KETUA PENGARAH PENCEN

BERPERANAN ATAU KENA MAINKAN PERANAN

Di era kemerdekaan atau difokuskan saja di era Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri dari 1955 hingga 1970, pejawat awam yang memegang ketua jabatan atau kini dikenali sebagai Ketua Pengarah adalah mereka yang sangat penting, berwibawa dan sangat diharap memberi bukan sahaja kerjasama tetapi menyokong dan mendokong kepimpinan Tunku. Budaya seperti ini sehingga kehari ini masih diamalkan. Ketika itu orang Melayu sangat kurang yang berkelayakan menjawat jawatan yang penting itu. Hanya semangat kemerdekaan yang menghangatkan semangat ketua-ketua jabatan yang majoritinya dari pelbagai kaum bukan Melayu. Ketua-ketua jabatan ini telah melicinkan jentera kerajaan pimpinan Tunku kerana mereka dapat merasakan kesegaran keikhlasan Tunku yang melayan rakyat Tanah Melayu secara adil dan samarata tanpa mengira perbedaan kaum.

Orang Melayu yang menjadi ketua jabatan boleh dikira dengan jari dan mereka pula majoritinya berminda English Centric.Walaupun terdiri pelbagai kaum tetapi oleh kerana kesemuanya boleh dikatakan berpendidikan Inggeris maka tiada masalah perhubungan dan pelaksanaan dasar yang kena mereka laksanakan. Mereka dapat melakukan dengan baik dan mereka kelihatan ikhlas memikul tugas dan amanah yang dipercayakan.

Di era Tun Razak pula (1970-1976) banyak jabatan baru ditubuhkan. Pegawai-pegawai Melayu berpendidikan Inggeris diangkat menggantikan ketua-ketua jabatan lama. Fahaman dan budaya pemikiran masih berpaksikan Inggeris. Pegawai-pegawai Melayu ini banyak didedahkan merancang pembaharuan dan dasar-dasar jabatan. Majoritinya adalah Melayu tetapi pemikiran dan pengaruh minda mereka masih berkiblat ke barat khususnya Britain. Mereka juga dapat melaksanakan tanggongjawab dengan baik dan membuktikan bahawa pegawai-pegawai Melayu memang berupaya dan juga bekualiti seperti orang Inggeris dan juga bukan Melayu yang berpendidikan Inggeris.

Di era Tun Razak, banyak pegawai-pegawai tinggi kerajaan terutamanya bukan Melayu melepaskan jawatan berpindah ke swasta. Mereka meninggalkan karier sebagai penjawat awam bukan kerana diskriminasi atau digalakkan berhenti tetapi adalah kerana ketika itu peluang-peluang pekerjaan di sektor swasta lebih menarik dan menawarkan gaji dan pelbagai daya tarikan yang jauh lebih baik dan lumayan dari kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Ketika itu pelbagai pembangunan dimajukan dan pelbagai jawatan berkemahiran dan berpengalaman diperlukan bagi mengisi kekosongan yang wujud akibat program-program pembangunan itu sendiri sama ada projek-projek milik kerajaan mahu pun swasta.

Di era Tun Hussein (1976-1981), jawatan-jawatan ketua jabatan mula dikuasai majoriti orang Melayu tetapi masih yang berpendidikan Inggeris. Apa bila pencen atau bersara dari perhkidmatan awam mereka mula pula menerajui syarikat-syarikat milik kerajaan. Kemahiran dan kepakaran mereka diperlukan bagi menggerakkan fungsi dan objektif syarikat milik kerajaan atau yang ada pelaburan kerajaan di dalamnya.Mereka ini masih terikat dengan kumpulan pejawat yang bersentrik Barat. Ada yang berjaya memajukan instutsi yang diamanahkan dan tidak kurang juga yang gagal. Ketika ini tenaga pakar atau intelek bukan Melayu terutamanya dari kaum Cina kebanyakan atau majoritinya telah tidak berminat lagi untuk berkhidmat dengan kerajaan sebagai pilihan utama. Ini adalah kerana mengikut jejak langkah dari mereka yang telah mendahului meninggalkan sektor awam di era Tun Razak dan berkecimpung dalam dunia swasta telah memperlihatkan satu standard sosial dan ekonomi yang tinggi berbanding dengan pegawai-pegawai tinggi Melayu dan bukan Melayu di jabatan-jabatan kerajaan.


Di era Tun Mahathir (1981-2003), perkembangan keadaan ketua-ketua jabatan atau ketua pengarah amatlah rencam. Ini adalah kerana Tun Mahathir bukan sahaja sebagai seorang tokoh yang berwawasan jauh tapi adalah juga kerana tempoh kepimpinannya menerajui pentadbiran negara adalah begitu lama iaitu selama 22 tahun. Beliau berjaya melaksanakan pelbagai perubahan dan pembaharuan. Beliau juga banyak mewujudkan kesan negatif setelah bersara kerana ada diantara wawasannya gagal difahami dan dilaksanakan mengikut pemikiran beliau.

Tun Mahathir sangat banyak campurtangan dalam hal tindakan dan perlaksanaan yang dipetanggongjawabkan kepaada jentera pentadbiran negara. Ramai ketua-ketua jabatan yang tidak dapat memahami wawasan beliau dipinggirkan. Dan pada era beliau ramai ketua-ketua jabatan yang disenanginya disambung kontrek perkhidmatan hingga menjadi suatu budaya kerja terancang dan teracuan mengikut kehendaknya. Banyak baik dan banyak juga buruknya. Pelbagai pembangunan dan kemajuan dicapai. Disamping itu banyak juga kebiasaan dan penyakit dalaman pejawat awam terwujud tanpa disedari. Kumpulan-kumpulan kroni dan pelbagai kelompok termasuk yang desprate teruwujud secara langsung dan tidak langsung.

Apabila Tun Mahathir bersara, pengganti beliau Tun Abdullah (2003-2008)gagal mengesan dan menetralkan gelombang kelompok yang berbeda minda dan fahaman ini hingga hampir-hampir melumpuhkan jentera pentadbiran beliau sendiri. Budaya memanjangkan kontrek ketua jabatan pencen tidak lagi berteraskan acuan Tun Mahathir yang mementingkan pembangunan moden bagi menggerakkan tindakan dan pelaksanaan berkesan. Tetapi telah dijadikan pengaruh politik dalam pentadbiran awam. Ketua pengarah pencen yang disambung perkhidmatan lebih kepada tujuan menyelamatkan perhubungan jabatan perdana menteri dan kepentingan politik. Ini telah menyebabkan Tun Abdullah seolah-olah tertikam dari belakang atau dari sahabat yang mempunyai tangan-tangan gaib. Meskipun begitu Tun Abdullah wajar diberi simpati kerana benih-benih beban yang dipikul beliau sebenarnya tersemai dan matang di era Tun Mahathir.

Budaya politik wang yang juga turut menular dalam pentadbiran awam telah memberi impak yang sungguh negatif. Di era Tun Abdullah bangkai-bangkai projek yang gagal dan rasuah mula terhidu dan sangat kuat baunya. Seluruh negara ada saja laporan projek pembangunan yang tidak mengikut spesifikasi dan ada yang runtuh dengan sendirinya meskipun baru dibina. Mujur tiada korban jiwa awam yang besar. Tuding menuding berlaku sesama jabatan dalam jentera kerajaan.

Di era Dato' Seri Najib (2008 - sekarang)kelihatan beliau bersungguh-sungguh ingin memulihkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan pimpinan beliau.Beliau juga telah meneruskan budaya melanjutkan kontrek perkhidmatan ketua jabatan. Seharusnya beliau maklum bahawa saranan menggerak dan menjana tenaga baru adalah alternatif terbaik bagi menghargai tenaga baru daripada meneruskan tradisi yang telah ternyata membawa kesan yang kurang baik.Maka hingga ke hari ini beliau kelihatan letih dan seperti bekerja sendiri dengan kumpulan yang kecil kerana semua ketua pengarah terikat secara langsung kepada menteri kabinetnya dan kesetiaan mereka adalah mengikut kehendak menteri bukan Perdana Menteri sebagaimana di era Tun Mahathir dan sebelumnya.

Perkhidmatan sebagai ketua jabatan secara kontrek pula tiada risiko dan ancaman peribadi kepada kepentingan diri penjawat berkenaan. Apa yang penting ialah imbalan yang diberi oleh menteri mereka maka jadilah mereka tercucuk hidung tidak lagi berdaya saing sebagaimana acuan cantik yang direka oleh Tun Mahathir. Impak yang besar akhirnya akan kembali kepada rakyat dan kerajaan akan gagal jika rakyat sendiri telah hilang kepercayaan. Maka adalah wajar saranan supaya perkhidmataan semua ketua pengarah pencen tidak dilanjutkan bagi memberi laluan muka baru yang lebih bertenaga dan bersemangat.

Itulah yang kelihatan sekarang seperti di jabatan perundangan dan jabatan-jabatan penting kerajaan yang berfungsi sebagai pemungut hasil dan pendapatan negara. Malah rakyat telah mula rasa tertekan dan akan berasa bosan apabila diri terpaksa menghadapi kegawatan ekonomi yang sempit dan getir dan amatlah teruja apabila mendapati pada waktu yang sama negara kita adalah diantara sebuah negara di dunia yang mempunyai kekayaan dari pelbagai sumber.

Oleh Tun Sheikh

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere