MELAYU BUKALAH MATAMU DEMI MASA DEPAN ANAK CUCU BANGSAMU

KEMENANGAN MELAMBANGKAN PENERIMAAN MELAYU

Kemenangan Dato’ Isa Samad dalam pilihanraya Port Dickson Negeri Sembilan telah diuar-uarkan sebagai kejayaan BN yang terbesar dan sangat dibanggakan kerana berjaya memperolehi majoriti besar di luar jangkaan. Kerajaan telah terus menghebahkan bahawa kemenangan itu adalah kemenangan UMNO sekaligus adalah kemenangan orang Melayu. Dan kemenangan ini menunjukkan penerimaan orang Melayu terhadap dasar UMNO dan sebagai mesej dan bukti bahawa UMNO masih kukuh. Jauh daripada ini, kemenangan itu diperkirakan akan membawa gelombang kemasukan semula orang Melayu yang pernah keluar dari UMNO serta akan menarik semula sokongan orang-orang Melayu yang berada di atas pagar atau mereka yang bersikap berkecuali dan bebas. Tahniah dan syabas kepada UMNO dan juga Dato’ Isa Samad.

Tun Dr Mahathir juga berasa gembira tetapi beliau tidak dapat menikmati kegembiraan itu dengan ketawa dekah yang besar hingga dapat dirasa sampai ke perut. Ini adalah kerana beliau yang mempunyai pengalaman luas dan pandangan jauh melihat kemenangan atau kejayaan pilihanraya Port Dickson mesti menang tetapi bukan kerana tokoh yang pernah terbabit dan sabit dengan pertuduhan rasuah walau pun yang telah diputus oleh Lembaga Disiplin UMNO. Beliau dapat melihat dan merasakan bahawa kemenangan itu seolah-olah akan membawa rebah jika dilihat dari luar kerana kemenangan itu menggambarkan penerimaan orang Melayu yang telah membudaya dengan isu rasuah.Hal ini sangat dibimbangi dan adalah bersifat negatif.

Pemerhati luar juga, melihat kemenangan ini akan mencetuskan perasaan sombong yang pernah berlaku dan melajukan aktiviti budaya penyalahgunaan kuasa yang akhirnya akan berlaku menang sorak kampung tergadai. Ini adalah kerana kemenangan ini sebenarnya tidak melambangkan orang Melayu kembali kepada UMNO tetapi mengambarkan orang Melayu senang dengan aktiviti atau budaya rasuah. Sehubungan itu, pradigma minda yang Tun Mahathir harap-harapkan bagi membenteras rasuah dan menekankannya kepada anak didiknya, Dato’ Najib kelihatan kesat dan tidak lancar penerimaan dan perjalanannya.

Tan Sri Mahyuddin pula semakin hari semakin kelihatan tersepit dengan himpitan nafsu-nafsu besar Melayu sehingga kelihatan terpaksa menerima mereka dan tiada kuasa untuk menolak budaya negatif yang beliau laung-laung dan berjanji untuk menghapuskannya. Di waktu yang sama, keadaan Negeri Sembilan sebenarnya sedang tarik menarik antara empat golongan Melayu UMNO dan kalau ditambah dengan pengaruh pembangkang dan yang berkecuali atau di atas pagar maka semua sekali berjumlah 7 kelompok. 7 kelompok sebenarnya sudah amat besar bagi sebuah negeri yang kecil seperti Negeri Sembilan. Kuasa dan keistimewaan orang Melayu akan tercabar kerana dasar pemimpin BN masih berfikiran ditakuk lama iaitu pembangunan yang dianggap menguntungkan rakyat dan juga diri sendiri atau setidak-tidak parti.

Masing-masing berebut untuk membuat pembangunan yang menguntungkan atau ada kepentingan diri sendiri dan hal ini akan memeningkan tampuk kepimpinan. Negeri Sembilan yang selama ini dianggap tidak ketinggalan membangun tetapi masih jauh kualitinya dibanding dengan kemajuan di negeri-negeri lain yang mendapat peruntukan yang sama banyak dan sama penyelarasannya. Hal ini akan juga membongkar budaya rasuah yang telah berlaku ketika pembangunan peringkat awal dijalankan dulu. Pada masa yang sama pula kerajaan terlalu berlebihan menguarkan kebaikan dan diwaktu yang sama menyekat hak royalti dan terus mendokong akta ISA yang telah bernanah ditambah pula menggunakan kelicikan menaikkan harga minyak secara physkologi, tidak dirasa rakyat dalam bentuk emosi tetapi semakin hari semakin tersepit dengan inflasi.Untuk mengembalikan ketuanan Melayu, sebenarnya BN tidak berusaha kearah itu secara serius dan besar-besaran atau tsunami. Tetapi untuk menghidup atau terpaksa menghidupkan semula budaya lama yang telah terbungkus dengan amalan rasuah, sebenarnya pemimpin-pemimpin Melayu BN sedang bermain api.

Jalan yang mudah untuk bersama rakyat ialah melapangkan hati dengan mengembalikan hak-hak royalti minyak dan peruntukan negara diagihkan tanpa mengambil kira berlainan pemikiran dan fahaman politik kerana tanggongjawab pemerintah adalah terhadap semua rakyat. Menghapuskan ISA yang membawa imej ketidakadilan dan mengambarkan kezaliman serta penganiayaan kerajaan terhadap rakyat meskipun ada sedikit kebaikannya. Dan mengembalikan kedaulatan Melayu melalui kebudayaannya lebih-lebih lagi yang sudah tersedia ada dilindungi perlembagaan negara seperti isu bahasa Melayu dan penggunaannya dalam mata pelajaaran sains, matematik dll.

Akhir sekali, pemimpin-pemimpin Melayu tidak kira dari parti, persatuan atau pertubuhan mana hendaklah menghormati undang-undang dan perlembagaan. Jangan sekali-kali menganggap peraturan, undang-undang dan perlembagaan negara boleh diperlakukan sesuka hati seperti harta sendiri atau harta ibu bapa kita.Itu adalah lambang mengundur dari tamadun tinggi kepada tamadun di zaman kejahilan yang akan membakar dan melenyapkan tamadun Melayu. HIDUP MELAYU!

Oleh Tun Sheikh Bendahara

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Kontemporari
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere