Buah Tangan Reformasi Indonesia, Malaysia Bagaimana?


Buah Tangan Reformasi Indonesia, Malaysia Bagaimana?

Apabila seorang bekas menteri kabinet Malaysia yang terkenal sebagai menteri  tukang kipas di era Tun Dr Mahathir menganggap bekas Presiden Indonesia setelah Suharto digulingkan oleh gelombang reformasi rakyat iaitu BJ Habibie sebagai seorang petualang dan pengkianat bangsa, Tun Sheikh berasa tersinggung perasaan dengan tiba-tiba dan berasa perkataan pengkianat kepada bangsa itu adalah sesuai dilabel kepada diri beliau sendiri. Beliau pernah dimaki hamun sehingga orang mempertikaikan keturunan Melayu beliau yang lebih kepada mamak sebagaimana Dr Mahathir. Sikap kaki mengampu beliau amat meloyakan dan beliau adalah satu-satunya menteri kabinet Dr Mahathir yang tidak melambangkan keintelektualan dan kecerdikan yang dibangga dan ditonjolkan oleh Dr. Mahathir. Lebih jauh daripada itu, beliau dijadikan ikon berperangai buruk para golongan mamak yang terkenal suka mengampu dan memutar belit fakta untuk kepentingan diri.

Berbanding dengan tokoh BJ Habibie, bekas Presiden Indonesia itu  bukanlah seorang yang gila kuasa seperti Dr Mahathir.  Perlantikan beliau menjadi presiden sebagai pengganti kepada Suharto bukanlah atas kemahuannya dan bukanlah merupakan cita-cita yang diidam-idamkannya. Dalam ucapan pertamanya sebagai Presiden beliau sangat merendah diri dan akur untuk sedia berundur apabila keadaan menjadi tenang dan  apabila Indonesia  beroleh Presiden baru yang ideal. Beliau mengakui menjadi Presiden kepada hampir 300 juta rakyat  Indonesia dalam keadaan ekonomi yang jatuh merundum dan tekanan dari kumpulan-kumpulan pendesak yang pelbagai termasuk daripada kumpulan kiri, kumpulan agama, kumpulan sosial yang terlalu liberal dan kumpulan mahasiswa bukanlah menyenangkan diri beliau. Namun kerana beliau merupaka seorang menteri yang terkanan dan sangat toleransi serta terkenal dengan  keintelektualan yang sangat dibanggakan oleh rakyat yang ada pada dirinya telah mengangkat beliau sebagai Presiden yang layak memimpin dalam suasana yang tegang itu. Beliau menduduki kerusi presiden hanya setahun lebih dan berundur dengan terhormat mengikut perlembagaan Negara yang dibuka dengan seluas-luasnya oleh beliau sendiri. Kebebasan bersuara dan berpolitik bukanlah baru tertulis dalam perundangan Indonesia tetapi hal itu menjadi beku di bawah pemerintahan yang didokong oleh kuasa tentera pada zaman Sukarno dan Suharto. BJ Habibie boleh dipanggil sebagai Bapa Reformasi Demokrasi Indonesia.

Ketika BJ Habibie berkuasa, pintu demokrasi dibuka seluas-luasnya. Bidang yang mendapat manfaat penuh daripada  dasar beliau ialah bidang komunikasi dan falsafah pemikiran terutamanya dalam hal politik. Suara rakyat dan kebebasan bersuara diutamakan.  Beliau sendiri memberi  galakan kepada mass media dan membenarkan kritikan dilontarkan kepada sesiapa terutamanya kepada pihak pemerintah jika rakyat berpendapat mereka telah terkeluar dari landasan kewajaran.  BJ Habibie boleh dianggap sebagai seorang tokoh yang berjasa kepada agama khususnya Islam kerana meletakkan agama itu pada  kedudukan terhormat dan menggalakkan para-para daei dan pendakwah memberi  kefahaman yang secukupnya kepada penganut agama lain supaya Islam tidak begitu dipandang serong dan disalah mengertikan.

Golongan mahasiswa diberi kebebasan untuk bersuara dan mengadakan piket-piket  aman yang berterusan malah beliau mengkerahkan angkatan tentera membantu menjaga keamanan persekitaran di mana para golongan mahasiswa mengadakan demonstrasi aman. Beliau menegaskan para anggota angkatan bersenjata mestilah mengetahui peranan dan tanggongjawab mereka selaku petugas bersenjata bermisi dan berobjektif menjaga kedaulatan dan keamanan untuk semua rakyat dan bukan untuk kepentingan pemimpin tertentu. Beliau memberi  kepercayaan penuh kepada angkatan bersenjata Indonesia meskipun terdapat desas desus ada yang ingin memberontak kerana tidak dapat menerima kenyataan dalam hal keistimewaan yang dinikmati oleh angkatan bersenjata di zaman Sukarno dan Suharto. BJ Habibie telah berjaya mereformasikan pemikiran angkatan bersenjata dalam memainkan peranan mengawal keamanan dan kedaulatan Negara dengan mengutamakan semua rakyat tanpa memandang bulu.

BJ Habibie juga sentiasa menghitamkan amalan rasuah dan nepotisma dan menggalakan transparensi dalam segala urusan sama ada  dalam pentadbiran, politik, ekonomi dan juga social. Dasar-dasar Habibie telah meledakkan perjuangan reformis demokrasi dan banyak pembaharuan telah dilaksanakan dengan sendiri oleh kumpulan-kumpulan reformis yang selama ini bergerak dengan senyap dan berhati-hati dari berhadapan dengan penguatkuasa tentera dan polis yang ditugaskan oleh Suharto.

Setelah 10 tahun reformasi dan sehingga tahun 2012, Indonesia berjaya menambah golongan berpendidikan tinggi  dan golongan menengah dengan begitu drastik sekali. Indonesia juga berjaya melahirkan pengusaha dan ahli koperat yang begitu ramai sehingga boleh dikatakan telah berjaya mengeluarkan diri dari kepompong perekonomian yang lembab kepada sebuah Negara ekonomi yang membangun aktif. Meskipun amalan rasuah masih ada tetapi perjuangan untuk tidak membudayakannya masih berterusan. Ketika ini boleh dikatakan para pemimpin  Indonesia sangat berhati-hati dan mengelak diri dari terjerat dengan isu rasuah. Mereka sangat yakin, jika Indonesia berjaya menghilangkan ikon pengamal budaya rasuah, maka kedudukan mereka dalam serba-serbi akan melonjak di mata dunia.

Dalam soal maruah ketika ini pun Indonesia telah medahului Malaysia. Adalah amat mendukacitakan, dalam rekod kita berjaya membangun Negara tetapi budaya rasuah dan kejatuhan maruah diri peminpin kita jatuh merundum kerana pelbagai skandal yang tidak bermaruah. Apabila dikaji secara rambang daripada fakta-fakata terkumpul dari dalam dan luar Negara, pelbagai pandangan telah menyalahkan hal ini bertunas dengan subur oleh dasar-dasar regim Mahathir. Sehingga ke hari ini Malaysia masih terkapar-kapar mencari identity dan jati diri yang bersih dari kebejatan. Akan berjayakah Malaysia..?? Ini adalah bergantung kepada keberanian dan kesadaran rakyatnya iaitu diri kita dalam memainkan peranan masing-masing dalam sejarah politik negara ini. Tuhan tidak akan mengubah nasib kita jika kita sendiri tidak berusaha dan berikhtiar untuk berubah!

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
KL 12.12.12

1 comments:

fadzil27 said...

Hasil reformasi....rakyat mencari sesuap nasi diluar negara...

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere