperti mengumpul dan mewujudkan kumpulan Imam Muda dan Rakan Masjid dengan harapan mereka pada suatu hari nanti akan berupaya menandingi barisan ulamak PAS dan menjadi pemimpin peganti kepada UMNO. Sayangnya musuh-musuh dari dalam UMNO sendiri telah membuat kumpulan ini lumpuh.

Baru-baru ini beberapa ucapan PM telah menggambarkan betapa bimbangnya beliau terhadap perkembangan di Timur-Tengah yang berjaya memaksa Presiden atau ketua negara berundur. Kekhuatiran PM itu meskipun mengaku tidak panik tetapi adalah tidak wajar beliau mengucapkannya lebih-lebih lagi dalam nada ugutan. Apa yang berlaku di Timur Tengah itu tidak mustahil akan menular dengan cepatnya di negara ini kerana kezaliman dan ketidakadilan kerajaan terhadap rakyat terutama dalam mendiskriminasi urusan agama amat jelas dan mempunyai persamaan. BN bertambah bimbang kerana rakyat bukan Islam dari pelbagai bangsa di negara ini telah mula yakin terhadap tolerensi Islam yang diamalkan oleh PAS.

Kelmarin, 23 Februari 2011 Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Muhyuhdin seolah-olah telah membuka mata dan fikiran betapa perlunya semua Negara Islam memikirkan bentuk pemerintahan yang sesuai bagi Negara-negara Islam di alaf baru ini. Hujahnya sangat berkesan kerana secara tidak langsung beliau seolah-olah mengaku betapa sumbang dan pincang sistem yang ada khususnya terhadap Negara-negara Islam yang mempunyai rakyat yang majmuk. Dengan lain perkataan Negara Islam seharusnya mempunyai satu sistem atau bentuk pemerintahan yang sesuai mengikut pedoman agama dan beliau kelihatan yakin bahawa sistem Islam ada jalan keluar yang boleh mengatasi masalah kemajmukan jika rakyat yang berbilang bangsa dan agama itu memahami dan menghormati sistem Islam yang sebenar, Islam yang tulen.

Sayangnya, buah pemikiran beliau ini telah disalahfahamkan oleh orang-orang UMNO jua yang tidak ada roh Islam dengan menegaskan bahawa Negara ini iaitu Malaysialah yang sewajarnya dijadikan contoh atau model kepada Negara-negara di seluruh
dunia. Malaysia yang diterajui oleh UMNO dianggap berjaya menaungi atau mengangkat pengamal Islam atau penganut Islam. Malaysia dianggap lebih berjaya dan maju berbanding dengan Negara-negara lain.

Pemikiran ini sebenarnya adalah sangat dangkal dan bukan seperti maksud TPM. Tetapi ia telah dimanupulasikan maka terhijab lagi hati-hati ahli UMNO dan BN. TPM berasa kecewa tetapi tidak meluahkannya kerana menjaga kepentingan kedudukan dirinya sebagai TPM. Jauh disanubari TPM, beliau amat mengerti bahawa kedudukan Islam dalam kerajaan BN Malaysia pada ketika ini sebenarnya diperlekehkan oleh dunia Islam kerana mereka melihat UMNO dan BN hanya mempolitikkan Islam untuk kepentingan parti dan lebih berbentuk kepartisan daripada menyeluruh secara syumul.

Dalam situasi perkembangan mutahir terhadap kebangkitan Islam secara global ini sepatutnya PAS mengambil kesempatan ini dengan lebih proaktif memandangkan UMNO terus mensia-siakan dasarnya terhadap Islam. Ketika inilah rakyat perlu dibangunkan kerana penipuan kerajaaan BN selama ini telah menjatuhkan maruah Islam di negara ini. PAS semestinya memperlipatkan berkali ganda lagi dalam usaha menyiarkan kefahaman dan kesederhanaan serta kesempurnaan Islam kepada seluruh rakyat terutamanya yang bukan Islam agar mereka terkeluar dari fahaman basi hasil penipuan BN. Peluang ini usahlah dipersiakan kerana bibit-bibit kompromi dan tidak takut kepada Islam telah mula berputik di negara ini.

Kepada UMNO pula, inilah masanya mereka perlu menukarkan perlembagaan parti daripada perjuangan bangsa Melayu kepada Islam jika mereka ingin terus kekal berkuasa. UMNO mempunyai kuasa, kewangan dan kepakaran tetapi jika UMNO terus mengelirukan rakyat dengan dasar-dasar Islamnya yang sedia ada maka memang ternyata bahawa merekalah sebenarnya pengkianat agama , bangsa dan negara.


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

1 comments:

Abu Idris said...

1924 M - 2011 M, Malapetaka 87 Tahun Keruntuhan Khilafah

Negara Islam adalah Daulah Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah telah runtuh pada tahun 1924.

Lihatlah Blog Ar Rayah World News
http://ibnuyassir.blogspot.com/

Untuk mengetahui perkembangan terkini kebangkitan KHILAFAH.

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere